SHAH ALAM - Malaysia dijangka memerlukan tempoh antara enam hingga 12 bulan lagi sekiranya ingin mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pakar Perubatan Kesihatan Awam Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Malina Osman berkata, ia berikutan vaksin yang bakal digunakan oleh penerima hanya berkesan dan berada dalam keadaan normal untuk merangsang penghasilan antibodi dalam tempoh beberapa minggu hingga sebulan.
"Tempoh penghasilan antibodi yang diperlukan untuk mencegah potensi jangkitan bergantung kepada jenis kuman.
"Dos vaksin pula biasanya perlu diulang iaitu sekurang-kurangnya dua kali suntikan bagi memastikan antibodi yang terhasil kekal pada paras diperlukan untuk melindungi diri seseorang daripada potensi jangkitan,” katanya ketika dihubungi Sinar Ahad semalam.
Bagaimanapun, katanya, beliau berpendapat PRU15 tidak perlu tergesa-gesa untuk diadakan.
"Dalam konteks wabak yang sedang kita alami kini, keutamaan ialah keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya,” katanya.
Kelmarin, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan Malaysia bakal menerima sebanyak 12.8 juta dos vaksin Covid-19 bagi menampung keperluan imunisasi 6.4 juta rakyat Malaysia pada tahun depan.
Klik di sini untuk terus membaca