SHAH ALAM - UMNO dan Pas perlu berfikir seribu kali sebelum melaksanakan sebarang keputusan drastik yang mengecewakan ramai pengundi termasuk kemungkinan enggan mempertahankan kerjasama Muafakat Nasional (MN).
Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, daripada pihak UMNO, sudah tentu parti itu mementingkan penyatuan berdasarkan keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) sebelum ini untuk memperkasakan MN.
Menurutnya, perkara penting yang menguji setiap persahabatan yang kuat adalah keikhlasan daripada semua dan pihaknya memilih menyakini pertalian diwujudkan melalui MN mampu melalui ujian berkenaan.
"Apa sahaja angin spekulasi, yang nyata, UMNO dan ahli-ahli Parlimennya mendukung Belanjawan 2021 dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) walaupun tidak dikemudi parti itu. Jika UMNO sewenang-wenangnya mementingkan diri, masakan semua itu berlaku.
"Jadi, itu sudah cukup membuktikan UMNO tidak menolak konsep kerjasama demi rakyat.
"Kalaupun ada perselisihan pandangan, saya yakin kedua-dua pihak (UMNO dan Pas) akan fikir seribu kali sebelum melaksana sebarang keputusan drastik yang bakal mengecewakan ramai pengundi," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Beliau berkata demikian sewaktu mengulas status kerjasama MN di antara UMNO dan Pas yang dilihat semakin teruji susulan tindakan beberapa pemimpin UMNO termasuk negeri Kelantan mempersoalkan kesetiaan rakan parti dalam gabungan berkenaan.
Terbaharu, polemik kejatuhan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut menjadi punca pertikaian antara UMNO dan Pas dengan Pas sehingga kini masih gagal mengemukakan sokongan kepada UMNO membentuk kerajaan baharu Perak.
Di sebalik komitmen UMNO mementingkan penyatuan dalam MN, Shahril menegaskan UMNO pada masa sama menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15) turut mempunyai 'garis-garis merah' sebagaimana aspirasinya selaku parti kebangsaan terbesar di Malaysia.
Menurutnya, persoalan paling penting adalah untuk mengimbangi kepentingan mempromosi aspirasi parti sendiri dan menjuarai konsep kerjasama demi rakyat dengan kepimpinan politik perlu sentiasa cakna dengan kedua-dua keperluan itu.
"Di samping mempromosi aspirasi parti sendiri, kita juga mesti tahu waktu yang sesuai untuk menenangkan suasana.
"Ibarat menarik rambut dari tepung supaya tidak berselerak, saya menganggap ia satu ujian terhadap kemahiran seseorang pemimpin dan juga suatu perkara yang saya sendiri sentiasa cuba menambah baik dalam diri sendiri," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca