KE MANA tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Itulah perumpamaan untuk Staf Sarjan Jamaludin Yaacob yang menyambung legasi bapanya, Allahyarham Lans Koperal Yaacob Samad sebagai anggota tentera.
Jamaludin, 48, berkata, Allahyarham bapanya mewariskan minat dan tanggungjawab terhadap negara kepada dirinya.
Beliau juga berbangga kerana legasi keperwiraan disambung anak sulungnya, Mohamad Amirul Hafizzudin yang baru menamatkan kursus asas ketenteraan akhir tahun lalu.
Jamaludin atau lebih mesra dengan panggilan Jamal berkata, beliau memulakan perkhidmatan dalam bidang ketenteraan pada 10 Julai 1991 dan bersara pada 04 Ogos 2013.
"Saya memang sudah dikenali ramai dengan ketegasan jika mempertahankan sesuatu. Mungkin kerana perwatakan yang tegas itu pihak atasan menempatkan saya di kem Sungai Buloh dan berada di dalam pasukan Polis Tentera,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Majlis Santai Bersama Persatuan Veteran Angkatan Tentera Tidak Berpencen Malaysia (PVATTBM) di Sungai Buloh baru-baru ini.
Beliau berkata, pasukan Polis Tentera antara pasukan yang paling digeruni kerana anggota yang ditahan dan disyaki melakukan kesalahan akan dibicarakan di Mahkamah Tentera.
Menurutnya, penugasan mencabar itu menuntut sesiapa yang salah akan menerima balasan secara adil.
"Tidak kira sama ada terpaksa menangkap rakan baik sendiri, inilah yang berlaku terhadap saya kerana terpaksa menangkap rakan yang melanggar undang-undang ketenteraan,” kata beliau lagi.
Menurutnya, sebelum bersara, beliau telah ditempatkan di Pusat Latihan Polis Tentera (Pulapot) di Kem Genting Klang, Kuala Lumpur.
"Pengalaman yang ada membuatkan saya cepat matang dan menjaga amanah dengan sebaiknya.
"Kini selepas bersara saya menjawat jawatan ketua pengawal keselamatan di sebuah syarikat pengawal keselamatan,” katanya.
Jamaludin bersyukur kerana tugasnya diiktiraf dan menerima pelbagai pingat serta anugerah sepanjang perkhidmatannya.
Tambahnya, usaha gigih dalam kerjaya serta ciri-ciri kepimpinan yang tinggi turut disenangi rakan dan anggota di bawahnya.
"Saya telah menerima empat pingat perkhidmatan iaitu Pingat Perkhidmatan Am (PPA) pada tahun 1992, Pingat perkhidmatan Am (kedua) 2000, Pingat perkhidmatan Setia (PPS) 2004 dan Pingat perkhidmatan Setia (kedua) 2008,” katanya.
Mengimbau kembali jasa dan tanggungjawab bapanya ketika berkhidmat dengan pasukan tentera, Jamaludin berkata, beliau dimaklumkan bapanya meminati pasukan tentera sejak kecil lagi.
"Beliau bertanggungjawab dan sentiasa mendahulukan keluarga daripada kehendak diri sendiri,” katanya.
Beliau berkata, bapanya berkhidmat di bawah panji 15 RAMD yang berpusat di Kem Rasah Negeri Sembilan.
"Bapa saya merupakan anak sulung daripada empat beradik dan dilahirkan di Kampung Kuala Atok, Raub, Pahang pada 1 Disember 1951,” katanya.
Menurutnya, bapanya menjalani latihan ketenteraan selama tempoh dua tahun dan menamatkan latihan tersebut pada 10 Ogos 1970.
"Sejak daripada itu, beliau telah terlibat dengan beberapa siri operasi di seluruh negara,” katanya.
Tragedi jerangkap samar
Jamaludin berkata, bapanya telah berkongsi cerita mengenai beberapa peristiwa menarik termasuk peristiwa yang membuatkan bapanya nekad untuk bersara pada 10 Ogos 1980.
"Satu peristiwa menyayat hati yang menjadi titik tolak untuk beliau bersara ialah tragedi jerangkap samar di Kuala Lumpur pada tahun 1979,” katanya.
Beliau berkata, bapanya terlibat dalam satu operasi mengesan periuk api dan jerangkap samar setelah diarahkan oleh pihak atasan.
