FORMULA utama yang menjadi kekuatan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah dengan menjaga kebajikan rakyat. Kesungguhan yang ditunjukkan oleh parti itu menyebabkan rakyat yakin mereka mendapat pembelaan yang sewajarnya. Menurut... Klik di sini untuk terus membaca

FORMULA utama yang menjadi kekuatan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah dengan menjaga kebajikan rakyat.

Kesungguhan yang ditunjukkan oleh parti itu menyebabkan rakyat yakin mereka mendapat pembelaan yang sewajarnya.

Menurut Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan, jika parti itu meneruskan budaya tersebut maka mereka akan terus mendapat sokongan daripada rakyat.

"Arahan Muhyiddin sangat jelas bahawa kita perlu hentikan pertelagahan politik yang tak perlu pada masa ini dan fokus kepada macam mana hendak jaga kebajikan rakyat supaya tidak ada yang terus terhimpit dalam keadaan sekarang,” katanya.

Ikuti wawancara Sinar Ahad bersama Wan Saiful yang dikendalikan oleh Penolong Pengarang Pengisian Berita, Junhairi Alyasa serta wartawan Mohd Hafiz Ismail dan Engku Shariful Azni di Ibu Pejabat Bersatu di Petaling Jaya baru-baru ini.

SINAR AHAD: Banyak dakwaan mengatakan kerajaan PN merupakan kerajaan pintu belakang, tidak sah dan sebagainya. Apa komen anda?

WAN SAIFUL: Pada saya tuduhan seumpama ini dimanipulasi semata-mata ia kali pertama berlaku dalam negara sedangkan di negara-negara demokrasi matang, pertukaran kerajaan pada pertengahan penggal tanpa melalui pilihan raya adalah perkara biasa.

Dalam negara demokrasi berparlimen seperti Malaysia, pemilihan kerajaan dibuat oleh rakyat bagi memilih wakil rakyat. Wakil rakyatnya menunjukkan sokongan kepada Perdana Menteri. Perdana Menteri itu yang memilih kerajaan.

Apabila Perdana Menteri dalam konteks Malaysia hilang majoriti atau meletakkan jawatan dan kemudian ada individu lain yang mempunyai majoriti, maka dia yang akan menjadi Perdana Menteri. Ini proses sah dan teratur dalam Perlembagaan negara kita.

Situasi sama berlaku di Itali pada 2018 di mana negara itu jauh lebih matang daripada kita dalam soal demokrasi. Apa yang berlaku ialah perdana menteri mereka dipilih pada pertengahan tahun sedangkan pilihan raya berlaku pada bulan Mac. Perbincangan memilih perdana menteri cukup panjang kerana melibatkan sebuah kerajaan gabungan.

Namun, pada awal tahun 2019 bertukar lagi kerajaan kerana parti-parti komponen dalam kerajaan yang dibentuk pada 2018 itu isytiharkan mahu keluar dan mahu bentuk kerajaan lain. Kebetulan mereka memilih perdana menteri yang sama.

Wan Saiful Wan Jan

Di Malaysia sekarang, orang yang tuduh Perikatan Nasional (PN) kerajaan pintu belakang itulah yang mahu mengusahakan pertukaran kerajaan tanpa melalui pilihan raya. Ini perbuatan hipokrit.

Kalau apa yang berlaku sebelum ini tidak betul, mengapa mereka nak melakukan perkara yang sama sekarang?

Bagaimana anda melihat prestasi kerajaan PN pada ketika ini, adakah lebih baik daripada PH ?

Realitinya prestasi kerajaan sekarang dalam membela nasib rakyat sangat baik. Kita juga lihat pengiktirafan yang diperoleh pada Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) anjuran Malaysia yang dihadiri pemimpin tertinggi dunia yang mewakili negara masing-masing.

Kita juga berjaya tangani krisis Covid-19. Jika dibandingkan dengan apa yang berlaku di dunia, kita jauh lebih baik berbanding negara-negara maju. Ini kejayaan kerajaan yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Betul rakyat kita terhimpit oleh krisis kesihatan yang membawa kepada kemungkinan krisis ekonomi tetapi dalam himpitan itu, rakyat tetap terbela dengan pelbagai pakej rangsangan. Ini semua kejayaan yang dicapai dalam jangka masa pendek dan kita akan teruskan.

Pada masa ini, Bersatu diserang dari pelbagai sudut baik oleh pembangkang mahupun rakan dalam kerajaan PN. Apakah faktor Bersatu masih mampu bertahan?

Kekuatan utama kita ialah kepimpinan Muhyiddin sendiri yang sentiasa komited untuk memastikan kebajikan rakyat terbela. Betul banyak perbezaan pandangan dan perselisihan dalam parti gabungan PN. Jangan nafi perkara ini. Cabaran ini berlaku kerana inilah kali pertama gabungan dibentuk selepas pilihan raya. Dalam suasana baharu ini, gabungan ini cuba mencari keserasian.

Kita dah jumpa sedikit sebanyak formula dan kekuatan Bersatu. Kita boleh katakan bahawa kekuatan kita ialah menjaga kebajikan rakyat. Ini menyebabkan rakyat dapat lihat bahawa kita bersungguh-sungguh membela mereka, ekonomi dapat dibina kembali, peluang pekerjaan dapat ditambah dan peluang-peluang bagi peniaga kecil dapat dibuka kembali.

Jika kita fokus kepada perkara ini maka rakyat melihat bahawa kita benar-benar serius untuk menjaga mereka. Saya rasa selagi mana kita teruskan budaya ini, kita akan dapat sokongan daripada rakyat. Arahan Muhyiddin sangat jelas bahawa kita perlu hentikan pertelagahan politik yang tak perlu pada masa ini dan fokus kepada macam mana hendak jaga kebajikan rakyat.

UMNO telah membuat pelbagai permintaan dalam Belanjawan 2021 dan kini mereka meminta supaya jawatan Timbalan Perdana Menteri pula. Apa pandangan anda?

Saya rasa apa sahaja permintaan atau pandangan daripada rakan PN merupakan sesuatu yang sihat dan saya tidak nampak masalah kalau diteruskan.

Apabila rakan komponen memberikan cadangan dan kerajaan memberikan respons dengan menerima cadangan itu, ia suatu yang positif. Dalam Belanjawan, ada beberapa perkara dipinda untuk disesuaikan dengan permintaan rakan komponen. Mengenai jawatan dalam kerajaan, kita perlu faham tentang Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa yang melantik semua anggota Kabinet ialah Perdana Menteri.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri menyatakan bahawa ia kuasa Perdana Menteri. Apa boleh saya katakan ialah kuasa Perdana Menteri perlu dihormati kerana jika tidak, kucar-kacir jadinya.

Apakah mesej penting Muhyiddin kepada pimpinan dan ahli Bersatu pada Perhimpunan Tahunan Bersatu baru-baru ini?

Ucapan yang paling penting oleh Presiden ketika itu ialah kita perlu menawarkan politik khidmat untuk bersedia menempuh PRU15 kerana ia relevan dengan suasana sosioekonomi negara sekarang.

Dengan struktur sosial yang berubah secara drastik, terutamanya bagi mereka yang hilang pekerjaan, politik yang kita perlu tawarkan adalah politik berbentuk khidmat kepada masyarakat. Jika kita boleh tunjukkan keprihatinan kita kepada rakyat, kita boleh dapatkan sokongan mereka.

Muhyiddin ada menyebut bahawa terdapat jurang antara parti-parti dalam Bersatu, terutamanya dengan UMNO. Bagaimana ulasan anda?

Kita perlu faham bahawa Bersatu dibentuk oleh mereka yang keluar daripada UMNO di peringkat atasan. Tapi dalam kalangan anak muda, saya rasa Bersatu merupakan parti pertama yang disertai oleh mereka.

Jadi, pandangan masyarakat bahawa Bersatu dibentuk oleh orang UMNO sepenuhnya adalah tidak betul. Saya sendiri datang daripada Pas.

Berlaku pertelingkahan antara parti-parti sebelum PRU-14, luka-luka itu pasti ada. Muhyiddin juga berkata bahawa luka-luka itu pasti masih ada hingga kini.

Jadi Bersatu perlu memainkan peranan untuk menjadi pihak yang menenangkan keadaan. Kita menyatukan hati ahli-ahli parti yang ingin memperjuangkan nasib rakyat.

Jadi sambil kita fokus untuk memikirkan masa depan negara, kita tidak mahu ada perpecahan berlaku kerana yang untungnya bukan kita, tetapi orang yang ingin melihat perpecahan itu berlaku. Oleh itu, kita perlu bertanya kepada diri kita sendiri. Jika benar luka itu masih ada, adakah kita perlu biarkan sahaja dan biarkan orang lain yang mengambil alih tempat kita dalam kepimpinan negara? Atau kita berusaha lebih baik dengan mengubati luka tersebut dan kita boleh jadi keluarga yang lebih baik?

Kekuatan utama kita ialah kepimpinan Muhyiddin sendiri yang sentiasa komited untuk memastikan kebajikan rakyat terbela. - Wan Saiful

Pada saya, saya memilih untuk menjadi parti yang menenangkan keadaan dan tidak menari mengikut rentak sesetengah pihak yang cuba mengapi-apikan keadaan.

Kini kita sedang memasuki era politik baharu, yang mana 60 tahun pertama sejak negara kita merdeka, politiknya berteraskan satu parti yang besar dan mendominasi kerajaan.

Tapi sekarang suasana tersebut sudah tiada. Parti dominan seperti UMNO telah ditolak oleh rakyat dalam PRU14. Jadi mereka bergabung dengan Pas serta Bersatu.

Ada segelintir pihak mengatakan bahawa Bersatu tidak mempunyai jentera yang kuat untuk bertanding dalam PRU akan datang. Apa komen anda?

Ramai beranggapan bahawa parti Bersatu adalah sebuah parti yang kecil dan tiada jentera di bawah kerana sebagai parti yang baharu, kita banyak belajar daripada parti-parti lain.

Ada parti yang mempunyai berbelas ribu cawangan, tapi separuh daripadanya tidak boleh membuat persidangan. Jadi ia tidak boleh memenuhi peraturan Pendaftar Pertubuhan (ROS), ada risiko menyebabkan seluruh parti itu terkesan akibat kegagalan untuk berfungsi oleh parti-parti di peringkat cawangan yang terlalu banyak.

Jadi di peringkat awal perlembagaan kita, kita cadangkan satu cawangan hanya boleh tubuhkan satu Pusat Daerah Mengundi (PDM). Contohnya di Baling, kita boleh ada sebanyak 65 cawangan kerana mereka mempunyai 65 PDM dalam kawasan parlimen tersebut.

Tapi sekarang, lebih ramai rakyat yang memohon untuk menjadi ahli kita. Pada Perhimpunan Agung Tahunan baru-baru ini, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata terdapat lebih kurang 120,000 orang yang masih diproses keahliannya.

Apa yang kita putuskan baru-baru adalah untuk meminda perlembagaan bagi membolehkan lebih daripada satu cawangan ditubuhkan di setiap satu PDM. Hal ini akan memperbanyak jentera untuk menyertai PRU.

Betulkah desas-desus mengatakan Bersatu hanya menumpang kekuatan Pas dan UMNO dalam PN, yang merupakan parti yang lama di Malaysia?

Seperti parti-parti lain dalam satu gabungan, kita menumpang semua parti lain dalam PN. Kalau masing-masing nak jadi hero, lebih baik kita bertanding sendiri dan tak perlu buat gabungan. Tapi ini merupakan budaya politik Malaysia ini sejak awal kemerdekaan, tidak ada satu parti yang boleh mewakili kekuatan secara menyeluruh.

Jadi, saya rasa tidak realistik jika kita tidak menumpang kekuatan sesiapa. Jika ada parti yang lemah, parti yang kuat akan menyokong, begitulah ia berfungsi. Tiada lagi istilah ‘big brother’ dalam isu ini, sebaliknya semua parti saling memperkukuh antara satu sama lain.

Boleh anda jelaskan faktor-faktor yang mungkin akan menghalang Bersatu mendapatkan mandat rakyat menjelang PRU15?

Saya rasa risiko yang paling besar yang mungkin berlaku nanti adalah perpecahan sesama kita, terutamanya dalam gabungan PN sendiri.

Realitinya, tiada mana-mana parti yang boleh mendapat majoriti mutlak dalam politik Malaysia sekarang. Tiada parti yang boleh mendapat lebih separuh kerusi Parlimen. Jadi dalam keadaan itu, selagi kita memegang amanah yang diberi oleh rakyat untuk memimpin negara, kesatuan ini perlu dijaga. Jika gabungan ini berpecah, maka mereka yang tidak menyokong politik bumiputera Melayu yang akan mendapat untung.

Realitinya suasana politik di Malaysia sedang berubah. Dalam proses itu, pastinya terdapat kepincangan dan cabaran serta kelemahan yang akan muncul.

Contohnya di Indonesia, perubahan daripada autokrasi kepada demokrasi mengambil masa kira-kira 15 hingga 20 tahun. Perubahan daripada satu parti besar dalam negara kepada gabungan parti-parti politik yang setara antara satu sama lain juga perlukan masa. Mahu atau tidak, proses transisi ini perlu diuruskan dengan baik.

