[EKSKLUSIF] KOTA KINABALU - Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin disahkan akan hadir ke Dewan Rakyat esok.
Menurut sumber terdekat, Bung Moktar telah berlepas ke Kuala Lumpur melalui penerbangan dari Kota Kinabalu jam 5 petang tadi.
"Sudah dia (Bung Moktar) jalan tadi petang (berlepas ke Kuala Lumpur), datang bah (Parlimen)," katanya secara eksklusif kepada Sinar Harian hari ini.
Sumber berkata lagi, Timbalan Ketua Menteri Sabah itu sudah menjalani ujian calitan seperti yang diarahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Dia sudah buat 'swab' sebelum jalan, kalau tidak, mana boleh 'terbang' (ke Kuala Lumpur),” katanya.
Sebelum ini timbul spekulasi bahawa Bung Moktar dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah antara yang tidak akan hadir ke Dewan Rakyat untuk meluluskan usul Belanjawan 2021 yang akan berlangsung esok sekali gus mengurangkan undi daripada UMNO.
Razaleigh yang juga Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO menerusi sepucuk surat bertarikh 19 November lalu memaklumkan beliau tidak akan mengambil bahagian dalam perbahasan di Dewan Rakyat esok.
Undi untuk meluluskan usul Belanjawan 2021 juga telah kurang daripada pihak UMNO selepas Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman meninggal dunia pada 16 November lalu.
Dalam pada itu, Bung Moktar dijangka dapat memasuki Dewan Rakyat selepas KKM semalam mengumumkan pengembara yang tiba dari Sabah hanya perlu menjalani ujian calitan Covid-19 tiga hari sebelum berlepas ke negeri lain bermula 25 November.
Jika didapati negatif, pengembara itu tidak perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari seperti yang dikuatkuasakan sebelum ini.
Bagaimanapun, kehadiran Bung Moktar esok dijangka akan memanaskan Dewan Rakyat sama seperti yang dilalui Ahli Parlimen Keningau, Datuk Dr Jeffrey Kitingan pada Selasa lalu.
Ahli Parlimen pembangkang sebelum ini mempersoalkan tempoh kuarantin Jeffrey yang sepatutnya tamat esok, namun sudah dibenarkan untuk berada di Dewan Rakyat semalam.
Klik di sini untuk terus membaca