"Unit beliau adalah unit khas yang telah diberi latihan khusus mengesan periuk api dan jerangkap samar,” katanya.
Menurutnya, apabila semua taklimat diberikan, skuad tersebut telah bergerak ke lokasi berkenaan.
"Ketika mengesan jerangkap samar, beliau telah berhenti di satu lokasi apabila menyedari terdapat jerangkap samar.
"Malang tidak berbau apabila rakan beliau tidak sedar arahan untuk berhenti, jerangkap samar itu meletup dan kaki rakannya tersangkut di atas pokok,” katanya.
Jamaludin berkata, akibat kejadian itu bapanya mengalami depresi dan sejak itu nekad untuk berhenti daripada angkatan tentera.
Menurutnya, bapanya juga pernah menceritakan kisah diserang hendap oleh tentera komunis ketika ditempatkan di Unit Rintis Serang yang bertanggungjawab membawa bot menyusuri Sungai Rajang, Sarawak.
Tambahnya, pasukan berkenaan diarah membuat tinjauan di kawasan musuh namun tentera komunis telah berada di tebing sungai dan bersedia membunuh perwira negara.
"Setibanya di lokasi kejadian, ayah saya telah ternampak kelibat tentera komunis dan secara spontan teriakan ‘musuh’,” katanya.
Jamaludin berkata, komunis telah melepaskan tembakan di kiri dan kanan tebing sungai tetapi mujur kesemua anggota tentera yang menaiki bot itu selamat dan berjaya menyelamatkan diri.
Selain itu, bapanya turut berkongsi kisah pasukan tentera diserang hendap di Gerik, Perak dan kenderaan yang membawa perwira negara telah dibom oleh komunis.
"Mujurlah pada hari tersebut ayah saya berada dalam kenderaan lain. Pada asalnya beliau sepatutnya berada di dalam kenderaan yang dibom itu,” katanya.
Kekejaman komunis
Menurut Jamaludin, kenangan dan kekejaman komunis sukar untuk digambarkan dan adakala bapanya mengelak untuk bercerita mengenai peristiwa yang dialami.
"Beliau telah dianugerahkan Pingat Perkhidmatan AM atas segala sumbangan beliau di dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya lagi.
Jamaludin berkata, bapanya menamatkan zaman bujangnya pada 20 Julai 1971 setelah berkahwin dengan ibunya, Rohani Abd Rahim.
"Sememangnya sebagai anggota tentera, jihad adalah mempertahankan negara,” katanya.
Menurutnya, bagi masyarakat sekarang, kehidupan selepas berkahwin penuh dengan bulan madu dan segala kebahagiaan berbanding zaman dahulu.
"Pada masa itu, tuntutan negara paling utama dan ayah saya acapkali meninggalkan ibu walaupun baru sahaja berkahwin. Syukur ibu sangat memahami. Perkara ini merupakan asam garam dalam kehidupan isteri anggota tentera,” katanya.
Tambahnya, hanya doa dan air mata sahaja yang mengiringi setiap kali berjauhan kerana keluarganya sudah diajar berbakti kepada negara menjadi keutamaan dan kasih sayang tidak dapat diberikan sepenuhnya kerana sering terlibat dalam operasi.
Beliau berkata, apabila tamat perkhidmatan, semangat ketenteraan masih menebal dalam diri bapanya.
"Banyak aktiviti kemasyarakatan yang berteraskan angkatan tentera telah disertai, malah apabila terdengar skuadnya yang sakit atau demam, dia akan menziarah,” katanya.
Jamaludin berkata, bapanya meninggal dunia pada 10 September 2004 akibat strok serta kanser otak.
"Beliau berhasrat untuk makan cendol berhampiran Flat Pekeliling namun tidak kesampaian,” katanya.
Jamaludin berkata, ibunya pula meneruskan kerja-kerja kemasyarakatan kerana menganggap kesinambungan tugasan yang dimulakan suami perlu diteruskan.
"Ibu bergerak aktif dengan Srikandi Veteran angkatan tentera cawangan Raub,” katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua PVATTBM Selangor, Faridah Mat Hussain berkata, masyarakat kini seharusnya menghargai jasa tentera yang sanggup mengadaikan nyawa demi mempertahankan negara.
"Generasi muda sepatutnya melahirkan rasa bersyukur dan terhutang budi di atas pengorbanan perajurit negara yang berkorban jiwa dan raga demi mendaulatkan bumi tercinta ini,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca