TEHERAN - Pembunuhan seorang saintis nuklear Iran, Dr Mohsen Fakhrizadeh yang didakwa dilakukan oleh Israel dengan mendapat restu daripada Amerika Syarikat (AS) akan menyukarkan Washington untuk memulihkan hubungan dengan Teheran.
Ia juga akan menjadi satu isu yang kompleks apabila bekas Naib Presiden AS, Joe Biden yang akan menjadi Presiden AS pada 20 Januari tahun depan merancang untuk menyambung semula dialog dengan Republik Islam itu berhubung isu nuklear.
Setakat ini, Washington tidak memberikan komen secara rasmi tentang pembunuhan Fakhrizadeh yang dianggap sebagai 'bapa program senjata nuklear Iran' oleh pihak Barat.
Dalam kejadian yang berlaku pada Jumaat lalu, Kementerian Pertahanan Iran menyatakan sekumpulan lelaki bersenjata menyerang kereta yang dinaiki oleh saintis tersebut di luar Teheran sebelum beliau terbunuh.
AS tidak memberi komen tentang pembunuhan itu namun, Presiden AS, Donald Trump berkongsi kenyataan yang dibuat oleh pihak lain menerusi Twitter bahawa Fakhrizadeh telah dikehendaki sejak bertahun-tahun lalu oleh Mossad iaitu sebuah agensi perisikan Israel.
Israel sebelum ini menegaskan Iran berhasrat untuk mengeluarkan senjata nuklear tetapi Teheran telah lama menekankan bahawa program nuklearnya adalah untuk tujuan keamanan dan membekalkan tenaga elektrik.
Tel Aviv juga dituduh membunuh beberapa saintis Iran yang didakwa terlibat dalam program nuklear di negara itu.
Program nuklear di Iran bukannnya baharu tetapi dilaksanakan sejak tahun 1950-an di bawah pemerintahan Shah Iran, Mohamed Reza Pahlavi untuk tujuan keamanan sebelum negara itu menjadi Republik Islam.
AS sendiri pernah membantu membina sebuah reaktor penyelidikan nuklear Iran di Teheran.
Ketika itu, Shah Iran dikatakan merancang untuk menggunakan tenaga nuklear dalam industri petrokimia bagi membolehkan Iran memperoleh lebih banyak pendapatan.
ARTIKEL BERKAITAN: Ketua nuklear Iran dibunuh dengan mesingan kawalan jauh
Serpihan senjata buatan Israel ditemui
Pada tahun 2018, AS di bawah pentadbiran Trump menarik keluar daripada menyertai Pelan Tindakan Kerjasama Komprehensif (JCPOA) antara Iran dengan kuasa-kuasa besar dunia berhubung isu nuklear dan meneruskan sekatan ke atas negara tersebut.
Dalam perjanjian itu, Iran akan mengehadkan program tenaga nuklear Iran supaya Teheran tidak akan dikenakan sekatan antarabangsa.
Ia juga tidak mahu Iran menghasilkan bom nuklear.
Bagaimanapun, Setiusaha Negara AS, Mike Pompeo yang baru-baru ini melawat Israel mengumumkan sekatan ekonomi terbaharu terhadap beberapa buah firma China dan Rusia kerana dituduh memberi sokongan terhadap program nuklear Iran.
Sehubungan itu, beberapa penganalisis AS berkata, pembunuhan Fakhrizadeh itu merupakan satu tindakan yang berbahaya dan mampu menjejaskan hasrat Biden untuk memulihkan kembali hubungan negaranya dengan Iran.
Bekas ketua Agensi Perisikan Pusat (CIA), John Brennan membuat ciapan di Twitter pada Jumaat lalu dengan menyatakan bahawa pembunuhan saintis tersebut merupakan satu tindakan jenayah dan ia mampu mencetuskan konflik terbaharu di rantau Timur Tengah.
Pembunuhan itu juga dipercayai akan membantu golongan radikal di Iran yang mahu negara itu memperoleh senjata nuklear, kata seorang pakar pertahanan di Universiti George Washington, Ben Friedman.
Beliau berkata, pembunuhan itu juga merupakan satu tindakan sabotaj bagi menentang kepentingan dan hubungan diplomasi AS.
Bekas penasihat kepada Barack Obama ketika menjadi Presiden AS iaitu Ben Rhodes juga berkata: "Pembunuhan itu merupakan satu tindakan yang mengejutkan dengan sasaran untuk menjejaskan diplomasi pentadbiran baharu AS dan Iran."
Pembunuhan itu juga berlaku ketika penggal pemerintahan Trump berada dalam minggu-minggu terakhir sekali gus menyebabkan Iran berikrar akan bertindak balas terhadap kejadian itu.
Setakat ini masih tidak diketahui bentuk tindakan balas yang akan diambil oleh Iran.
Seorang koresponden akhbar The Nation, Jeet Heer berkata, Biden sebenarnya tidak berada pada kedudukan yang sesuai untuk mengutuk pembunuhan saintis nuklear itu kerana AS ketika ini masih ditadbir Trump.
Justeru, Biden akan berdepan dengan ujian sebenar untuk memulihkan semula hubungan dengan Iran yang berada pada tahap yang baik ketika AS di bawah pentadbiran Obama yang menandatangani perjanjian JCPOA berkaitan isu nuklear pada tahun 2015. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca