SHAH ALAM - Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menasihati penduduk kampung supaya menyiasat punca ketukan pintu yang menghantui beberapa kampung di Sabak Bernam secara tabi’i terlebih dahulu sebelum membuat kesimpulan ia berkaitan dengan alam ghaib.
Jelasnya, secara tabi’i yang dimaksudkan adalah menyiasat menurut cara atau kaedah biasa seperti yang dilakukan oleh polis dalam siasatan atau menerusi kajian secara ilmuah seperti yang lazim dijalankan oleh para penyelidik di institusi pengajian tinggi.
"Pertama kita kena selidiki lebih dahulu secara tabi’i punca bunyi tersebut. Kalau dah habis keupayaan berikhtiar tapi tak diketahui juga maka bunyi ketukan itu mungkin boleh dianggap berpunca daripada sebab tidak tabi’i.
"Agama Islam menghendaki umatnya percaya kepada kuasa ALLAH yang menjadikan berbagai-bagai makhluk dan kita juga diberitahu menerusi ayat-ayat al-Quran dan hadis Nabi SAW bahawa Tuhan menciptakan banyak alam; ada yang nyata (natural) dan ada yang ghaib (super natural),” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.
Mengulas lanjut, katanya, alam nyata ialah yang dapat disaksikan atau dikesan oleh deria seperti manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan, matahari, bulan, bintang-bintang di langit dan sebagainya, sementara alam atau makhluk ghaib termasuklah malaikat, jin, alam barzakh, syurga, neraka dan lain-lain lagi.
"Sebagai umat Islam kita wajib percaya kepada perkara-perkara ghaib yang tersebut di dalam al-Quran dan hadis. Adapun yang tidak disebut di dalam kedua-dua sumber ini maka terserahlah kepada masing-masing sama ada mahu percaya atau sebaliknya.
"Ringkasnya, alam wujud ciptaan ALLAH SWT adalah jauh lebih besar daripada yang dapat diketahui oleh manusia malah jauh lebih besar dan lebih luas daripada yang mampu dijangkau oleh sains,” katanya.
Sementara itu, pendakwah bebas, Khairul Fitri Kiraman menasihatkan supaya mohon perlindungan kepada ALLAH dan dapatkan petunjuk dan pertolongan dari-Nya.
"Isu yang timbul seperti ini perlu sentiasa dijadikan iktibar oleh penduduk berkenaan. Sebagai umat Islam, kita sememangnya wajib percaya wujudnya makhluk-makhluk yang ghaib, namun bagi saya dalam isu di sini kita tidak tahu sama ada ia adalah perbuatan manusia atau makhluk lain.
"Sebaiknya sebagai umat Nabi Muhammad SAW, kita jadikan apa yang berlaku ini sebagai iktibar, sentiasa mohon petunjuk kepada ALLAH SWT, lakukan solat hajat untuk dapat petunjuk,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.Mengulas lanjut, Khairul Fitri berkata, apa yang berlaku mungkin ada hikmahnya yang tersendiri.
"ALLAH sentiasa ada untuk setiap hambanya, mohonlah petunjuk dari-Nya dan jangan terlalu cepat membuat andaian.
"Insya-ALLAH yakin dengan kekuasaan ALLAH, tiada apa yang lebih hebat melainkan-Nya,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca