SHAH ALAM - Rakyat akan menghukum mana-mana pemimpin yang cuba menggerakkan usaha menggagalkan kelulusan bacaan ketiga usul Belanjawan 2021 yang dijangka dibentangkan di sidang Dewan Rakyat hari ini. Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Rakyat akan menghukum mana-mana pemimpin yang cuba menggerakkan usaha menggagalkan kelulusan bacaan ketiga usul Belanjawan 2021 yang dijangka dibentangkan di sidang Dewan Rakyat hari ini.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau berpandangan sekiranya usul Belanjawan 2021 berjaya diluluskan pada bacaan pertama dan kedua, pastinya bacaan ketiga usul itu juga akan diluluskan di Dewan Rakyat melainkan pemimpin beralih sokongan atas kepentingan 'lain'.

Menurutnya, rakyat bukan bodoh walaupun ada segelintir pemimpin yang mahu memikirkan rakyat mudah diperbodohkan mereka.

"Pada saya, jika akhirnya (usul Belanjawan 2021) diluluskan pada bacaan kedua, mengapa bacaan ketiga tidak lulus pula?

"(Senario itu berlaku) sekiranya mereka ada kepentingan lain selain daripada kepentingan rakyat.

"Sekiranya ini (usul tidak diluluskan) benar-benar berlaku, rakyat bukan bodoh dan akan menghukum para pemimpin yang mendahului kepentingan diri sendiri berbanding kepentingan rakyat," katanya dalam sesi wawancara eksklusif bersama Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata demikian sewaktu mengulas dakwaan kerajaan Perikatan Nasional (PN) bakal berdepan ujian getir dalam meluluskan bacaan ketiga usul Belanjawan 2021 dengan pihak pembangkang cuba melakukan usaha terakhir untuk menggagalkannya.

Sentimen itu diperkuatkan lagi dengan kenyataan dua pemimpin politik veteran negara, iaitu bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan veteran UMNO, Tengku Razaleigh Tengku Mohd Hamzah pada Isnin yang membayangkan kerajaan PN bakal hilang majoriti melalui undian bacaan kali ketiga itu.

Lebih menarik, beberapa portal media tempatan sebelum ini turut melaporkan dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi berjaya meraih sokongan majoriti ahli Parlimen seramai 113 orang susulan terdapat 10 ahli Parlimen UMNO memberikan sokongan dalam bentuk akuan bersumpah (SD).

Mengenai dakwaan Anwar kini memiliki sokongan SD ahli Parlimen yang mencukupi untuk membentuk kerajaan baharu, Ahmad Faizal yang juga bekas Menteri Besar Perak menyifatkannya sebagai cerita retorik politik yang tidak akan membuatkan negara 'stabil'.

"Semua orang mengaku ada SD tetapi esok tiada. Hari ini 'sign' SD, esok tarik balik...tidak akan membuatkan negara stabil.

"Pada saya, marilah semua ahli Parlimen bertindak meluluskan usul Belanjawan 2021...Sehingga masa pilihan raya umum (PRU) tiba kelak, kita serah mandat kepada rakyat untuk pilih kerajaan yang mereka mahukan.

"Sementara itu, berilah ruang kepada kerajaan sedia ada melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca