SHAH ALAM - Keadaan politik di Perak yang masih 'tergantung' hanya bersifat sementara, kata penganalisis politik daripada Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi.
Beliau turut percaya keadaan itu akan segera berubah kerana semua parti akan akur dengan apa sahaja keputusan yang mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
"Hanya 'tergantung' sementara seperti mana sekarang kerana belum ada kata putus mengenai pelantikan menteri besar. Sultan Nazrin sudahpun memanggil semua parti atau wakil parti mengadap.
"Jadi saya berpandangan Sultan Nazrin akan dapat merumuskan formula terbaik untuk membantu bagi memastikan kestabilan politik di negeri Perak," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menghadap Sultan Nazrin pagi tadi bagi memohon perkenan Sultan Nazrin mempertimbangkan calon Menteri Besar Perak.
Turut dilihat memasuki Istana Kinta pagi tadi ialah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Saarani Mohamad, yang disebut-sebut dicalonkan UMNO untuk menduduki jawatan menteri besar.
Bagaimanapun, Presiden UMNO itu menegaskan calon Menteri Besar itu akan diumumkan Sultan Nazrin.
Ahmad Zahid turut yakin calon yang dipersembah kepada Sultan Nazrin mendapat majoriti yang mencukupi termasuk dari Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Ketika ditanya adakah UMNO masih memerlukan sokongan untuk menubuhkan kerajaan baharu di negeri itu, katanya tidak ada isu dalam hal itu kerana UMNO mempunyai kerusi terbesar di Perak.
Beliau juga berpandangan kemelut di Perak akan segera berakhir dan percaya Sultan Nazrin akan menggunakan kebijaksanaan baginda dalam membuat keputusan yang terbaik untuk negeri Perak.
"Jadi saya kira tiada masalah tidak dapat selesai dengan adanya kepimpinan dan kebijaksanaan Sultan Perak," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca