SHAH ALAM - Kerajaan perlu mempercepatkan pemberian vaksin Covid-19 bagi memastikan pemulihan ekonomi dan sosial rakyat dapat dilaksanakan dengan sebaiknya. Penganalisis ekonomi, Profesor Dr Barjoyai Bardai berkata, tanpa vaksin kehidupan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kerajaan perlu mempercepatkan pemberian vaksin Covid-19 bagi memastikan pemulihan ekonomi dan sosial rakyat dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.

Penganalisis ekonomi, Profesor Dr Barjoyai Bardai berkata, tanpa vaksin kehidupan rakyat akan terus tersekat dan memberi kesan kepada ekonomi.

Menurutnya, meskipun suntikan vaksin bukanlah penawar sepenuhnya kepada wabak itu, namun setidak-tidaknya ia akan memberi lebih keyakinan kepada rakyat untuk kembali melakukan aktiviti rutin sebelum ini.

"Sehingga kini banyak aktiviti tidak dapat dilakukan (dengan penuh keyakinan) misalnya membeli-belah, urusan sosial seperti ke masjid dan sebagainya kerana ada sekatan.

"Keadaan ini mewujudkan sekatan hidup (kepada rakyat) dan keadaan ini juga turut mewujudkan sekatan ekonomi. Industri pelancongan khususnya paling banyak terencat.

"Kalau kita lihat, hari ini hanya dalam 20 peratus daripada jumlah perniagaan berkaitan industri pelancongan dapat dikembalikan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Mengulas lanjut, Barjoyai berkata, ketika ini pertumbuhan ekonomi negara telah menunjukkan perkembangan positif dan ia dijangka terus berkembang lagi selepas pemberian vaksin dilakukan.

Katanya, pemberian vaksin kepada rakyat itu juga akan turut menyaksikan ekonomi akan menjadi lebih terbuka dan pastinya akan terus rancak berkembang.

Sementara itu, Dekan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Madya Dr Ahmad Azrin Adnan berkata, selain menyegerakan pemberian vaksin, kerajaan juga perlu memastikan ia adalah selamat untuk digunakan.

Dr Barjoyai Bardai

Menurutnya, secara asasnya apabila sesebuah negara mengumumkan mereka dalam proses mendapatkan bekalan vaksin, pasaran saham negara terbabit akan meningkatkan kerana faktor keyakinan.

"Ekonomi sesebuah negara akan berkembang dengan positif apabila mereka umum telah menempah atau beli vaksin. Jadi di sini kita dapat lihat vaksin sangat penting dalam pemulihan ekonomi.

"Selagi tidak ada vaksin semua pihak akan terus berada dalam keadaan tidak pasti sama ada akan ada lagi sekatan seperti mana yang dilaksanakan kerajaan iaitu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pelbagai fasa,” katanya.

Menurutnya, atas faktor ketiadaan vaksin buat masa ini, ada beberapa sektor yang belum dapat berfungsi sepenuhnya.

"Antara sektor berkenaan ialah industri penerbangan yang menjadi penyumbang terbesar kepada ekonomi negara.

"Macam yang kita selalu bincang sebelum ini ada beberapa sektor yang memang tidak boleh buka sepenuhnya. Jadi bila vaksin ada, sektor penerbangan dan perhotelan akan kembali rancak,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca