PRESIDEN Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan tidak melihat sebarang masalah untuk skuad Projek FAM-MSN beraksi pada kempen Liga Premier musim depan di sebalik kritikan yang dilemparkan sesetengah pihak.... Klik di sini untuk terus membaca

PRESIDEN Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan tidak melihat sebarang masalah untuk skuad Projek FAM-MSN beraksi pada kempen Liga Premier musim depan di sebalik kritikan yang dilemparkan sesetengah pihak.

Menurutnya, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) telah membuat keputusan tepat dalam memberikan peluang kepada pemain Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) termasuk graduan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) meneruskan karier masing-masing.

Malah, beliau juga tidak melihat sebarang masalah yang akan timbul walaupun kemungkinan skuad muda kendalian Yusri Che Lah itu akan menjadi ‘pasukan belasahan’ ketika beraksi dalam saingan Liga Premier nanti.

"Jangan takut kena belasah. Mengikut perancangan pasukan itu, mereka akan bermain dalam liga selain mengambil bahagian pada kejohanan bawah 19 dan sebagainya. Mereka juga akan ke Eropah untuk beraksi pada perlawanan persahabatan.

"Keputusan dalam liga itu tidak penting. Ini adalah pendedahan, kalau kita nak pasukan tersebut menang liga atau tak nak jadi pasukan belasahan, itu bukan sasarannya kerana skuad projek ini dibarisi pemain muda.

"Lagipun, perancangan jangka panjang adalah menyediakan pemain beraksi di pentas tertinggi atau untuk direkrut pasukan lain. Inilah yang dipanggil pendedahan dan pembangunan pemain muda,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Penubuhan Skuad Projek FAM-MSN yang telah diumumkan pada Khamus lalu menerima kritikan daripada beberapa pihak yang menyifatkan kehadiran mereka tidak akan memberikan impak positif dalam saingan liga domestik.

Malah, pasukan itu juga dilihat mirip dengan skuad Harimau Muda yang pernah beraksi dalam saingan Liga Premier sebelum dibubarkan pada tahun 2015 apabila dikatakan gagal mencapai matlamatnya.

Mengulas lanjut, Sathianathan menilai skuad Projek FAM-MSN berbeza dengan Harimau Muda selain turut menempelak sikap sesetengah pihak yang awal-awal lagi tidak bersetuju dengan langkah yang diambil FAM dan MSN.

"Memang benar ramai pemain hebat dah diambil Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor. Namun, bagi saya pemain muda lepasan AMD dan PPBN ini masih lagi pemain yang berkualiti berbanding pemain yang beraksi dalam Piala Presiden atau Piala Belia.

"Ramai yang mengkritik (tetapi) tidak tahu keadaan dalam liga kita. Mereka hanya pandai cakap. Bagi saya, jangan persia-siakan pemain yang dibentuk di AMD. Harimau Muda dulu pun ada kejayaan memenangi pingat emas Sukan SEA. Jadi berikan peluang kepada skuad projek ini,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca