SHAH ALAM - Hasrat UMNO yang mahu menjalinkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) termasuk DAP untuk membentuk kerajaan baharu di Perak bakal mencetuskan perpecahan dalam kalangan ahli parti tersebut sekiranya ia berjaya direalisasikan.... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Hasrat UMNO yang mahu menjalinkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) termasuk DAP untuk membentuk kerajaan baharu di Perak bakal mencetuskan perpecahan dalam kalangan ahli parti tersebut sekiranya ia berjaya direalisasikan.

Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Politik dan Pentadbiran Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, UMNO juga bakal kehilangan kepercayaan orang Melayu terhadap parti itu sekiranya UMNO tidak berwaspada dalam tindakannya menyelesaikan krisis politik di Perak.

"Bagi saya, UMNO perlu berhati-hati untuk mewujudkan jajaran politik baharu kerana Malaysia di ambang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Jika pilihan bekerjasama dengan PH menjadi kenyataan, UMNO akan berhadapan cabaran besar khususnya mencetuskan perpecahan dalaman parti dan kehilangan undi orang Melayu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Mohammad Tawfik berkata, UMNO juga perlu melihat kembali kepada legasi dan sejarah panjang politik parti tersebut yang membolehkan mereka terus mendapat kepercayaan orang Melayu.

"Walaupun UMNO dan Pas pernah berseteru dalam politik negara, tetapi Pas mempunyai DNA politik UMNO dan pernah bekerjasama bersama dalam kerajaan campuran tahun 1973.

"Pada pandangan saya, UMNO tidak seharusnya mencipta sejarah buat kali pertama untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan khususnya DAP.

"UMNO tidak perlu menghancurkan sejarah politiknya yang dihormati orang Melayu semata-mata untuk menjawat jawatan Menteri Besar dengan bekerjasama dengan DAP,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Sidang DUN Perak tidak dapat diteruskan tanpa MB, 4 Exco

UMNO sedia kerjasama PH bentuk kerajaan di Perak

Beliau berkata, jalan terbaik yang perlu diambil ialah dengan UMNO bersama parti lain dalam Perikatan Nasional (PN) memperbaharui kerjasama mereka dengan kembali memperkasa perhubungan antara mereka.

"Bagi saya rundingan perlu melibatkan agihan peringkat Persekutuan dan negeri bagi meredakan ketegangan dan pada masa sama mengiktiraf satu sama lain.

"PN boleh membawa Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ke kerajaan Persekutuan sebagai menteri dan melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO sebagai Menteri Besar Perak.

"Dengan langkah tersebut, sudah pasti ketegangan antara ADUN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Perak akan reda,” katanya.

Mohamad Tawfik berkata, untuk jangka masa panjang, PN perlu menetapkan sebuah penjajaran politik baharu yang lebih adil di semua peringkat.

"Parti yang mempunyai kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) terbanyak perlu diberikan ruang untuk mengetuai kerajaan negeri," katanya.

Terdahulu, UMNO melalui Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa parti tersebut sedia bekerjasama dengan PH termasuk DAP untuk membentuk kerajaan baharu di Perak sekiranya jajaran gabungan parti terdahulu tidak dapat diteruskan.

Klik di sini untuk terus membaca