DALAM rencana saya bertajuk 'Proklamasi Darurat: Wajibkah YDPA Mengikut Nasihat PM?' bertarikh 30 Oktober 2020, antara lain, saya berkata Mahkamah Persekutuan dalam kes Stephen Kalong Ningkan v Government of Malaysia (1968)1 MLJ 121) telah memutuskan bahawa Yang di-Pertuan Agong (YDPA) adalah hakim tunggal yang memutuskan sama ada baginda berpuas hati deklarasi darurat akan dibuat atau tidak.
Ertinya Seri Paduka Baginda tidak dikehendaki menurut nasihat Perdana Menteri (PM) dalam hal itu. Tetapi, pada masa itu, mahkamah tertinggi Malaysia adalah Privy Council. Dalam kes Teh Cheng Poh v. Public Prosecutor (1979) 1 MLJ 50, Privy Council telah memutuskan bahawa YDPA dikehendaki menurut nasihat PM. Maka penghakiman Privy Council itulah yang perlu diikuti.
Pada 1 Januari 1978, rayuan kepada Privy Council dalam kes-kes perlembagaan telah dimansuhkan. Selepas itu, Mahkamah Persekutuan (yang dinamakan Mahkamah Agung) menjadi mahkamah tertinggi di Malaysia.
Kita mengharapkan isu yang sama akan dapat dipertimbangkan semula (dalam kes lain) oleh Mahkamah Persekutuan (nama Mahkamah Agung ditukar semula kepada Mahkamah Persekutuan), dan mahkamah itu tidak akan mengikuti keputusan Privy Council itu dan sebaliknya, mengesahkan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Stephen Kalong Ningkan itu.
Tetapi, kita telah meminda pula Perkara 150 dengan memasukkan Fasal (8). Pindaan itu berkuat kuasa mulai 15 05 1981.
Akibat pindaan kepada Fasal 150(1) dan penghakiman Privy Council dalam kes Teh Cheng Poh itu ialah YDPA mesti menurut nasihat PM mengenai proklamasi darurat dan proklamasi darurat tidak boleh dicabar di mahkamah.
Maka, kekallah penghakiman Privy Council sebagai undang-undang negara yang mesti dipatuhi.
Ertinya, undang-undang yang berkuat kuasa pada tarikh YDPA membuat keputusan menolak permintaan Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya Seri Paduka Baginda membuat proklamasi darurat pada 25 Oktober 2020 itu, adalah penghakiman Privy Council itu.
Oleh itu, keputusan yang dibuat oleh YDPA tersebut adalah salah di sisi undang-undang. Tetapi, keputusan itu juga tidak boleh dicabar di Mahkamah.
Lebih kurang tiga minggu kemudian, Muhyiddin menghadap YDPA lagi, kali ini memohonan agar darurat di isytiharkan di kawasan Parlimen Batu Sapi, Sabah.
"Setelah memperhalusi penjelasan Perdana Menteri dan sembah taklimat daripada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun; Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Abdul Ghani Salleh, Al-Sultan Abdullah telah berpuas hati bahawa adanya keperluan Pengisytiharan Proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 2 Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan suatu Ordinan dimasyhurkan di bawah ‘Fasal (2B) Perkara 150 untuk membatalkan tarikh yang telah ditetapkan bagi menjalankan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi P.185 Batu Sapi, Sabah," demikian kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara.
‘Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, perkenan Agong untuk darurat di Parlimen Batu Sapi diambil iktibar daripada PRN Sabah yang menjadi faktor utama gelombang ketiga Covid-19.
"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah merekodkan peningkatan mendadak sehingga 148.4 peratus iaitu sebanyak 3,842 kes kumulatif pada 10 Oktober 2020, selepas dua minggu dari hari mengundi.
"Kes positif harian Covid-19 terus meningkat secara mendadak dua minggu berikutnya dengan peningkatan sehingga 193.7 peratus iaitu sebanyak 11,285 kes kumulatif yang telah dicatatkan pada 24 Oktober 2020.
"Perkenan Seri Paduka Baginda ini juga mengambil kira jumlah pemilih berdaftar yang tinggal di luar bahagian P185 Batu Sapi yang dijangka merentas daerah dan negeri untuk pulang mengundi," kata kenyataan itu lagi.
Apa yang saya ingin menarik perhatian pembaca kepada kenyataan ini ialah pertama, Seri Paduka Baginda membuat keputusan itu setelah memperhalusi penjelasan Perdana Menteri dan sembah taklimat daripada Ketua Setiausaha Negara dan tiga orang lagi pegawai tertinggi kerajaan yang berkenaan.
Ertinya, YDPA tidak terus menerima apa yang dikatakan oleh PM dan bersetuju memproklamasikan darurat.
Kedua, YDPA menyatakan Seri Paduka Baginda telah berpuas hati bahawa adanya keperluan Pengisytiharan Proklamasi Darurat tersebut.
Ketiga, YDPA memberi alasan mengapa Seri Paduka Baginda bersetuju berbuat demikian. Fakta pertama dan kedua menunjukkan Seri Paduka Baginda tidak terus bersetuju dengan nasihat PM seperti yang diputuskan oleh Privy Council itu. Sebaliknya, Seri Paduka Baginda meminta pandangan pegawai-pegawai tertinggi kerajaan berkenaan yang tak-berpolitik itu dan hanya bersetuju dengannya, setelah Seri Paduka Baginda berpuas hati dan adanya keperluan melakukannya.
Itu adalah selaras dengan peruntukan Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan yang bermula dengan kata-kata "Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati...” dan penghakiman Mahkamah Persekutuan dalam kes Stephen Kolong Ningkan itu.
Ia sekali gus bererti Seri Paduka Baginda menolak penghakiman Privy Council dalam kes Teh Cheng Poh itu.
Fakta ketiga adalah satu perkembangan baru. Ia adalah selaras dengan amalan good governance; dengan amalan satu institusi yang telus dan dengan kehendak undangundang pentadbiran (administrative law), walaupun Perlembagaan tidak menghendaki baginda berbuat demikian.
Nampaknya, dalam masa satu bulan, mungkin tanpa menyedarinya, Seri Paduka Baginda telah dua kali menolak penghakiman Privy Council dalam kes Teh Cheng Poh dan menerima pakai penghakiman Mahkamah Persekutuan dalam kes Stephen Kalong Ningkan yang memberi makna yang sepatutnya kepada ungkapan "Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati” yang diperuntukkan oleh Perkara 150(1) itu.
Mengikuti penghakiman Privy Council itu bererti menyamakan makna ungkapan "Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati” dengan "atas nasihat.” Jika itu yang dimaksudkan oleh penggubal Perlembagaan, mengapa tidak menggunakan ungkapan "atas nasihat” sahaja?
Suka atau tidak, saya percaya pendekatan itu akan menjadi precedent dan amalan pada masa hadapan dan penghakiman Privy Council itu, lama kelamaan, akan dilupai begitu sahaja.
Proklamasi itu, yang melibatkan penggantungan PRK Parlimen Batu Sapi, disambut baik oleh parti-parti politik, NGO-NGO dan orang ramai. Biar apa pun kedudukan undang-undang, ia akan menjadi amalan yang berkekalan.
* TUN ABDUL HAMID MOHAMAD ialah mantan Ketua Hakim Negara