SHAH ALAM - Kerajaan kini berdepan dilema antara keperluan ekonomi dan dalam masa sama mahu mengawal wabak Covid-19.
Pakar Kesihatan Pekerjaan, Kecemasan dan Kesihatan Awam, Dr Hanafiah Bashirun berkata, berikutan itu kerajaan terpaksa membenarkan pergerakan merentas negeri dan menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negara kecuali beberapa negeri bagi merangsang semula ekonomi negara.
"Sebenarnya kerajaan hari ini berdepan kesukaran kerana ekonomi negara kita tidak sekukuh negara Eropah dan negara maju yang lain.
"Kalau PKPB masih diteruskan, negara mengalami kerugian kira-kira RM300 juta sehari. Jadi bagaimana kerajaan hendak menampung kerugian itu?
"Jadi mahu atau tidak, keputusan itu terpaksa dibuat untuk merangsang kembali ekonomi negara,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Dr Hanafiah berkata, PKPB dilihat tidak membantu melandaikan lekuk kes Covid-19 di negara ini.
"Walaupun PKPB dilaksanakan di seluruh negeri, namun pada saya ia tidak membantu dari segi penurunan kes. Setiap hari negara mencatatkan sebanyak 800 hingga 1,000 kes.
"Banyak sektor terutama pelancongan terkesan dengan pelaksanaan PKPB ini. Sebab itu aktiviti ekonomi perlu digerakkan kerana ramai yang terkesan akibat Covid-19 ini,” katanya.
Dr Hanafiah berkata, penguatkuasaan perlu dipertingkatkan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
"Peningkatan kes berlaku disebabkan masyarakat semakin lalai dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), tiada penjarakkan fizikal dan tidak memakai pelitup muka.
"Tidak guna kerajaan melaksanakan PKPB di seluruh negara tetapi rakyat masih lalai dalam soal ini. Justeru, kerajaan perlu tingkatkan penguatkuasaan.
"Mereka yang lalai dalam pematuhan itu perlu dikenakan saman tanpa belas ihsan bagi memberi pengajaran kepada orang lain.
"Malah penglibatan inspektor kesihatan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu bagi membantu memantau pematuhan SOP,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, kerajaan diminta mengetepikan isu dan campur tangan ahli politik dalam menangani Covid-19 dan isu ekonomi.
"Kerajaan perlu membentuk pasukan khas melibatkan pelbagai pihak termasuk ahli akademik, badan profesional dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam menyemak serta merangka strategi dan tindakan terbaik bagi menghadapi pandemik Covid-19.
"Para profesional dan ahli teknikal akan menghasilkan tindakan yang lebih baik dan berkesan. Ketika ini, kerajaan perlu fokus kepada memperbaiki kestabilan politik,” katanya.
Katanya, komunikasi statistik yang tidak tepat akan menambahkan lagi kegusaran rakyat.
"Rakyat kini menjadi mangsa situasi di luar kawalan mereka iaitu ancaman Covid-19, tekanan ekonomi dan kecelaruan politik.
"Boleh dikatakan rakyat sudah di tahap kurang percaya dan tidak ambil peduli dengan tindakan atau cadangan pihak berkuasa.
"Ditambah lagi tindakan yang tidak konsisten dan anggapan pihak yang mempersoalkan ketelusan pihak berkuasa terutama dalam menguruskan Covid-19,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: PKPB: Tiada lagi sekatan rentas daerah, negeri bermula Isnin ini
PKPB di beberapa negeri ditamatkan, elak impak ekonomi
SOP pelancongan, arahan bekerja dari rumah diteliti semula
Klik di sini untuk terus membaca