KEPUTUSAN dinantikan ramai sama ada Belanjawan 2021 bernilai RM322.5 bilion akan berjaya diluluskan atau ditolak bakal ditentukan di Dewan Rakyat hari ini.
Jika diamati, sejak usul belanjawan tersebut dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 6 November lalu, ia tidak putus-putus menjadi buah mulut ramai pihak antaranya ahli politik, ahli ekonomi dan tidak ketinggalan rakyat biasa yang teruja mengutarakan sudut pandangan tersendiri.
Namun satu perkara yang pasti, tumpuan ketika ini terarah kepada kemampuan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku pemain utama agenda Belanjawan 2021 untuk merealisasikan belanjawan yang mampu membela nasib rakyat ketika negara bergelut dengan pandemik Covid-19 yang terus mengganas.
Jujurnya, kerajaan PN dilihat berdepan laluan getir dalam usaha meluluskan Belanjawan 2021. Ini terbukti dengan asakan bertali arus pihak pembangkang Pakatan Harapan yang menuntut pindaan tertentu dalam beberapa inti pati belanjawan atas dasar melindungi kepentingan rakyat.
Pada masa sama, tekanan turut datang daripada parti gabungan PN iaitu Barisan Nasional (BN) yang meletakkan sokongan bersyarat terhadap Belanjawan 2021 seperti yang ditegaskan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini.
Ia kemudian disusuli surat oleh Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang mengusulkan undi tidak percaya terhadap Muhyiddin, selain veteran UMNO itu juga dlaporkan enggan hadir ke sesi perbahasan belanjawan hari ini.
Melihatkan semua kemelut yang berlaku, timbul persoalan bagaimana sekiranya Belanjawan 2021 ditolak oleh Dewan Rakyat, apakah langkah yang perlu diambil oleh kerajaan PN?
Gaji penjawat awam
Pakar Perlembagaan, Profesor Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar berkata, terdapat lima pilihan yang boleh dibuat oleh kerajaan dari sudut Perlembagaan.
Menurut Khairil Azmin, selari dengan Perkara 99 dan 100 Perlembagaan Persekutuan, pertama, kerajaan boleh membuat belanjawan yang baharu untuk dibentangkan sekali lagi di Parlimen.
"Pilihan ini akan memakan masa untuk disiapkan, dibentangkan dan diluluskan. Dikhuatiri belanjawan baharu ini hanya akan dapat diluluskan selepas tahun 2020, bermakna gaji penjawat awam, kos operasi tadbir urus dan perbelanjaan pembangunan untuk tahun 2021 tidak dapat dibuat,” ujar beliau kepada Sinar Harian semalam.
Katanya lagi, belanjawan baharu ini boleh dibuat sama ada oleh kerajaan sedia ada, jika Perdana Menteri masih kekal atau kerajaan baharu jika ada perubahan pucuk pimpinan.
Kedua, kerajaan boleh meminta kebenaran Parlimen untuk membenarkan perbelanjaan bagi sebahagian dari tahun 2021 dengan meluluskan undang-undang perbelanjaan tersebut di bawah Perkara 102.
"Ini untuk memastikan perkara asas termasuk gaji penjawat awam dan kos operasi tadbir urus kerajaan bagi sebahagian dari tahun 2021 dapat dibuat bagi mengelakkan government lockdown kerana masalah kewangan dan pembayaran. Ini adalah solusi yang boleh diambil.
"Tetapi ia hanya penyelesaian bersifat sementara, sebagaimana yang dituntut Perkara 99 dan 100, kita masih memerlukan belanjawan tahunan lengkap untuk tahun tersebut yang mendapat kelulusan Parlimen.
"Namun ada pihak yang berpendapat bahawa Perkara 102 hanya terpakai atas situasi apabila kerajaan tidak cukup dana pertengahan tahun selepas bajet diluluskan. Oleh itu menurut pendapat ini, Perkara 102 tidak wajar digunakan sekarang,” katanya lagi.
Seterusnya, langkah ketiga, Perdana Menteri boleh meletakkan jawatan bersama dengan Jemaah Menteri bagi memberi laluan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Perdana Menteri dan kerajaan baharu.
"Ini selari dengan Perkara 43 (4) yang menyatakan bahawa jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri,” ujar beliau.
Keempat, Perdana Menteri boleh memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen dan mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) bagi memilih anggota Dewan Rakyat lain untuk membentuk kerajaan baharu.
"Ini selari dengan Perkara 43 (4) yang menyatakan bahawa jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri membuat permintaan kepada Yang di-Pertuan Agong agar Parlimen dibubarkan.
"Selepas PRU, Perdana Menteri dan kerajaan yang dipilih boleh membuat belanjawan yang baharu, namun ia juga akan memakan masa,” katanya lagi.
Undi tidak percaya
Kelima, Perdana Menteri boleh memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan Proklamasi Darurat yang mana RUU Perbekalan 2021 boleh digubal menjadi undang-undang tanpa kelulusan Parlimen di bawah kuasa darurat.
Dalam pada itu, Khairil Azmin berkata, andainya belanjawan baharu dapat diluluskan sebelum 2021 walaupun dengan beberapa pindaan yang dibuat sewaktu dibentangkan, maka pentadbiran kerajaan boleh beroperasi seperti biasa.
Sementara itu, Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Tan Sri Abdul Aziz Rahman mengakui majoriti tipis yang dimiliki kerajaan PN di Parlimen akan mempengaruhi keputusan sama ada Belanjawan 2021 dapat diluluskan atau tidak.
"Jika ada Ahli Parlimen yang menyokong Muhyiddin, tiba-tiba jatuh sakit atau sengaja sakit dan tidak dapat hadir ke sesi undian maka ia akan menyebabkan kekurangan undi untuk membolehkan belanjawan diluluskan,” ujar Abdul Aziz kepada Sinar Harian.
Katanya lagi, kegagalan meluluskan Belanjawan 2021 bermakna pergerakan perbelanjaan kerajaan dibekukan sekali gus mencacatkan pengurusan dan pembangunan negara.
Selain itu, kegagalan turut mencerminkan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri dan kalau ini terjadi, maka terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengambil langkah penyelesaian terbaik.
"Mungkin juga akan ada Perdana Menteri interim atau kerajaan campuran yang dianggotai setiap parti misalnya bagi memastikan kelancaran pentadbiran negara dapat diteruskan,” katanya.
Namun menurut beliau, dalam pada negara berjuang menentang ancaman Covid-19 yang menjejaskan kehidupan rakyat, perkara paling utama yang diperlukan adalah ketenteraman politik.
"Kita perlu mengutamakan kepentingan rakyat yang merupakan nadi kepada kerajaan dan juga negara, jika nadi lemah maka lumpuhlah kerajaan,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca