SEBULAN lalu, seorang imam di sebuah masjid di Kota Bharu, Kelantan mengingatkan kepada jemaah yang hadir untuk menunaikan solat Jumaat pada hari itu mengenai kewujudan satu pameran mengenai artifak Nabi Muhammad SAW. Imam tersebut... Klik di sini untuk terus membaca

SEBULAN lalu, seorang imam di sebuah masjid di Kota Bharu, Kelantan mengingatkan kepada jemaah yang hadir untuk menunaikan solat Jumaat pada hari itu mengenai kewujudan satu pameran mengenai artifak Nabi Muhammad SAW.

Imam tersebut menjelaskan bahawa pameran itu dibimbangi boleh mengelirukan masyarakat Islam.

Katanya, antara bahan yang dipamerkan ialah rambut, janggut, darah, peluh dan tongkat milik Rasulullah SAW.

Kebimbangannya terbukti berasas kerana terdapat laporan yang mengatakan pengunjung yang datang untuk menyaksikan pameran itu didapati telah mencium baju kononnya milik Rasulullah SAW.

Menurut imam tersebut, ada di antara artifak yang dipamerkan itu sebenarnya hanyalah replika semata-mata.

Malah, tiada sebarang bukti yang kuat dapat mengesahkan bahawa artifak yang dipamerkan itu adalah milik Nabi Muhammad SAW.

Difahamkan, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah membuat laporan yang mendakwa bahawa sijil pengesahan artifak yang turut dipamerkan dalam pameran tersebut adalah palsu.

Sehubungan itu, polis Kelantan juga telah membuka kertas siasatan berhubung kesahihan pameran tersebut.

Perkara itu turut mendapat perhatian daripada Pengarah Jabatan Hal-Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK), Che Mohd Rahim Jusuh yang khuatir pameran itu boleh mengelirukan masyarakat Islam mengenai sejarah Rasulullah SAW.

Walaupun penganjur mempunyai niat yang baik supaya umat Islam mendapat gambaran sebenar tentang kehidupan Rasulullah SAW namun mereka bertanggungjawab untuk menjelaskan kepada orang ramai tentang status artifak yang dipamerkan.

Pengunjung juga perlu mengetahui bahawa ada artifak yang pamerkan itu hanyalah replika sahaja dan tindakan bertindak mencium pakaian yang dipamerkan dengan niat untuk mendapat keberkatan itu perlu dihentikan kerana khurafat.Penjelasan

Sementara itu, tular di media sosial kenyataan daripada Pengarah Muzium Dinar Islami, Syeikh Muhammad Umar Nato yang membuat penafian melalui rakaman video berkenaan sijil palsu yang menggunakan nama beliau dan muzium peribadinya yang tersebar baru-baru ini.

Sijil tersebut didakwa telah memberikan pengesahan bahawa semua artifak yang dipamerkan adalah tulen.

Bagaimanapun, kesahihan mengenai penafian yang dibuat oleh terbabit itu tidak dapat dipastikan.

Bagaimanapun, pada 27 April 2013, portal Arabnews.com melaporkan kenyataan daripada Mufti Besar Arab Saudi dan Ketua Majlis Ulama Kanan Arab Saudi, Sheikh Abdul Aziz Al Asheikh berhubung perkara tersebut.

Beliau memberi amaran mengenai pihak muzium dan individu yang mempromosikan artifak palsu berkaitan Rasulullah SAW.

Jelas beliau, Nabi Muhammad SAW sudah wafat sejak 1,400 tahun yang lalu dan tidak ada sebarang bukti kukuh mengenai artifak yang dimiliki oleh baginda.

Sehubungan itu, kita berharap agar pihak berkuasa agama dapat memberikan penjelasan berhubung kekeliruan umat Islam berhubung dengan status sebenar pameran tersebut.

Penjelasan yang diberikan itu nanti sekurang-kurangnya dapat memberikan kepastian sama ada pameran yang diadakan itu merupakan artifak sebenar atau sekadar replika semata-mata.

Kita tidak mempunyai sebarang masalah sekiranya artifak yang dipamerkan itu memang bertujuan untuk pendidikan dan pengetahuan mengenai sejarah kehidupan Rasulullah.

Sebagai umat Islam, kita sememangnya wajib mengukuhkan keimanan dan ketakwaan kita kepada ALLAH SWT dan juga Nabi Muhammad SAW.

Sebarang usaha oleh pihak tertentu untuk meningkatkan keimanan dan akidah kita menerusi pameran tersebut harus disokong tetapi jangan sampai ada unsur-unsur yang menyebabkan kita menjadi keliru.

Apatah lagi jika pameran yang dijalankan itu dibimbangi hanya bersifat komersial atau keuntungan dan tersasar daripada matlamat asal.

* Junhairi Alyasa ialah Penolong Pengarang Pengisian Berita Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca