SEJAK akhir-akhir ini, ada desakan untuk mewujudkan 'koalisi gergasi', di kedua-dua belah pihak kerajaan dan pembangkang.
Di pihak pembangkang, ada tuntutan untuk menghidupkan kembali formula 'PH Plus'.
Secara amnya, ini adalah koalisi yang melibatkan Pakatan Harapan - Keadilan, DAP dan Amanah - kembali bersama Tun Dr Mahathir Mohamad dan kemnya (partinya Pejuang yang masih belum berdaftar), serta parti-parti lain seperti Warisan dan MUDA (yang juga masih tidak berdaftar).
Ramai ahli atau penyokong PH - termasuk masyarakat sivil menganggap ini adalah idea yang baik.
Namun, adakah itu pandangan yang tepat?
PH Plus tidak boleh dipimpin oleh Dr Mahathir sekali lagi
Apa yang diperlukan untuk mewujudkan semula PH Plus?
Pada bulan Jun 2020, Dr Mahathir mengatakan kepada media:
"Saya ingin menjadi PM untuk ketiga kalinya untuk memperbetulkan korupsi pentadbiran Najib dan Muhyiddin... Saya akan berundur setelah enam bulan. Saya tidak akan menjadi PM lagi."
Pada bulan Oktober 2020 juga, parti Pejuang yang masih belum didaftarkan mencalonkannya untuk menjadi Perdana Menteri lagi.
Dalam sidang media 14 Disember baru-baru ini, sementara beliau dilaporkan berkata bahawa beliau 'tidak ada cadangan' untuk menjadi calon Perdana Menteri, beliau mengatakan: 'Jika kerajaan jatuh, maka akan ada menjadi keperluan untuk kerajaan baharu. Pada masa ini, kecuali jika kita mempunyai pilihan raya umum, satu-satunya cara untuk membentuk kerajaan baru adalah untuk 222 anggota Parlimen untuk mulai memilih kerajaan, mungkin bermula dengan perdana menteri... Dan kemudian untuk membentuk sebuah kerajaan yang berdedikasi untuk melayani rakyat. Saya harap ada cukup ahli Parlimen yang ingin melihat negara ini pulih dan maju seperti sebelumnya”.
Keadaan ini menunjukkan adanya 'PH Plus' akan memberikan kita pilihan sama ada memilih kepemimpinan Dr Mahathir lagi, atau seseorang yang dapat diterima olehnya.
Seperti yang saya dan beberapa individu lain telah perkatakan sebelum ini, langkah ini bukan pilihan yang tepat - khususnya untuk Keadilan.
Hakikatnya adalah Dr Mahathir telah membuktikan berulang kali bahawa beliau tidak bersedia dan tidak dapat menggerakkan reformasi yang sangat diperlukan oleh Malaysia, sama ada ekonomi, politik, atau sosial.
Keputusan bekerjasama dengan Mahathir dalam PH bukanlah keputusan yang mudah di kalangan pembangkang; ramai di antara mereka telah dizalimi ketika tempoh pertama Mahathir sebagai PM ketika beliau merosakkan institusi negara sementara golongan tauke bermaharajalela dan jurang kaya-miskin melebar; tetapi ini adalah keputusan yang dibuat PH untuk menumbangkan Najib Razak dan UMNO-BN pada PRU 2018.
Beliau mempunyai 22 bulan dan modal politik yang besar untuk memperbaiki masalah negara - tetapi tidak dapat atau enggan berbuat demikian. Dan terbukti beliau berulang kali membelakangkan manifesto Buku Harapan. Sebahagian besar daripada manifesto itu dapat dicapai, tetapi komennya merosakkan kewibawaan PH dan menguatkan semula musuh kita.
Pada akhir pentadbirannya, beliau meletak jawatan tanpa berbincang dengan PH sebagai taktik memastikan beliau tidak perlu menyerahkan jawatan PM kepada Anwar sebagaimana dijanjikan. Sebaliknya, keseluruhan Kerajaan PH yang memenangi PRU 2018 membawa harapan rakyat telah tumbang.
Jelasnya, zaman beliau sudah berakhir untuk memimpin PH dan negara kita, terutama dengan cabaran baharu era Covid-19 yang penuh mencabar ini.
Sekiranya parti-parti komponen PH masih mahu gabungan kita atau pakatan yang lebih besar menjadi entiti reformis - maka kita tidak boleh dipimpin oleh Dr Mahathir.
Prospek pembangkang yang berpecah akan memberi kesan yang buruk kepada banyak pihak.
Tetapi pokoknya, ini adalah isu khilafiyah (perbezaan pandangan) tentang bagaimana kita seharusnya mencorakkan masa depan Malaysia.
Tiada jaminan bahawa PH Plus adalah platform politik pilihan Dr Mahathir.
Dalam wawancara pada September 2020, beliau mengatakan: "Jika kita boleh memperoleh 30 kerusi sahaja pun, kita dalam kedudukan untuk menyertai salah satu (gabungan). Tetapi jika kita mahu sertai, kita mesti menekankan beberapa syarat. Jika mereka menerima syarat-syarat kita, maka kita akan turut serta.”
Konsep kerjasama politik sedang berubah
Namun, untuk bersikap adil, cadangan "PH Plus" atau "Koalisi Gergasi” - seperti yang disusun sekarang - adalah masalah melangkaui isu Mahathir-Anwar.
Budaya politik Malaysia cenderung melihat koalisi sebagai koalisi pra-pilihan raya, bukannya koalisi pasca pilihan raya. Parti komponen setuju dengan manifesto yang sama, dengan kepimpinan (atau calon PM) yang sama dan dengan satu calon untuk setiap kerusi.
Tetapi adakah ini keadaan sebenar?
Mungkinkah kita begitu terbiasa dengan "model" Parti Perikatan dan BN sehingga kita tidak dapat memikirkan alternatif lain?
Sebagai respon, pembangkang pernah mengusahakan Barisan Sosialis (1950an-1960an), Gagasan Rakyat dan Angkatan Perpaduan Ummah (awal 1990an), Barisan Alternatif (1999-2008), Pakatan Rakyat (2008-2015), PH (ditubuhkan 2015) dan Gagasan Sejahtera (2018).
Tetapi harus diingat Parti Bansa Dayak Sarawak pernah bersama Parti Pesaka Bumiputera Bersatu dalam BN di peringkat nasional tetapi menentang satu sama lain di PRN Sarawak antara 1987-1992.
Kerjasama DAP-Keadilan pada PRU 2008 berbentuk kerjasama longgar untuk cuba mengelak pertembungan kerusi dan kerjasama kempen, tanpa manifesto bersama. Begitu juga Warisan mengambil pendekatan mesra PH tetapi tidak menyertai PH.
Kini wujud keadaan tidak menentu Perikatan Nasional dan Muafakat Nasional sehingga bertembung di dalam PRN Sabah 2020 tetapi membentuk Kerajaan Negeri bersama.
Marilah kita bersikap jujur.
Memandangkan realiti politik sekarang dan cara pengagihan kawasan parlimen kita yang tidak saksama, mana-mana gabungan pra-pilihan raya akan bergelut dengan perundingan kerusi.
Ini selalu menjadi proses yang sukar walaupun parti-parti bersatu dan mempunyai perasaan yang baik di antara satu sama lain.
Ini adalah masalah yang akan terus dihadapi, jika tidak akan menjadi barah, untuk mana-mana gabungan besar masa depan: sama ada "PH Plus" dan apa sahaja yang dibuat oleh pakatan Muhyiddin.
Mungkin kita boleh berhenti mengharapkan gabungan kita sebagai entiti tetap, ia boleh menjadi lebih anjal, bergantung pada apa yang negara perlukan, yang diikat selepas pilihan raya. Ini adalah peralihan dari kerjasama pra-pilihan raya kepada kerjasama pasca-pilihan raya.
Ini bukan sesuatu yang luar biasa tetapi lazim di Eropah. Malah "Koalisi Gergasi” adalah istilah yang digunakan di Negara Jerman untuk menggambarkan kerjasama dua parti terbesar negara tersebut - CDU dan SPD yang berlaku beberapa kali dalam sejarah negara tersebut, selepas pilihan raya.
Di Britain, parti Konservatif dan Liberal Demokrat membentuk kerajaan antara 2010-2015.
Inilah sebabnya mengapa perbincangan mengenai ikatan PH-UMNO di Perak menarik perhatian orang ramai - walaupun pada akhirnya tidak menjadi kenyataan.
Pengundi Malaysia, mungkin semakin ingin tahu dan terbuka terhadap kemungkinan politik baharu yang sebelumnya tak dapat difikirkan.
Keadilan mesti terus menabur bakti kepada semua
Namun, politik tidak bermakna mengorbankan prinsip dan idealisme kita - dan di sinilah Keadilan perlu berpegang teguh kepada prinsip asasnya untuk membina tanah air yang lebih saksama.
Ya, di masa depan membentuk gabungan merupakan proses yang anjal, tetapi kerangkanya wajib jelas berpaksikan agenda Reformasi untuk menjadikan negara kita lebih baik.
Apa pun yang berlaku, Keadilan harus terus berkhidmat untuk rakyat dan memperjuangkan ekonomi yang lebih adil serta pemulihan institusi awam negara kita.
Keadilan satu-satunya parti dengan cabang di setiap 222 kawasan Parlimen di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, dan keanggotaan melebihi 1 juta orang di belakang hanya dua parti yang jauh lebih lama usianya - UMNO dan Pas.
Sebagai wadah besar yang mengumpulkan pelbagai aliran politik dan muncul sebagai parti pelbagai kaum paling berjaya dalam sejarah negara, Keadilan berada dalam kedudukan terbaik untuk mencapainya.
*Nik Nazmi Nik Ahmad adalah Ketua Setiausaha Pengelola Keadilan dan Ahli Parlimen Setiawangsa.
Klik di sini untuk terus membaca