SHAH ALAM - Peningkatan angka kes baharu Covid-19 di negara ini terutama di Selangor adalah bersifat sementara dan dijangka berkurangan dalam tempoh seminggu atau dua minggu lagi. Pakar Perubatan Kesihatan Awam daripada Universiti Sains... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Peningkatan angka kes baharu Covid-19 di negara ini terutama di Selangor adalah bersifat sementara dan dijangka berkurangan dalam tempoh seminggu atau dua minggu lagi.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani berkata, jumlah yang dicatatkan pada ketika ini adalah kesan daripada pengesanan aktif kes-kes dalam kluster sedia ada.

"Saya berkeyakinan jumlah kes tidak akan melonjak kepada empat angka kerana kadar nilai kebolehjangkitan (Rt) atau R-naught (R0) dicatatkan pada 10.12.2020 adalah sekitar 1.13.

"Sekiranya R0 meningkat lagi, kemungkinan ada peningkatan kes baharu yang ketara. Bagaimanapun, kita harapkan nilai R0 dapat diturunkan kepada nilai kurang daripada satu supaya penurunan kes dapat dicatatkan,” katanya kepada Sinar Ahad di sini semalam.

Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani

Bagaimanapun, Dr Mohd Dzulkhairi berkata, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mengikuti perkembangan Covid-19 melalui saluran rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau berkata, orang ramai perlu mengelak melakukan perjalanan atas sebab yang tidak penting seperti menziarahi keluarga dan rakan-rakan, melancong dan sebagainya.

Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Malina Osman berkata, di Selangor, berdasarkan pola peningkatan kes, aktiviti saringan dan pengesanan kontak yang agak agresif pada masa ini serta pola pergerakan orang ramai dan komitmen kepatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang masih tidak memuaskan dijangkakan kes meningkat dalam tempoh satu hingga dua minggu ini.

"Corak keseluruhan bergantung kepada tingkah laku pencegahan serta kepatuhan SOP bagi setiap negeri. Saya berpendapat terdapat potensi pola peningkatan konsisten berikutan situasi di Selangor,” ujarnya.

Dr Malina berkata, setiap orang memilih keputusan terbaik untuk mengelakkan diri daripada dijangkiti Covid-19.

"Elakkan berada di tempat awam serta makan di restoran kecuali ada keperluan. Pergi berekreasi atau melancong dibenarkan namun perlu sentiasa menjaga kepatuhan SOP dan elakkan mengunjungi tempat sesak,” katanya.

Dr Malina Osman

Mengulas lanjut, untuk mengetatkan lagi penguatkuasaan undang-undang pencegahan jangkitan, Dr Malina mencadangkan agar kuasa mengenakan kompaun di bawah Akta 342 Penyakit Berjangkit diturunkan kepada pegawai kerajaan Kumpulan A serta penghulu atau ketua kampung.

Sementara itu, Pakar Epidemiologi Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan Universiti Malaya (UM), Profesor Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud berkata, kebanyakan kes baharu di Selangor adalah daripada kluster membabitkan tempat kerja.

"Kenaikan kes ini sudah dijangka dan berterusan. Pekerja yang dijangkiti juga berkemungkinan menjangkiti orang lain di tempat kerja dan tempat tinggal mereka, dengan demikian jangkitan ini akan merebak kepada orang lain.

"Jangkitan juga mudah terjadi disebabkan oleh keadaan tempat tinggal yang sempit dan sukar melakukan penjarakan fizikal,” katanya.

Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud

Beliau berkata, sukar untuk membendung jangkitan Covid-19 dalam masa singkat disebabkan banyak tempat kerja menyaksikan telah berlaku jangkitan dan kluster baharu.

"Dalam jangka masa pendek ini, usaha besar-besaran perlu dilakukan untuk menguji pekerja-pekerja supaya mereka yang dijangkiti dapat diasingkan dengan cepat,” katanya.

Khamis lalu, Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, walaupun seseorang individu itu mungkin tidak bergejala atau asymptomatic, namun mereka dibimbangi menjadi pembawa kerana negeri ini masih berada dalam zon merah dan turut terdedah kepada persekitaran tempat tinggal pekerja.

ARTIKEL BERKAITAN: Rakyat Selangor dinasihat tangguh hasrat pulang ke kampung

Klik di sini untuk terus membaca