Pada saya, pergolakan ini akan berterusan untuk beberapa tahun lagi. Jadi, inilah masanya kita sebagai pihak yang terus berada dalam dunia politik ini membina kematangan dalam parti kerana kita sedang diuji oleh satu gelombang yang tidak pernah dilalui oleh pihak-pihak sebelum ini.

ANEKDOT

Ahli Bersatu marah MB Perak disingkir

Peristiwa di Perak melukakan hati kita di Bersatu. Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ialah tokoh besar dalam parti dan Timbalan Presiden yang amat banyak jasa kepada Bersatu. Beliau memimpin Perak dengan baik dan banyak kebaikan yang dapat dilihat. Beliau juga sentiasa mesra dengan semua. Kita amat kesal dengan apa yang berlaku.

Ahli-ahli kita marah kerana peristiwa di Perak menyebabkan DAP bergembira. Kami dalam Bersatu ambil risiko tinggalkan DAP dan PH, tetapi tiba-tiba sekarang ada pula yang menjamu hidangan besar kepada mereka.

Kita lihat sidang media PH selepas sidang DUN, yang mengetuai perayaan mereka adalah DAP. Kalau ya pun ada perkara yang mahu diubah, bukankah lebih baik kita sesama parti Melayu Islam berbincang dahulu secara baik dan secara tertutup?

Saya lihat Pas amat tegas. Mereka serta-merta menyatakan tidak akan terlibat dalam pembentukan kerajaan baru. Biro Politik Bersatu juga telah mengeluarkan kenyataan bahawa kita akan terus bersama Pas dan rakan-rakan lain dalam PN dalam membuat keputusan selanjutnya. Maka kita akan ikut ketetapan tersebut dan kita akan rujuk dahulu dengan Majlis Tertinggi PN dalam hal ini.

Bagi saya keutamaan kita haruslah memastikan kesatuan dalam kalangan parti-parti peribumi untuk manfaat rakyat semua bangsa. Kita ikhlas mahu kesatuan ini berterusan kerana kita yakin model politik negara ini menuntut kesatuan dalam kalangan kelompok terbesar dalam negara agar wujud kestabilan yang akan menghasilkan kesejahteraan untuk semua rakyat berbilang kaum dan agama.

Kalau kita sengaja mengusahakan perpecahan, maka yang gembira adalah musuh politik kita. Apa faedahnya kalau itu berlaku? Sebab itulah Presiden kami, Tan Sri Muhyiddin sentiasa tekankan bahawa kita mesti bersatu dan mesti fokus kepada politik khidmat.

Saya lihat beliau sentiasa istiqamah dalam hal ini. Politik berlebihan hanya akan membuat rakyat bertambah benci kerana rakyat nak dibantu, mereka tak mahu orang politik yang fikirkan diri sendiri sahaja.

Peristiwa yang mengubah Wan Saiful

Ada beberapa peringkat yang telah membentuk keperibadian saya. Pertamanya, penglibatan saya dengan Pas dari tahun 1992 hingga saya buat keputusan keluar parti pada 2018. Penglibatan saya dalam Pas bukan untuk kepentingan peribadi sebaliknya mahu berkhidmat kepada rakyat. Ia perlukan keikhlasan dalam jiwa.

Kedua, saya juga ditimpa satu dugaan dalam keluarga. Pada bulan Julai tahun ini, isteri saya disahkan menghidap kanser usus. Dia menjalani pembedahan untuk mengeluarkan bahagian yang terlibat pada awal Ogos lalu.

Kini, dia sedang menjalani rawatan kemoterapi di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM). Hal ini menyebabkan saya melihat semula apa yang saya lakukan dalam konteks kekeluargaan.

Kita perlu luangkan masa bersama keluarga, dan ada masanya kita perlu fokus kepada agenda yang telah dirancang untuk berkhidmat kepada masyarakat.

Saya juga menyedari tentang pentingnya menjaga kesihatan rakyat. Saya bernasib baik kerana saya mempunyai simpanan terdahulu.

Saya mungkin selesa, tapi bagaimana dengan orang lain yang tidak berkemampuan? Dugaan yang berlaku ini membentuk keperibadian saya.

Bila saya melihat cara para doktor dan jururawat merawat isteri saya, hal ini menimbulkan penghormatan yang tinggi kepada mereka, khususnya kumpulan barisan hadapan yang perlu dihargai.

PROFIL

WAN SAIFUL WAN JAN

Umur: 45 tahun

Asal: Alor Setar, Kedah

Pendidikan: Sekolah Sultan Alam Shah; Universiti Northumbria; Universiti Middlesex, London

Jawatan:

Ketua Penerangan Bersatu

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)

Bekas CEO Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS)

Klik di sini untuk terus membaca