SHAH ALAM - Gagasan besar yang mahu diwujudkan secara rasmi antara gabungan Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dikhuatiri menjejaskan pencapaiannya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Gagasan besar yang mahu diwujudkan secara rasmi antara gabungan Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dikhuatiri menjejaskan pencapaiannya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub sebaliknya berkata, lambang parti sedia ada boleh digunakan secara bersama, namun ia tentunya memerlukan pengorbanan politik setiap parti komponen.

Menurutnya, sekiranya platform dan gagasan politik baharu diperkenalkan untuk berhadapan PRU15, pengundi memerlukan masa yang panjang untuk mengenali gagasan politik berkenaan.

"Saya menilai bahawa satu ‘pengorbanan politik’ merentasi sempadan parti perlu diketengahkan sekiranya UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ingin menang bergaya dalam PRU15 yang boleh berlangsung pada bila-bila masa sahaja.

"Pengorbanan politik segera itu bukan sahaja bermaksud mereka perlu membentuk gagasan baharu kerana telah ada BN, PN dan Muafakat Nasional (MN) yang juga gabungan besar parti politik Melayu di negara ini dan dianggotai oleh parti kaum minoriti yang lain.

"Pengorbanan politik yang dimaksudkan ialah mengumumkan segera pertandingan pada PRU15 menggunakan satu lambang parti Melayu sahaja,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau mengulas cadangan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin supaya gagasan besar bersama PN, BN dan GPS ditubuhkan.

Mohammad Tawfik berkata, penggunaan lambang UMNO pada PRU15 adalah tepat demi memperoleh kemenangan besar.

Katanya, UMNO merupakan parti asal yang ditubuhkan mewakili orang Melayu sebelum merdeka dan semua kaum mengenali lambang tersebut. Sementara itu, penganalisis keselamatan dan politik, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin menyifatkan penubuhan gagasan besar sebagai tindakan wajar, asalkan ia berpaksikan formula dominasi politik parti Melayu Islam yang menerajui politik negara ini iaitu UMNO dan Pas.

Beliau berkata, pembentukan gagasan akan gagal tanpa kedua-dua parti tersebut kerana UMNO dan Pas adalah parti Melayu Islam yang amat besar dengan akar umbi yang kuat.

"Gagasan berasaskan merit juga sukar untuk berjaya. Merit hanya boleh dipraktikkan apabila semua parti khususnya parti bukan dominasi Melayu Islam dan tidak terus mencabar prinsip Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

"Gagasan perlu terus guna pakai formula dominasi parti politik Melayu Islam dan membentuk satu unit gerak saraf berkesan membina naratif perpaduan,” katanya.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara itu menjelaskan, sejarah membuktikan formula dominasi politik Melayu Islam berjaya menyelesaikan isu keselamatan politik dalam negara.

Katanya, bantahan terhadap Malayan Union diselesaikan dengan penubuhan UMNO dan dominasinya bersama parti MIC serta MCA berjaya membawa negara kepada kemerdekaan.

Klik di sini untuk terus membaca