IPOH - Rakyat Perak rata-rata kecewa dengan kemelut politik yang melanda negeri itu dan mahu ia diselesaikan segera bagi membolehkan kerajaan negeri yang baharu menumpukan usaha membantu rakyat ketika wabak Covid-19 terus bermaharajalela.
Tinjauan Sinar Harian juga mendapati mereka bingung dengan percaturan politik dan kenyataan pemimpin-pemimpin parti yang sentiasa berubah-ubah ibarat pagi cakap lain, petang lain.
Pagi semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin calon Menteri Besar yang baharu daripada UMNO akan memperoleh sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), namun pada sebelah petang, Istana Perak memaklumkan belum ada pihak memperoleh majoriti mudah 30 ADUN untuk membentuk kerajaan.
Pas Pusat pula memaklumkan penangguhan ketiga-tiga ADUN untuk menghadap Sultan Perak petang semalam kerana masih belum membuat keputusan bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengenai pembentukan kerajaan.
Pengerusi Persatuan Pembangunan Komuniti Perak Tengah, Nordin Abdul Malek berkata, kemelut politik yang sedang berlaku di Perak melemaskan rakyat.
Menurutnya, rakyat di Perak kini bukan sahaja terpaksa berdepan dengan masalah pandemik Covid-19 dan situasi ekonomi yang terjejas teruk tetapi diheret pula ke dalam kancah politik.
"Rakyat Perak ketika ini seolah-oleh berdepan dengan dua pandemik besar iaitu Covid-19 dan kemelut politik yang menyebabkan kerajaan tidak dapat dibentuk sehingga kini.
"Semua ini memberi impak kepada rakyat. Malah kita berasa kecewa masalah politik ini yang begitu berat dan rumit ini berlaku pada saat kita masih dibelenggu masalah Covid dan ekonomi," katanya kepada Sinar Harian semalam.
Beliau berkata, pada ketika ini ahli politik perlu menerima apa sahaja formula terbaik demi kestabilan kerajaan di negeri ini termasuklah penjajaran semula politik baharu melalui gabungan UMNO dan Pakatan Harapan (PH).
Naib Pengerusi Pertubuhan Nadi Sungai Siput, Dr Shanmuga Velu pula berkata, ketidakstabilan kerajaan yang disebabkan tindakan ahli politik menyebabkan rakyat bertambah terjejas.
Katanya, rakyat ternanti-nanti Bajet Perak 2021 yang sepatutnya dibentangkan pada Jumaat lalu bertukar kepada kehilangan kerajaan dalam tempoh genting ketika ini.
"Parti-parti politik ini mesti selesaikan secepat yang mungkin supaya rakyat dapat keyakinan kepada kerajaan. Kalau tidak, mereka akan bosan, lebih-lebih lagi waktu Covid-19 ini. Ramai yang hilang pendapatan serta menjejaskan kehidupan dan sudah tentu mereka akan rasa tak puas hati.
"Ahli-ahli politik kena ambil tindakan waras dan wajar supaya kemelut diselesaikan segera untuk memberi tumpuan kepada pembangunan rakyat terutama waktu pandemik ini," katanya.
Jelasnya, kerajaan yang tidak stabil menyebabkan pentadbiran tidak teratur seterusnya memberi kesan besar kepada pembangunan rakyat dan negeri.
Perkara itu turut disokong oleh Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Cawangan Perak, Tony Khoo Boon Chuan yang menggesa supaya kemelut politik diselesaikan segera.
Katanya, situasi tersebut sangat merugikan kerajaan kerana keyakinan pelabur sudah mula hilang memandangkan mereka berasa terancam.
Beliau berkata, Perak mempunyai potensi besar pelabur terutama dalam sektor hartanah memandangkan pelbagai insentif diberikan oleh kerajaan sebelum ini.
"Apabila berlaku ketidakstabilan politik seperti ini, pelabur mula bimbang untuk bertapak di Perak. Mereka bimbang apabila kerajaan asyik bertukar, polisi akan bertukar sekali gus merencatkan perancangan pelaburan mereka.
"Ini satu kerugian yang besar buat negeri ini. Pelabur semakin hilang keyakinan untuk bekerjasama membangunkan negeri. Perkara itu perlu menjadi pertimbangan utama ahli-ahli politik," katanya.
Tegas Boon Chuan, bukan masanya untuk ahli politik melakukan sebarang percaturan ketika ini kerana banyak pihak yang terjejas terutama dalam sektor ekonomi.
Beliau turut mengharapkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dapat dikekalkan supaya keputusan melibatkan perjanjian dengan pelabur dapat diteruskan tanpa dibatalkan.
Henti telagah
Sementara itu, seorang suri rumah, Nur Hidayah Johari, 34, menasihatkan semua pemimpin negara berlapang dada dan dapat bersatu hati untuk mentadbir negeri demi kepentingan rakyat terutama mereka yang terjejas dengan pandemik Covid-19.
"Sudah-sudahlah dengan politik yang tidak berkesudahan. Negeri lain sudah membentangkan belanjawan mereka dengan faedah-faedah yang dapat membantu rakyat.
"Kami rakyat di Perak masih menunggu perancangan kerajaan negeri untuk bantu kami. Tapi lain pula yang terjadi, kerajaan pula tiada. Berharap sangat agar dapat selesai segera isu ini," katanya.
Menurutnya, rakyat mengharapkan semua pemimpin Perak dapat bertolak ansur dan segera menyelesaikan isu memilih jawatan Menteri Besar Perak kali ini.
Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Masyarakat Melayu Perak (Harmonis), Datuk Rosli Yang Danian berkata, pemimpin politik perlu bermuhasabah dengan apa yang berlaku di Perak.
"Pertukaran sesebuah kerajaan bererti penolakan telah berlaku terhadap pentadbiran itu. Kita melihat keadaan itu tidak menguntungkan negeri dan rakyat.
"Seorang pemimpin atau ketua sepatutnya mencari jalan untuk memastikan kerajaan atau pentadbirannya stabil supaya segala perancangan yang hendak dibuat dapat berjalan dengan baik," katanya.
Beliau dalam pada itu mengharapkan kerajaan PN dengan gabungan UMNO, Bersatu dan Pas ini dapat dikekalkan untuk meneruskan kesinambungan pentadbiran terdahulu.
Dalam masa sama, beliau menegaskan, sesiapapun yang dilantik sebagai Menteri Besar Perak selepas ini perlu mengawal pentadbirannya supaya rakyat tidak lagi menjadi mangsa.
Kemelut politik yang melanda Perak bukanlah perkara baharu apabila pada tahun 2009 berlakunya pertukaran kerajaan Pakatan Rakyat (PR) apabila dua ADUN kerajaan bertindak melompat keluar menjadi wakil rakyat bebas.
Selain itu, pada 2018 selepas tamat Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Perak menjadi tumpuan sekali lagi apabila gagal menubuhkan kerajaan setelah parti-parti yang
menang gagal memperoleh majoriti.
Akibat daripada itu, Pakatan Harapan (PH) terpaksa menerima kemasukan dua ADUN UMNO yang kemudiannya menyertai Bersatu untuk membentuk kerajaan.
Pertukaran gabungan di peringkat Pusat membabitkan penubuhan PN menyebabkan Perak pada 9 Mac lalu terheret sama membentuk kerajaan baharu dengan gabungan UMNO, Bersatu dan Pas.
Klik di sini untuk terus membaca