PERKHABARAN mengenai pembentukan semula program Harimau Muda mulai tahun depan dilihat sebagai satu detik yang hadir tepat pada masanya.
Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan berkata, program itu bakal memberikan peluang kepada barisan pemain muda khususnya dari Akademi Mokthar Dahari (AMD) serta akademi di seluruh negara mengembangkan bakat mereka bersama Harimau Muda.
"Bagi saya, penubuhan Harimau Muda ini ada baiknya. Seperti yang kita tahu, ada sebahagian pemain dari AMD, kebiasaannya mereka akan diambil pasukan seperti Selangor dan Johor Darul Ta’zim (JDT).
"Tetapi Selangor dan JDT hanya akan ambil kira-kira 10 hingga 15 pemain tetapi pemain yang selebihnya, hendak ke mana? Kalau ada pasukan Harimau Muda, itulah tempat untuk mereka teruskan karier masing-masing.
"Tidak seperti rakan-rakan mereka yang dapat bersama pasukan hebat seperti JDT dan Selangor tetapi apa pula nasib mereka jika tidak mendapat tawaran daripada mana-mana pasukan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Sebelum ini, timbul ura-ura sebuah pasukan dibarisi pemain muda negara seakan-akan program Harimau Muda yang ditubuhkan pada 2007 akan bertanding dalam Liga Malaysia (Liga-M) musim 2021.
Ia sekali gus menimbulkan persoalan mengenai rasional penubuhan skuad muda negara itu tatkala keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memansuhkan program Harimau Muda pada 2015 dengan tujuan mengembalikan tanggungjawab membangunkan pemain belia kepada kelab.
Mengulas lanjut, Sathianathan berkata, penubuhan semula skuad Harimau Muda tidak harus dipolemikkan, sebaliknya melihat ia sebagai platform melahirkan lebih ramai pemain muda berkualiti.
"Ini peluang kepada pemain-pemain muda mengasah bakat mereka. Jika benar ada pasukan Harimau Muda yang bertanding dalam Liga-M, ia satu perkara yang harus dilihat dari sudut positif.
"Kita sendiri pernah melihat pasukan Harimau Muda bersaing dalam Liga-M selain liga di Singapura, Slovakia dan Liga Queensland di Australia sebelum ini. Ia satu pendedahan yang cukup baik,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca