PENGENDALI skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe tidak risau walaupun penyerang sensasi negara, Safawi Rasid masih belum mendapat peluang beraksi bersama kelab Portugal, Portimonense SC.
Menurut Cheng Hoe, beliau percaya Safawi tahu apa yang perlu dilakukan untuk terus berada pada tahap terbaik apabila dipanggil mewakili skuad kebangsaan bagi mengharungi Kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 pada Mac tahun depan.
"Saya tak rasa skil dia akan ‘berkarat’ sebab tidak dapat minit bermain. Saya kenal Safawi dan dia mempunyai disiplin yang tinggi dalam sesi latihan mahupun pada perlawanan sebenar.
"Sejak bermain bersama skuad kebangsaan pada 2017, saya nampak perkembangan dia sangat banyak. Jadi saya mengharapkan dia akan teruskan usaha dan kerja keras memastikan dia berada pada tahap yang terbaik untuk skuad kebangsaan nanti.
"Lagipun, latihan dan saingan di kelab tersebut sangat hebat, saya yakin dia akan gunakan faktor itu untuk meningkatkan tahap permainan dan bersedia untuk pasukan Harimau Malaya apabila dipanggil,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Sejak berkelana ke bumi Portugal hampir dua bulan, Safawi masih belum diberikan peluang beraksi bersama skuad utama Portimonense walaupun sebagai pemain gantian.
Situasi itu sekali gus menimbulkan kebimbangan ramai pihak jika Safawi tidak akan berada pada tahap terbaik untuk mewakili Harimau Malaya pada Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023.
Mengulas lanjut, Cheng Hoe mahu penyokong tidak memberikan tekanan kepada Safawi dan membiarkan pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu serasi bersama kelab baharunya.
"Memang Safawi tidak mendapat minit permainan dengan kelabnya, tetapi kita kena fikir positif sebab Safawi bermain dalam Liga Portugal yang sememangnya saingan di sana sangat sukar.
"Baru-baru ini pun dia dah bermain dengan skuad Bawah 23 tahun (Portimonense), ia satu perkembangan yang baik. Saya rasa untuk masa depan nanti jika diberikan peluang bermain, dia akan beri yang terbaik dan mampu membuka mata ramai orang,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca