MELAYU adalah suatu bangsa terdiri daripada pelbagai suku kaum, pelbagai budaya (cara hidup). Kajian sejarah mendapati bangsa Melayu berasal daripada rumpun yang sama.
Oleh itu walaupun ada perbezaan cara hidup tetapi mereka kerap berkongsi kesamaan dalam perkara tertentu seperti makanan, masakan, bahasa, pakaian dan lainnya.
Penduduk Melayu sejak beribu tahun dulu sudah hidup di kawasan yang kini dikenali sebagai Nusantara. Wallace (1869) menyebutnya sebagai The Malay Archipelago (Kepulauan Melayu).
Bangsa Barat kemudian datang menjajah, beratus tahun lamanya, mengamalkan cara ‘pecah dan perintah’.
Di setengah negeri Melayu, penjajah membawa masuk suku bangsa lain. Impaknya selepas penjajahan, Melayu terpecah-pecah dan menjadi negara-negara kecil, muncullah Indonesia, Malaysia, Singapura, Brunei, Filipina dan lainnya.
Negeri-negeri seperti Malaysia dan Singapura, kini menjadi negara berbilang bangsa selain bangsa Melayu, juga ada bangsa Cina, India serta lainnya.
Dalam persaingan dunia yang semakin ketat hari ini, perkara penting yang kurang begitu diminati oleh generasi Melayu adalah isu-isu berkaitan dengan jati diri terutamanya jati diri kaum. Keadaan Melayu di Indonesia dan Malaysia hampir sama saja.
Jati diri kaum adalah ciri-ciri keaslian suatu kaum yang terlihat melalui paras muka dan budayanya; bahasa, pakaian, tingkah laku atau lainnya.
Sementara dalam kajian-kajian ilmu kemasyarakatan didapati bahawa punca kejayaan bangsa Melayu zaman dahulu antaranya kerana memelihara dan mempertahankan ciri-ciri budaya serta warisan bangsa bagi membina kekuatan jati diri.
Oleh itu, kekuatan jati diri akan berperanan penting dalam mengekalkan keberadaan bangsa Melayu pada masa depan.
Melayu hari ini dinilai hampir kehilangan jati diri, disebabkan mereka telah kehilangan banyak nilai murni adat budaya.
Ditambah pula berlakunya kekacauan pelbagai bidang kehidupan, yang terburuk adalah kekacauan akhlak menyebabkan kekacauan berfikir.
Angkara penjajah
Penulis cuba mencari akar masalahnya daripada pelbagai segi; sejarah, penjajahan, sosiobudaya, pendidikan, ekonomi, politik dan lainnya.
Didapati kekacauan yang membuat orang Melayu, termasuk sikap pemimpin yang leka dan tak peduli kepada jati diri, rupanya berpunca daripada pihak penjajah juga yang ternyata tidak reda negara-negara bekas jajahannya terlepas dan bebas begitu sahaja.
Oleh itu, sebelum bangsa Melayu merdeka, mereka telah mempersiapkan kajian dan langkah-langkah agar penjajahan itu tetap lestari.
Barat faham bahawa penjajahan fizikal tidak mungkin lagi dilakukan. Maka menjajah minda adalah cara terbaik dan berkesan.
Perkara itu boleh dilakukan kerana daripada hasil kajian para orientalis terdahulu, penjajah sudah tahu sifat-sifat bangsa Melayu yang lembut, peramah, mudah percaya, dan sudah tentu senang untuk ditipu.
Ilmu dalam kajian Islam sepatutnya dibagi tiga, iaitu; hablum-minannas, hablum-minal a’lamin, keduanya bersepadu dengan hablum-minallah.
Barat sudah lebih dahulu menguasai dua ilmu; sains sosial (hablum-minannas), teknologi maklumat (hablum-minal a’lamin). Tetapi mereka agak lemah dalam hablum-minallah, malah ada yang tak percaya agama.
Melayu pula, ramai yang tidak faham bahawa perkara sosiobudaya atau hablum-minannas termasuk juga dalamnya soal bahasa amat erat kaitannya dengan minda manusia tetapi pihak Barat sudah lebih dahulu menguasainya.
Malah jauh sebelum negeri-negeri Melayu merdeka, Binnet (1907) seorang cendekiawan Perancis telah menulis tentang The Mind and The Brain sementara di Amerika, Chomsky (1968) menulis tentang Language and Mind.
Diamati, daripada kajian tentang pemikiran inilah bermulanya gerakan imperialisme atau neokolonialisme (penjajahan gaya baru) yang kini kembali menjajah minda Melayu, hal yang sama juga berlaku di negeri bekas jajahan Barat lainnya.
Tak seimbang
Sehingga kini, Barat sentiasa mengembangkan kajian tentang pemikiran ini, yang terbaru Thomson (2017) dalam Culture as Weapon, ia melihat budaya boleh dijadikan senjata.
Walaupun kajian Thomson bertujuan ekonomi, tapi tidak menutup kemungkinan pakar-pakar strategi Barat mengubahnya untuk kegunaan perang kebudayaan sepertimana dicetuskan oleh Huntington (1993) dalam Clash of Civilizations.
Imperialisme telah menyusup masuk melalui berbagai sistem pemerintahan orang Melayu; ekonomi, politik, pertahanan, sosiobudaya, malah tanpa disedari pendidikan kita telah dipesongkan.
Salah satu contohnya adalah pemisahan jurusan pada peringkat sekolah, yang pandai-pandai masuk Sains atau Ilmu Pengetahuan Alam di Indonesia, yang kurang pandai masuk jurusan Sastera (Ilmu Pengetahuan Sosial).
Inilah puncanya mengapa hari ini ramai orang Melayu lemah dalam sastera, lebih banyak tahu daripada faham.
Keadaan ini membuat pengembangan ilmu pengetahuan di alam Melayu berjalan tidak seimbang.
Tokoh-tokoh Melayu yang tidak faham makna dan pentingnya pengetahuan kesusasteraan, cenderung meremehkan dan tidak peduli.
Kuatnya pengaruh Barat adalah kerana lemahnya jati diri, telah melahirkan generasi xenomania yang selalu mengagungkan, memuja memuji Barat.
Syed Hussein Alatas (1991) dalam Intelektual Masyarakat Membangun menyebutnya sebagai Melayu ‘watak tertawan’.
Inilah kelompok Melayu yang sudah hanyut secara kebudayaan dan hanya menunggu waktu untuk tenggelam.
Sasterawan Indonesia, Pramoedya Ananta Toer pernah berkata: "Mentaliti bangsa terjajah dan kalah, belum tentu boleh hilang setelah tiga generasi bangsa itu hidup dalam kemerdekaan politik.
Sebaliknya mentaliti bangsa unggul dan penakluk juga tidak mudah dihapus dalam tiga generasi setelah bangsa itu kehilangan jajahannya.”
Justeru Melayu kini di bawah ancaman. "Langkah pertama untuk hancurkan sebuah bangsa atau negara adalah menghapus ingatannya.
Hancurkan buku, budaya dan sejarahnya. Kemudian minta seseorang menulis buku baharu, mempersembahkan budaya baharu, mencipta sejarah baharu.
Tidak lama bangsa itu akan mula melupakan apa yang berlaku sekarang dan pada masa lalu, bahkan dunia akan segera melupakannya.
Perjuangan manusia melawan kekuasaan adalah perjuangan daya ingat melawan lupa,” begitu kata Kundera (1994) dalam The Book of Laughter and Forgeting. Bukankah itu sekarang yang sedang berlaku kepada orang Melayu?
*Dirwan Ahmad Darwis ialah pencinta sejarah dan budaya kelahiran Indonesia. Beliau juga pemerhati budaya di Institut Antarabangsa Tamadun Islam dan Alam Melayu (ISTAC)
Klik di sini untuk terus membaca