SHAH ALAM - Keputusan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menolak cadangan menubuhkan gagasan besar bersama Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) mungkin disebabkan parti itu mahu melihat perkembangan semasa dan meneroka bentuk kerjasama lain dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Penganalisis politik daripada Universiti Utara Malaysia, Profesor Madya Ahmad Marthada Mohamed berkata, parti itu juga mungkin mahu melihat kekuatan PN pada PRU15 dan sekiranya berjaya kemungkinan besar mereka akan menyertai gabungan besar itu.
"Pada saya, apa yang disebut oleh Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin itu berbentuk cadangan bagi memformulasikan kerjasama yang ada pada hari ini.
"Kita lihat ada pelbagai maklum balas daripada rakan kerajaan PN. Pada UMNO, mungkin mereka fikir perlu menjadi dominan dalam gabungan besar itu. Bagi GPS pula mereka masih menilai bentuk kerjasama yang wujud dalam politik Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Pada Ahad, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri James Masing dilaporkan berkata, tidak ada keperluan untuk GPS menjadi anggota rasmi gabungan besar seperti yang disebut Hamzah.
Menurut James, bagaimanapun harus ada persefahaman yang disepakati bersama antara GPS dan parti-parti lai, bahawa mereka semua mesti saling menyokong dalam setiap pilihan raya termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN).
Ahmad Marthada berkata lagi, untuk terlibat secara rasmi dalam gabungan besar, GPS dilihat meneliti sama ada ia membawa kebaikan kepada rakyat Sarawak atau tidak.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara, Dr Ariff Aizuddin Azlan berkata, cadangan mewujudkan gabungan besar parti kerajaan dilihat kurang sesuai dalam suasana politik semasa.
"Dalam konteks PRU15, besar kemungkinan mereka akan berdepan masalah dalam pembahagian kerusi, pembahagian portfolio kementerian dan sebagainya. Ia belum lagi mengambil kira soal parti mana yang bakal mendominasi gabungan tersebut.
"Gabungan atau kerjasama sedia ada sudah baik dalam mendepani PRU15. Saya yakin, walaupun bukan dalam gabungan besar, soal pembahagian kerusi pada pilihan raya akan selesai dengan cara baik,” katanya.
Katanya, parti-parti kerajaan perlu melihat kepada usaha menghadapi pilihan raya termasuk menarik sokongan bukan Melayu.
"Mewujudkan gabungan besar bukan sahaja mengambil tetapi soal penerimaan dan soal adakah org mengenali gabungan itu boleh menjadi punca kepada kekalahan pada PRU,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca