SHAH ALAM - Kerajaan tidak pernah menjamin sebarang aktiviti dan tawaran skim cepat kaya yang dikendalikan mana-mana koperasi di negara ini.
Pengarah Bahagian Penyiasatan dan Penguatkuasaan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Mohd Rossali Morsalin berkata, terdapat pihak yang menggunakan logo SKM bagi menarik penglibatan pelabur.
Sedangkan menurutnya, setiap pelaburan yang dibuat ke atas koperasi adalah atas tanggungjawab individu itu sendiri.
"Kerana itu apabila mendapat tawaran-tawaran yang menjanjikan pulangan lumayan, jangan terperdaya tetapi rujuk kepada pejabat SKM atau hubungi unit aduan untuk mendapatkan maklumat
"Sebelum membuat pelaburan, kita kena memastikan koperasi itu berdaftar. Ada koperasi yang belum berdaftar tetapi baru dalam proses penubuhan sudah menawarkan pelbagai pakej kepada anggota.
"Ada yang menggunakan logo SKM dengan tagline pelaburan dijamin kerajaan sedangkan SKM tidak pernah menjamin pelaburan yang dibuat di koperasi. Kami tidak memberi jaminan kononnya rugi RM1 kami pulangkan RM1,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis dalam program Sinar Live bertajuk ‘Koperasi Tanggungjawab Bersama’ yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Rabu.
Program dikendalikan oleh moderator, Haslina AR Kamaludin itu turut menampilkan Inspektor Bahagian Penyiasatan dan Penguatkuasaan SKM, Inspektor Farhan Nordin sebagai panelis.
Mengulas lanjut, Mohd Rossali berkata, koperasi yang beroperasi secara sah mestilah mengikut peraturan di bawah Akta Koperasi 1993 iaitu akaun koperasi diaudit dan tidak gagal melaksanakan mesyuarat agung tahunan (AGM).
Sementara itu, Farhan berkata, dalam isu tawaran skim cepat kaya yang melibatkan entiti koperasi, pencegahan awal boleh dilakukan dengan semakan kepada pihak berkaitan.Ujarnya, setiap individu tidak sepatutnya mengambil sikap semberono dengan membuat sebarang pelaburan yang menawarkan pulangan tinggi tanpa risiko.
"Sebagai pelabur, seseorang individu itu harus cerdik dan mendalami ilmu pelaburan itu sendiri supaya tidak mudah ditipu. Pokok pangkalnya pada awal, terpulang kepada orang yang hendak melabur.
"Langkah awal, semak status pendaftaran koperasi dan jenis perniagaan yang dijalankan. Bank Negara juga ada mengeluarkan senarai pelaburan-pelaburan yang risiko, dan tidak berdaftar.
"Sekiranya terdapat aduan ada entiti yang mengaku menjalankan sebarang aktiviti atas nama koperasi sedangkan tidak mendaftar dengan SKM, pihak itu juga boleh didakwa malah denda sehingga RM5 juta dan lima tahun penjara,” katanya.