[LAPORAN KHAS] SHAH ALAM - Prosedur pemeriksaan kemasukan daging import ke Malaysia ketika ini sudah cukup bagus jika dibandingkan dengan negara-negara luar.
Ketua Pegawai Eksekutif Palace Butcher Resources, Syed Ashraf Syed Ali berkata, namun ketirisan atau kelonggaran yang berlaku di pelabuhan menyebabkan penyeludupan daging haram itu berjaya menembusi proses pemeriksaan.
"Pada saya prosedur import dan eksport daging terutama daging halal yang diamalkan pihak berkuasa sekarang sudah cukup ketat, malah antara yang terketat di dunia.
"Kami sendiri perlu hadapi banyak prosedur apabila mengambil daging import dari luar negara.
"Jadi jika kes sebegini masih berlaku, bermakna ada sesuatu yang tidak kena,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.
Beliau yang juga pemilik Restoran Me’nate Steak Hub berkata, Jakim juga sentiasa memantau dan mengeluarkan senarai pusat penyembelihan luar negara yang boleh diimport masuk ke dalam negara dan adakalanya senarai itu berubah sekiranya terdapat pusat-pusat yang tidak melepasi kriteria atau penilaian.
Syed Ashraf turut menyarankan supaya kerajaan mengenal pasti jenama yang terlibat serta tempat ia dihantar untuk dijual bagi pengetahuan umum supaya masyarakat terhindar daripada terbeli daging yang diragui status halalnya.
"Jika ada pengguna yang terlihat daging tersebut dijual atau ada penjual yang menjual daging tersebut, mereka boleh membuat laporan kepada pihak berkuasa,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Kartel tukar daging haram jadi halal
Awas, aktiviti seludup masuk daging lembu tidak halal
Maqis tubuh pasukan khas siasat penyeludupan daging sejuk beku