KUALA LUMPUR - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak sepatutnya dilihat 'berdosa' apabila pembangkang gagal menolak Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat. Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail... Klik di sini untuk terus membaca

KUALA LUMPUR - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak sepatutnya dilihat 'berdosa' apabila pembangkang gagal menolak Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat.

Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, apa yang dilakukan Anwar bukan bersifat peribadi.

Sebaliknya, katanya, ia sebahagian daripada usaha Anwar untuk mendapatkan semula mandat sebagai kerajaan seperti mana yang dipersetujui bersama dalam PH.

Menurutnya, kegagalan di Dewan Rakyat itu juga bukan isyarat PH telah gagal dalam usaha mendapatkan majoriti bagi menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) kerana usaha tersebut masih berlangsung di luar Dewan Rakyat.

"Saya nak tegaskan, keputusan untuk ambil alih mandat adalah keputusan PH dan sokongan itu diberikan kepada Anwar untuk menggerakkan usaha tersebut.

"Ini menepis dakwaan atau tohmahan yang timbul bahawa ini adalah keputusan dan agenda peribadi Anwar. Saya menafikan sekeras-kerasnya ini usaha peribadi Anwar.

"PH telah calonkan Anwar (sebagai ketua pembangkang) untuk ambil semula mandat (kerajaan). Bukan dosa untuk seorang yang telah dicalonkan berusaha.

"Prosesnya boleh dibuat dalam dan luar Parlimen. Jika satu tewas (undi bajet), satu lagi masih berjalan (akuan bersumpah)," katanya menerusi satu temu bual bersama Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Beliau mengulas kenyataan bersama dibuat oleh Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng supaya tidak membazirkan tenaga mengejar bayang-bayang dan tidak perlu membuang masa dengan ahli Parlimen kerajaan yang oportunis.

Kenyataan dibuat dua pemimpin utama parti komponen PH itu merujuk kepada kegagalan pembangkang dalam undian Belanjawan 2021 seolah-olah menuding jari kepada Anwar yang sebelum ini sering menyebut tentang majoriti yang diperolehi.

Saifuddin bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah akuan bersumpah (SD) yang diperoleh Anwar menerusi gerakan di luar Parlimen.

Beliau sebaliknya yakin DAP dan Amanah selaku rakan sekutu dalam PH memahami dan maklum tentang usaha Anwar itu.

"Saya tidak bersedia berkongsi jumlahnya (SD). Saya tahu siapa yang kita jumpa, berapa yang kita dapat dan sebagainya.

"Mengenali cara Anwar menjalankan tanggungjawab, beliau sentiasa memaklumkan progres terhadap usaha beliau kepada pimpinan utama PH," katanya.

Ditanya adakah kenyataan dibuat Ahli Parlimen Kota Raja dan Bagan itu dilihat sebagai satu bentuk tekanan kepada Anwar dan menggugat kesatuan dalam PH, Saifudin bagaimanapun berfikiran sebaliknya.

Beliau menyifatkan perkembangan terkini antara PKR, DAP dan Amanah itu hanya perkara kecil dan bukannya kedudukan paling paling lemah PH jika dibandingkan ketika Pas keluar daripada Pakatan Rakyat (PR) pada tahun 2015.

"Tumpuan kita sekarang adalah memperkukuhkan PH dengan patuh pada keputusan yang telah dipersetujui bersama dalam Majlis Presiden PH," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca