DALAM sejarah nusantara, bunga emas sejak sekian lama diketahui sebagai ufti antara dua buah kerajaan. Ia boleh dianggap sebagai simbol persahabatan dan boleh juga dilihat sebagai tanda pengiktirafan kekuasaan. Sejak abad ke-17, kerajaan... Klik di sini untuk terus membaca

DALAM sejarah nusantara, bunga emas sejak sekian lama diketahui sebagai ufti antara dua buah kerajaan.

Ia boleh dianggap sebagai simbol persahabatan dan boleh juga dilihat sebagai tanda pengiktirafan kekuasaan.

Sejak abad ke-17, kerajaan Tanah Melayu khususnya Kedah, Terengganu dan Kelantan perlu menghantar ufti bunga emas kepada Raja Siam.

Dalam era moden hari ini, Merak Jalanan melihat panda gergasi dari China kepada Malaysia juga hampir menyamai konsep ufti bunga emas.

Cuba bezanya panda tersebut diserahkan oleh kerajaan China dan perlu dijaga Malaysia ibarat menatang minyak yang penuh.

Merak Jalanan bukanlah cemburu dengan rakan Merak, si panda yang mendapat tempat istimewa di Malaysia sejak enam tahun lalu.

Cuma kos perbelanjaan yang tinggi untuk pasangan panda gergasi Xing Xing dan Liang Liang ibarat tidak masuk akal. Bayangkan kediaman mewah ‘selebriti’ itu sahaja sudah berharga RM25 juta di Zoo Negara.

Itu belum lagi anggaran kos tahunannya yang menurut bekas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Xavier Jayakumar menelan belanja sebanyak RM4 juta setahun untuk seekor panda dewasa dan RM2.4 juta untuk anaknya.

Malah, peliknya anak pasangan panda yang lahir hanya boleh disimpan selama dua tahun sebelum diserahkan kembali kepada China dengan bayaran RM2 juta.

Maka tidak hairanlah, pelbagai pihak terutamanya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa panda itu dipulangkan kepada China.

NGO terbabit melihat kos yang terlalu tinggi bagaikan satu pembaziran. Ibarat kata orang, kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan. Mungkin ada baiknya kos berjuta-juta ringgit itu digunakan untuk perkara lain.

Bahkan, banyak haiwan Malaysia yang lebih memerlukan perhatian kita seperti harimau. Lebih menyedihkan selepas berhabisan berjuta-juta ringgit, tiada seekor panda pun yang akan menjadi hak milik Malaysia.

Klik di sini untuk terus membaca