LARANGAN penjualan minuman beralkohol di pasar raya dan kedai runcit perlu dikuatkuasakan segera memandangkan ia memberi lebih banyak kesan buruk kepada masyarakat dan penduduk setempat. Kejadian pemandu kenderaan berada di bawah pengaruh... Klik di sini untuk terus membaca

LARANGAN penjualan minuman beralkohol di pasar raya dan kedai runcit perlu dikuatkuasakan segera memandangkan ia memberi lebih banyak kesan buruk kepada masyarakat dan penduduk setempat.

Kejadian pemandu kenderaan berada di bawah pengaruh alkohol semasa berasa di jalan raya tentunya mengancam nyawa pengguna jalan raya yang lain.

Pada tahun lalu sahaja, polis merekodkan sebanyak sembilan kes kemalangan maut disebabkan pemandu mabuk dalam tempoh Januari hingga Disember.

Melihat kepada angka ini, jika tidak dikawal pada masa depan, sudah tentu ia akan mengorbankan banyak lagi nyawa yang tidak berdosa.

Terlalu banyak kes pemandu mabuk dilaporkan dan terbaharu kejadian membabitkan seorang operator kilang maut selepas motosikalnya dilanggar kereta dipandu lelaki mabuk di KM4 Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) pada 27 November lalu.

Mangsa berusia 37 tahun itu dilanggar dari arah belakang sebuah kereta jenis Mercedes Benz yang menurut saksi dipandu dalam keadaan ‘zig zag’.

Malah, ujian alkohol dilakukan terhadap pemandu terbabit mendapati terdapat kandungan arak melebihi paras dibenarkan, manakala ujian saringan air kencing lelaki berkenaan didapati negatif dadah.

Ini merupakan sebahagian tragedi yang berlaku, bayangkan jika ia membabitkan tiga atau empat sekeluarga maut akibat kecuaian dilakukan pemandu mabuk?.

Sudah tentu ia memberi kesan kepada keluarga mangsa terlibat hingga ada dalam kalangan mereka merana seumur hidup!

Bantah

Ironinya, sampai bilakah kisah sedih membabitkan tragedi maut angkara pemandu mabuk ini akan terus menghantui rakyat?

Baru-baru ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Mohd Shaid Rosli turut membangkitkan isu penjualan minuman beralkohol di premis pasar raya dan kedai runcit yang berleluasa di Bandar Puncak Alam.

Mohd Shaid melancarkan petisyen bagi membantah penjualan arak di sebuah pasar raya di kawasan itu yang dianggap menyinggung sensitiviti masyarakat beragama Islam di kawasan itu.

Sehingga kini, lebih 7,000 individu menandatangani petisyen dalam talian terbabit dan ia menunjukkan bahawa rakyat bersatu hati membantah penjualan arak terbabit.

Mohd Shaid berkata, pihaknya sebelum itu menerima bantahan daripada penduduk Puncak Alam mengenai pembukaan sebuah pasar raya yang menjual arak.

Bagaimanapun, katanya, penduduk hanya membantah penjualan arak di pasar raya itu dan tidak menghalang penjualan makanan tidak halal sekiranya mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan kaunter berasingan.

Penulis yakin jika usaha seperti ini dilakukan di tempat-tempat lain berhubung larangan penjualan minuman berakohol di pasar raya dan kedai runcit ini setidaknya dapat mengurangkan gejala pemandu mabuk di jalanan.

Keputusan melarang penjualan minuman keras di pasar raya dan kedai runcit lebih bersifat kepentingan umum bukannya bersifat rasis kepada mana-mana agama atau kaum.

Menurut Perunding Gastroenterologi Pusat Pakar Universiti Malaya (UMSC), Profesor Dr Ida Normiha Hilmi, penyalahgunaan alkohol seperti juga dadah turut menimbulkan risiko buruk.

"Oleh itu, bagi yang bukan beragama Islam, jika memilih untuk meminum alkohol, mereka perlu mengambil berat tentang kuantitinya dan cuba menghindari minum minuman keras itu secara berlebihan.

"Sebenarnya, sindrom keterbergantungan kepada alkohol merupakan gangguan psikiatri, yang mana seseorang itu adalah ketagihan kepada alkohol,” katanya.

Terbukti arak ialah minuman yang memabukkan dan menghilangkan kewarasan akal peminumnya.

Bukan agama Islam sahaja yang mengharamkan arak, agama lain turut melarang penganutnya minum arak kerana ia memudaratkan kesihatan serta pelakuan mereka.

Justeru, bantahan untuk melarang penjualan minuman keras di pasar raya perlu dipandang dari sudut positif oleh semua pihak.

* Mohd Izzatul Izuan Tahir ialah wartawan Sinar Harian Edisi Selangor/KL

Klik di sini untuk terus membaca