SHAH ALAM - Golongan instafamous atau selebriti media sosial dipercayai menggunakan status popular mereka untuk 'menggoda' gadis-gadis remaja yang mudah taksub dengan idola mereka di pelbagai aplikasi di alam maya.
Pakar psikologi kaunseling Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Profesor Datuk Dr Mohamed Fadzil Che Din berkata, remaja merupakan golongan yang mempunyai elemen taksub iaitu mahu dikuasai dan ingin mendapatkan pengiktirafan dalam mengejar impian mereka.
Katanya, segelintir gadis mudah menjadi mangsa godaan kerana mahu mendapatkan pengiktirafan diri dan ingin disanjung rakan-rakan.
"Pakar psikologi sosial merumuskan golongan remaja ini adalah kumpulan yang berada dalam kelompok ‘storm and stress' iaitu penuh keributan dan tekanan atau huru-hara.
"Maka melalui pengaruh media sosial golongan remaja yang sememangnya suka memuja tokoh atau idola, akan rasa diri itu hebat apabila dapat mendekati golongan instafamous atau selebriti," jelas beliau kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Sebagai contohnya, apa yang berlaku kini melibatkan kes instafamous termasuk peserta rancangan realiti agama mahupun YouTuber, pemangsa mengeksploitasi ketaksuban remaja yang merasa hebat apabila mendekati idola apatah lagi menjadi teman istimewa yang dapat dikongsi di laman sosial.
"Di sinilah sebenarnya gadis remaja perlu sedar, walaupun setiap hari kita melayari laman sosial dan aplikasi telefon pintar, namun mereka tidak wajar mudah terpengaruh dengan perangkap individu jahat,” katanya lagi.
Dr Fadzil berkata, di pihak pelaku pula golongan itu telah menyalah gunakan kuasa dan rasa hormat masyarakat kepada mereka yang sepatutnya melindungi orang ramai terutama wanita, sebaliknya mereka menjadikan gelaran selebriti media sosial untuk mengaburi kejahatan nafsu seksual.
Klik di sini untuk terus membaca