GOLONGAN yang memerhati perkembangan China pasti tahu mengenai Rancangan Lima Tahun atau ‘Five-Year Plan’ (FYP).
Perancangan pembangunan sosioekonomi adalah tindakan utama tadbir urus negara China yang membolehkan negara ini mencapai pelbagai kejayaan dalam proses pembangunan.
Sejak tahun 1953, China telah merangka dan melaksanakan sejumlah 13 buah Rancangan Lima Tahun.
Setiap Rancangan Lima Tahun telah menyaksikan China menjadi semakin maju.
Pada Oktober yang lalu, sidang pleno ke-5 Jawatankuasa Pusat penggal ke-19 Parti Komunis China (PKC) telah membahas dan meluluskan ‘cadangan tentang penggubalan Rancangan Lima Tahun ke-14 Pembangunan Sosioekonomi Kebangsaan dan Wawasan 2035’, dalam mana pencapaian pembangunan China sepanjang 5 tahun yang lalu disimpulkan secara komprehensif dan cetak biru pembangunan China pada 5 hingga 15 tahun akan datang digariskan.
Dalam lima tahun yang lepas, walau berdepan dengan situasi global yang rumit dan tugasan mencabar untuk mencapai pembaharuan, pembangunan dan kestabilan dalam negara, seluruh rakyat China di bawah pimpinan Presiden Xi Jinping tetap teguh berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk membina masyarakat makmur sederhana secara menyeluruh.
Sepanjang 5 tahun ini, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) China mencatat hampir RMB100 trilion manakala KDNK per kapita mencecah AS$10,000. Sumbangan China kepada pertumbuhan ekonomi dunia adalah sebanyak 30 peratus.
Dalam lima tahun yang lepas, sebanyak 55.15 juta orang dan 832 daerah miskin telah keluar daripada belenggu kemiskinan. China akan mencapai detik penting dalam sejarah apabila berjaya membasmi kemiskinan mutlak menjelang hujung tahun ini. Rakyat China menikmati kehidupan yang lebih bahagia.
Terdapat lebih daripada 1.3 bilion rakyat China iaitu melebihi 95 peratus penduduk yang menerima perlindungan insurans perubatan asas. Dengan mengutamakan pembangunan mesra-eko dan hijau, China telah menjadi negara yang mempunyai kemampuan terbesar dalam rawatan air kumbahan dan pengurusan sisa di seluruh dunia.
Dalam lima tahun yang lepas, dasar keterbukaan China telah mencapai tahap yang lebih tinggi. China telah memeterai 200 perjanjian kerjasama di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dengan 138 negara dan 30 pertubuhan antarabangsa.
China selalu berusaha untuk mewujudkan persekitaran yang mesra perniagaan untuk syarikat-syarikat asing. Hasilnya, China dinobatkan antara 10 negara yang terpantasnya memperbaik persekitaran perniagaan untuk dua tahun berturut-turut.
Dengan tutup tirai FYP ke-13 pada hujung tahun ini, China telah menuju ke tahap pembangunan yang berkualiti tinggi. Namun, masalah ketidakseimbangan dan kekurangan pembangunan masih lagi menonjol, tugas pembaharuan dalam bidang kunci tetap mencabar.
Oleh itu, FYP ke-14 dan Wawasan 2035 mempunyai makna bersejarah dengan tiga fokus utama yang ‘baharu’.
Aspek ‘baharu’ yang pertama adalah peringkat pembangunan baharu. Mulai tahun 2021, China akan memasuki peringkat pembangunan yang baharu untuk membangunkan negara sosialis yang moden secara menyeluruh.
Berpandukan matlamat yang ditetapkan, ekonomi, sains dan kekuatan komprehensif China dijangka akan melonjak ke tahap baharu pada tahun 2035, manakala KDNK per kapita akan mencapai tahap negara maju yang sederhana.
Aspek ‘baharu’ yang kedua adalah konsep pembangunan baharu. China akan terus mengamalkan konsep pembangunan baharu yang berasaskan inovasi, penyelarasan, kehijauan, keterbukaan dan perkongsian. Inovasi adalah momentum utama pembangunan.
Penyelarasan adalah ciri asas pembangunan. Kehijauan adalah jaminan untuk pembangunan lestari. Keterbukaan mengukuhkan komitmen China dalam kerjasama antarabangsa. Perkongsian bermaksud hasil pembangunan harus dikongsi oleh semua.
Pembangunan China akan mengutamakan kepentingan kemakmuran bersama selain membolehkan rakyat China menikmati kehidupan yang lebih baik.
Aspek ‘baharu’ yang ketiga adalah corak pembangunan baharu. China akan menubuhkan corak pembangunan baharu ‘dua peredaran’ iaitu peredaran ekonomi domestik memainkan peranan utama, dengan peredaran ekonomi antarabangsa saling bergantung dan mendorong.
Ini bermakna keterbukaan yang lebih besar, meluas lagi mendalam. China akan terus memanfaatkan kelebihan pasaran domestiknya dan mempromosikan kerjasama antarabangsa untuk mencapai hasil menang-menang.
Bank Dunia meramalkan bahawa ekonomi China akan naik 2 peratus pada tahun 2020 dan akan menjadi satu-satunya ekonomi utama di dunia yang mencapai pertumbuhan positif tahun ini. Ekonomi China bakal tumbuh 7.9 peratus pada tahun 2021.
Pada separuh pertama tahun 2020, jumlah import dan eksport China dengan ASEAN meningkat 5.6 peratus. Sejak itu, ASEAN telah menjadi rakan dagang terbesar China buat julung kali, prospek kerjasama masa depan kelihatan cerah. Pemulihan ekonomi China yang kuat pasti akan merangsang pemulihan dan pertumbuhan ekonomi ASEAN.
Keterbukaan China akan mencetus peluang pasaran yang agak luas kepada seluruh dunia. Dengan jumlah penduduk seramai 1.4 bilion orang dan golongan kelas pertengahan seramai 400 juta orang, China merupakan pasaran besar yang paling berpotensi bagi dunia.
China yang makmur akan membawa lebih banyak pelaburan kepada dunia. Pelaburan langsung China di luar negeri telah melonjak secara mendadak sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Pelaburan China akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bagi negara-negara ASEAN dan bermanfaat untuk menaiktaraf struktur industri yang akan merangsang integrasi ekonomi serantau.
Kemakmuran
Bak kata peribahasa Melayu ‘bersatu teguh, bercerai roboh’, pembangunan China tidak dapat dicapai tanpa dunia, manakala kemakmuran dunia juga memerlukan China. China adalah penegak dan penyokong yang teguh untuk multilateralisme.
Baru-baru ini, sebanyak 15 negara termasuk China dan Malaysia telah menandatangani Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) untuk menyuntik kekuatan kepada rantau Asia Pasifik demi mengukuhkan rantaian bekalan serta merangsang ekonomi dan perdagangan.
Pada bulan lalu, Presiden Xi Jinping telah mengumumkan bahawa China secara aktif mempertimbangkan penyertaan dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).
Pada September tahun ini, beliau juga telah mengumumkan China sasar untuk 'mencapai puncak pelepasan karbon dioksida sebelum tahun 2030 dan mewujudkan neutral karbon sebelum tahun 2060'.
Semasa Sidang Kemuncak Ambisi Iklim pada 12 Disember, beliau mengumumkan bahawa China berjanji akan 'mengurangkan jumlah pelepasan karbon dioksida seunit KDNK sebanyak 65 peratus daripada paras 2005 dan meningkatkan penggunaan tenaga bukan fosil sebagai sumber tenaga utama sebanyak 25 peratus menjelang 2030'. Ini menunjukkan bahawa sebagai negara bertanggungjawab, China komited untuk menyumbang kepada hal ehwal global.
China akan sentiasa menegakkan prinsip keamanan, pembangunan, dan kerjasama menang-menang, di samping mempertahankan keamanan dunia, mendorong pembangunan bersama, berusaha untuk membina ekonomi global yang terbuka, membentuk komuniti manusia yang berkongsi masa depan.
Dalam pada itu, China sudi bekerjasama dengan setiap negara termasuk Malaysia untuk memanfaatkan peluang dan hasil perkembangan globalisasi, mengatasi cabaran serta memupuk keamanan dan pembangunan serantau dan dunia. Dengan ini dapatlah kita mencipta hari esok yang lebih cerah untuk umat manusia!
*Tang Rui ialah Kuasa Usaha Sementara di Kedutaan China di Malaysia
Klik di sini untuk terus membaca