SHAH ALAM - Perjuangan UMNO memartabatkan ABATA (Agama, Bangsa dan Tanahair) perlu diselaraskan dalam konteks kontemporari berasaskan aspek dasar dan keberhasilan, bukan semata-mata simbolisme dan sentimen membakar.
Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, walaupun usaha membentuk politik melangkaui sentimen dialu-alukan, ia tidak terikat kepada kerjasama dengan pihak lawan.
Menurutnya, untuk menjayakan politik melangkaui dua sentimen itu memerlukan muhasabah dan anjakan perspektif daripada dalam UMNO dan BN, bukan sekadar melalui jalan pintas kerjasama dengan parti lawan.
"Saya antara suara yang dari awal lagi mengajak politik yang lebih tinggi di mana kita memperjuangkan ABATA dalam konteks kontemporari yakni dari segi dasar dan kerberhasilan dan bukan semata-mata simbolisme dan sentimen yang membakar.
"Transformasi ini boleh dan harus dibuat. Tetapi 'shortcut' bersama PH (Pakatan Harapan) dengan harapan meraih undi atau sokongan jalan pintas bukan caranya dan bukan alasan untuk membelakangi pendirian kita selama ini.
"Jangan sehingga kredibiliti kita dipersoal - berbulan-bulan cakap sesuatu tetapi akhirnya buat perkara sebaliknya,"katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Beliau berkata demikian sewaktu mengulas desas-desus teori kerjasama politik antara UMNO dan PH termasuk DAP mungkin terbentuk selepas berlakunya krisis kejatuhan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang hilang sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri itu pada Sidang DUN negeri, minggu lalu.
Sehingga kini, kedudukan kerajaan negeri Perak masih 'tergantung' dengan Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini menegaskan belum ada parti yang mendapat sokongan majoriti bagi membentuk kerajaan baharu.
ARTIKEL BERKAITAN: Pas arah ADUN menghadap Sultan Perak
Sultan Perak titah semua ADUN Bersatu, Pas menghadap
Sementara itu, Shahril turut menggesa UMNO membuat pendirian tegas dan muktamad berkenaan kerjasama dengan mana-mana parti menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Menurutnya, pendirian itu penting supaya rakyat, terutama golongan muda, jelas mengenai pilihan yang ada.
"Kedua, kita perlu kekal malah menambah suara memperjuangkan isu rakyat - bercakap tentang visi, aspirasi dan dasar rakyat khususnya dalam soal ekonomi.
"Ini kerana pengundi atas pagar yang akan menentukan keputusan PRU, tidak minat kepada butiran persaingan atau strategi politik antara parti.
"Lebih cepat kita selesai isu antara parti dan kembali fokus kepada isu rakyat, lebih bagus,"katanya.
Klik di sini untuk terus membaca