BARU-baru ini kita dikejutkan dengan insiden tembakan di sempadan Malaysia-Thailand yang menyebabkan seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) maut, manakala seorang lagi parah.
Dalam kejadian jam 3.10 pagi itu, Baharuddin Ramli, 54, maut, manakala Norihan Tari, 39, parah selepas berbalas tembakan dengan penyeludup di Pos TS9 berdekatan Padang Besar, Perlis.
Kurang 24 jam, satu lagi insiden sama berlaku membabitkan sera-ngan ke atas anggota Batalion 3 PGA yang cedera terkena tembakan ketika berkawal di sempadan Pos M16 Bukit Kayu Hitam, Kedah.
Kedua-dua tembakan itu dilepaskan dari arah negara jiran. Ternyata ada pihak yang mengamuk dan beri amaran kepada anggota keselamatan kita yang bergadai nyawa menjaga keselamatan sempadan negara.
Insiden itu mengingatkan penulis tentang larisnya barang Siam. Istilah itu bukan baharu. Banyak barang dibawa masuk secara haram dari Thailand dan dijual di pasaran gelap. Kita boleh lihat Made in Thailand pada jersi, pakaian berjenama, beg tangan atau kasut.
Kalau dijual lebih murah sekali atau dua kali ganda, sah itu barang Siam. Sudahlah dapat sambutan sebab murah, pasaran pula ke seluruh negara..Cuma promosi tak sehebat sekarang melalui media sosial. Jual ‘bisik-bisik’ sahaja.
Dulu barang yang diseludup masuk lebih kepada barang makanan, beras pulut, pakaian, kasut, permainan kanak-kanak atau buah-buahan. Ada juga yang seludup dadah.
Sekarang mereka bukan sahaja menyeludup dadah, ganja, minuman keras, rokok, mercun dan ubat batuk tetapi daun ketum juga.
Rampasan rokok misalnya, sering didedahkan dalam akhbar dan antara kes terbanyak yang dilaporkan. Kebanjiran rokok haram di pasaran menyebabkan negara kerugian cukai antara RM5 bilion hingga RM6 bilion setahun.
RokokBerdasarkan data dikeluarkan Euromonitor International, Malaysia berada di kedudukan teratas penyeludupan rokok dunia iaitu sebanyak 63 peratus. Aktiviti penyeludupan mencatatkan peningkatan daripada 58.9 peratus pada tahun 2018.
Laporan Japan Tobacco International (JTI) mendedahkan sebanyak 62 peratus atau 12.2 bilion batang rokok di pasaran Malaysia adalah rokok seludup. Bagi setiap 10 batang rokok di Malaysia, enam batang daripadanya adalah rokok seludup.
Kajian firma penyelidikan Nielsen pula mendedahkan, dalam tempoh selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jualan rokok haram menunjukkan trend menaik ke paras 70 peratus pada penghujung 2020, melainkan tindakan pencegahan secara komprehensif dilakukan pelbagai agensi dan penguatkuasaan undang-undang.
Ternyata aktiviti penyeludupan merencatkan sektor ekonomi sekiranya gagal dibendung. Isu ketirisan hasil pendapatan negara akibat kegiatan penyeludupan berkali-kali dibentangkan di Parlimen.
Pada 7 September lalu, ketika berhujah di Parlimen, Senator Datuk Zahid Mohd Arib percaya semua itu ada kaitan dengan kartel, kelemahan penguatkuasaan dan isu integriti pihak berwajib.
Orang Siam jangan mudah terasa hati bila disebut barang Siam, sebab orang utara Semenanjung menyebutnya begitu. Tidak enak disebut barang Thailand. Apa pun penulis ingin berkongsi maklumat berkaitan istilah Siam.
Menurut Wikipedia, ia merujuk kepada orang Malaysia beretnik Thai. Orang Siam Malaysia diakui sebagai bumiputera dan diberikan kedudukan serupa dengan orang Melayu, Kadazan-Dusun, Iban dan Portugis Melaka.
Dianggarkan terdapat sekitar 70,000 etnik Siam dalam negara. Kedah merekodkan jumlah tertinggi seramai 42,000 orang diikuti Kelantan (28,000) dan Perlis (8,000) pada tahun 2015.
Masyarakat Siam yang dinyatakan itu tiada kaitan dengan geng penyeludup di sempadan Malaysia-Thailand. Mereka tidak terlibat dan tidak menyokong aktiviti tersebut, malah memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dalam membanteras kegiatan itu.
Malah terdapat ramai anggota keselamatan yang menjadi benteng negara merupakan rakyat berbangsa Siam. Apa juga panggilanggilannya sama ada orang Siam, orang Kampung Bukit atau orang Baling, kita rakyat Malaysia.
Klik di sini untuk terus membaca