DEMI memastikan kelangsungan industri bola sepak negara, saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2021 yang dijadualkan mulai penghujung Februari depan dijangka berlangsung dalam norma baharu.
Perkara itu diakui sendiri oleh Presiden Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Hamidin Mohd Amin selepas beliau mempengerusikan Mesyuarat Rakan Kongsi Liga kali keempat di Putrajaya pada Rabu.
"Umum sudah mengetahui bahawa kita semua sedang menyesuaikan diri dengan norma baharu dalam pandemik Covid-19 dan bola sepak tidak terkecuali yang mana ini sangat penting untuk kelangsungan industri bola sepak negara.
"Hari ini perwakilan telah menyokong usul permohonan untuk membawa masuk penonton berskala kecil dan sudah pasti kami berharap permohonan ini dibenarkan selaras pematuhan prosedur prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak kerajaan.
"Saya percaya banyak perkara positif akan berlaku jika penonton kembali dibenarkan masuk ke stadium. Saya juga difahamkan penaja-penaja telah bersedia untuk memberikan penajaan jika pihak kerajaan membenarkan penyokong ke venue pada tahun depan,” katanya.
Hamidin berkata, pihaknya sudah berbincang dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung perkara tersebut.
"MFL sentiasa bekerja rapat dengan pihak MKN dan KBS untuk memastikan Liga-M ini dapat berlangsung. Saya kira harapan itu cerah dan mungkin ada pengumuman yang akan dibuat MKN berkaitan perkara ini.
"Saya juga tegaskan kepada setiap pasukan bahawa prosedur operasi standard (SOP) perlu dijaga. Namun, saya percaya setiap pasukan benar-benar mematuhi SOP yang telah ditetapkan. Ini telah mereka buktikan selepas Liga-M bersambung semula pada Ogos lalu. Tiada kluster bola sepak,” jelasnya.
Beliau memberitahu, saingan Liga-M perlu dilangsungkan sesuai dengan saranan pihak kerajaan bagi mengelakkan sebarang masalah timbul sehingga memberi kesan negara kepada industri bola sepak Malaysia.
"Memang kita cuba hidup dalam norma baharu dan bola sepak perlu dijalankan. Saya tegas dalam mesyuarat MKN, bukan kata kita menghadapi masalah rugi sahaja tetapi banyak perkara lain. Saya kira mereka memahami.
"Namun, saya nak tegaskan akhirnya MKN yang berkuasa untuk tentukan sama ada liga ini boleh berjalan atau tidak. Daripada pihak MFL, kita dah buat yang terbaik,” jelasnya.
Hamidin turut mengesahkan bahawa MFL telah memohon kepada MKN untuk membenarkan kemasukan penonton berskala kecil ke stadium mulai musim depan.
"Setakat ini kita cadangkan 10 peratus dan sedang dalam perbincangan dengan MKN, KKM dan KBS. Kemasukan penyokong ini penting kerana ia melibatkan kemeriahan selain penajaan pasukan dan sebagainya.
"Usul untuk kemasukan penonton itu kita terima sebulat suara daripada semua ahli gabungan hari ini dan kita akan bawa sekali lagi kepada pihak berkepentingan untuk menguatkan lagi permohonan kita.
"Kalau dibenarkan sudah tentu kita akan mengikut segala SOP yang telah ditetapkan. Untuk permulaan memang kita memohon dengan skala kecil, selepas itu jika tiada masalah, kita akan mencadangkan dengan skala lebih besar,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca