SELAKU penulis, kita bukan saja sering ditanyakan khalayak tetapi soalan ini juga kerap melingkari diri. Untuk apa dan untuk siapa kita menulis? Untuk diri sendiri, untuk masyarakat atau sekadar catatan yang dimemorikan agar tidak ditelan... Klik di sini untuk terus membaca

SELAKU penulis, kita bukan saja sering ditanyakan khalayak tetapi soalan ini juga kerap melingkari diri. Untuk apa dan untuk siapa kita menulis? Untuk diri sendiri, untuk masyarakat atau sekadar catatan yang dimemorikan agar tidak ditelan dinding-dinding ingatan?

Dalam menulis pula, setiap penulis selalunya mempunyai gaya kepengarangan dan identiti sendiri. Identiti ini akan membentuk susuk kepengarangan penulis dan lama-kelamaan akan menjadi ‘jenama’ kepada penulis untuk dikenali khalayak pembaca.

Kadang kala penulis sendiri tidak menyedari gaya kepengarangan yang mereka gunakan, tetapi kemiripan bahasa dan gaya kepengarangan yang kuat dalam diri seorang penulis biasanya dapat dihidu dan dicam oleh pembaca yang sering mengikuti hasil penulisannya.

Saya tertarik dengan hantaran seorang pensyarah Universiti Putra Malaysia di laman Facebooknya, beliau menuliskan tentang kehairanannya apabila membaca sajak-sajak nukilan Sasterawan Negara dan penyair-penyair ‘besar’ yang sering menggunakan bahasa tinggi atau jargon sehingga kadang kala tidak mampu difahami pun oleh pembaca.

Pada pandangan beliau, hal ini tidak sepatutnya berlaku kerana karya sastera itu seharusnya sampai kepada pembaca dan boleh dinikmati tanpa ‘gangguan’ sebegitu.

Ada benarnya juga pandangan yang dilontarkan ini, keghairahan penulis menggunakan bahasa jargon dalam genre penulisan tidak kiralah puisi, cerpen, novel, rencana dan sebagainya menyebabkan timbulnya satu penghadang bahasa kepada pembaca untuk memahami dan menghadam karya tersebut secara menyeluruh.

Mungkin akan timbul pula pemahaman yang berbeza dari maksud sebenar yang ingin disampaikan oleh pengarang, dan secara tidak langsung mengakibatkan mesej dalam karya gagal disampaikan.

Apakah yang dikatakan sebagai bahasa jargon? Bahasa Jargon merupakan bahasa khusus yang sering digunakan dalam bidang-bidang tertentu untuk menggambarkan kepakaran atau keahlian penutur.

Bahasa jargon tidak merujuk kepada bidang kesusasteraan semata-mata, malahan bidang-bidang lain seperti pendidikan, perbankan, kehakiman, guaman, kejuruteraan dan lain-lain turut mempunyai bahasa jargon tersendiri.

Penyair Amerika, David Lehman menyifatkan jargon sebagai "silap lisan tangan yang membuatkan topi lama seolah-olah kembali baharu untuk bergaya.”

Beliau berpendapat bahasa yang "memberikan suasana sesuatu yang baharu dan bermuka-muka kepada idea-idea itu, jika dinyatakan secara langsung akan kelihatan cetek, basi, remeh, atau palsu.”

Seorang pengkritik lain, George Orwell pula berhujah bahawa bahasa kabur dan kompleks sering digunakan untuk "membuat pembohongan menjadi benar dan pembunuhan yang dihormati."

Jangan keliru antara bahasa jargon dengan bahasa slanga kerana kedua-duanya membawa maksud yang berbeza.

Bahasa slanga disebut "slang” dalam bahasa Inggeris dan ia dikatakan muncul pada abad ke-18 yang bermaksud 'origin uncertain' atau ketidaktentuan yang dikaitkan dengan sling yang dihubungkaitkan dengan 'beggar language' dan 'rogues language' iaitu bahasa pengemis dan anak gelandangan (Fischer, 1996).

Harimurti Kridalaksana (1982), merumuskan bahasa slanga adalah sejenis bahasa yang tidak rasmi dan lazim digunakan oleh kelompok sosial dalam kalangan remaja tertentu sebagai "komunikasi dalaman” untuk mengelakkan orang dari luar kelompok memahami kosa kata dan istilah yang mereka ungkapkan.

Ampuh

Dalam konteks bahasa dan kesusasteraan, sesebuah karya yang baik sewajarnya ditanggapi dengan apresiasi sastera yang ampuh.

Memperoleh kata-kata jargon dalam takwil pengkaryaan tidak semudah begitu sahaja, ia memerlukan sesuatu kesungguhan pembacaan dan pengkajian penulis dalam bidang penulisannya sehingga menjadikan penulis atau penyair sudah tega dengan penggunaan perkataan-perkataan yang dianggap jargon oleh khalayak.

Pertembungan intelektual antara penulis dan audien itulah sebenarnya yang akan menimbulkan ekstasi seni. Ekstasi seni inilah yang akan memberikan ekspresi atau kepuasan kepada pembaca untuk menikmati karya sastera.

Semaraknya sesebuah karya seni dalam apa-apa genre sekali pun bergantung pada apresiasi seni itu sendiri.

Ada hubungan yang simbiotik antara ekstesi dan ekspresi seni. Terdapat banyak teori dan pendekatan dalam memberikan kepuasan pembacaan kepada khalayak.

Pendekatan 'reader-response' merupakan salah satu pendekatan yang agak sesuai digunakan oleh khalayak untuk memahami maksud dan majas pemaknaan dalam puisi.

Berbeza daripada pendekatan lain terhadap hasil sesebuah pengkaryaan, pendekatan ini mengiktiraf pembaca sebagai kelompok yang berhak memperjelas maksud sebenar sesebuah karya menerusi interpretasinya sendiri.

Dari segi maksud sebenar sesebuah karya, ia boleh ditanggapi apa sahaja oleh pembaca. Kebanyakan penyair menghasilkan sajak-sajaknya daripada pengalamannya sendiri. Dalam erti kata lain, kebebasan berkarya dan ekspresi memerlukan suasana yang dapat mempengaruhi penyair memilih dan menggunakan gaya bahasanya tersendiri. Kesanggamaan antara gaya bahasa, kebebasan dan ekspresi bersifat semula jadi dan saling melengkapi.

Bagi pembaca yang kurang rajin membuat penerokaan, sajak-sajak jargon ini sering dianggap dan diklasifikasikan sebagai sajak-sajak kabur. Hakikatnya, jika pembaca mengharapkan untuk membaca dan terus memahami teks sesebuah puisi, itu bukan lagi berbentuk puisi tulen.

Membaca sesebuah puisi yang baik tidak sekadar membaca teks tetapi membaca subteks-subteks yang terdapat dalam sesebuah puisi. Dari proses itulah mewujudkan keindahan dalam puisi yang boleh membijaksanakan pembaca.

Bahasa jargon mungkin sukar, seperti membaca Kumpulan Puisi "Katarsis” karya Zaen Kasturi. Namun bahasa-bahasa jargon dalam naskhah itulah akhirnya menjadi diksi yang cukup kuat untuk diingati dan meniti di bibir pembaca.

Pembaca yang tahu menikmati penggunaan bahasa jargon akan tahu menikmati keunikan dan keindahan sesebuah puisi. Pada masa sama, penggunaan bahasa jargon akan mengangkat kembali penggunaan bahasa kita yang jarang-jarang digunakan dalam kehidupan seharian sedangkan bahasa Melayu begitu kaya dengan khazanah perbendaharaan kata.

* Tuan Asri Husin ialah Setiausaha Agung Persatuan Penyair Malaysia

Klik di sini untuk terus membaca