PADA awal bulan ini, Turki dilaporkan melantik duta baharunya ke Tel Aviv selepas dua tahun dan enam bulan tidak mempunyai wakil secara rasmi di Israel.
Sebelum ini, pada tahun Mei 2018, Ankara bertindak menarik balik wakilnya iaitu Umut Deniz dari negara Yahudi itu berikutan serangan rejim Zionis ke atas Gaza, Palestin.
Ketika itu, Israel melancarkan serangan ke atas penduduk Palestin di Genting Gaza yang memprotes keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmuqaddis.
Berdasarkan laporan sebuah pertubuhan penyelidik iaitu Rand Corporation, berdozen-dozen penduduk Palestin terbunuh manakala lebih 2,000 lagi cedera akibat tindakan Pasukan Pertahanan Israel cuba membanteras protes kenyataan Trump bahawa Baitulmuqaddis akan menjadi ibu negara Israel.
Menurut portal Middle East Monitor, terdapat laporan yang mendakwa bahawa keputusan untuk melantik seorang utusan Turki itu adalah disebabkan langkah untuk memperbaiki hubungan dengan bakal Presiden AS, Joe Biden.
Biden akan mengangkat sumpah jawatan Presiden Amerika pada 20 Januari tahun depan setelah menewaskan Trump pada pilihan raya Presiden pada 3 November lalu.
Justeru, portal berita tersebut memetik sumber yang dipercayai bahawa Turki memutuskan untuk melantik Ufuk Ulutas yang berusia 40 tahun sebagai duta baharu negara berkenaan ke Israel.
Ufuk bukan merupakan seorang pegawai diplomat dan memegang jawatan sebagai Pengerusi Pusat Untuk Kajian Strategik di Kementerian Luar Turki serta pernah belajar politik Asia Timur dan Hebrew di Universiti Baitulmuqaddis.
Pelantikan duta itu juga berlaku setelah negara-negara Liga Arab iaitu Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Sudan dan Maghribi bersetuju menjalinkan hubungan dengan Israel.
Menurut portal berita Anadolu Agency, Turki pula merupakan negara yang mempunyai majoriti penduduk Islam pertama mengiktiraf Israel iaitu pada tahun 28 Mac 1949.
Hubungan itu dimeterai setelah terbentuknya negara Turki yang diasaskan oleh Presiden pertamanya, Mustafa Kemal Attatuk setelah runtuhnya Empayar Uthmaniyyah.
Selepas itu, Mesir dan Jordan yang merupakan negara Arab menandatangani perjanjian menormalkan hubungan dengan Tel Aviv.
Bagaimanapun, hubungan Turki dengan negara Yahudi itu pernah bergolak pada tahun 2010 selepas lapan aktivis Turki pro-Palestin dibunuh oleh komando Israel.
Ketika itu sejumlah komando rejim Zionis menaiki sebuah kapal membawa misi kemanusiaan Turki bagi menembusi sekatan maritim Tel Aviv ke atas Gaza.
Semasa kejadian itu, Presiden Turki ketika ini, Recep Tayyip Erdogan berkhidmat sebagai Perdana Menteri dari tahun 2003 hingga 2014.
Presiden Turki ketika insiden itu ialah Abdullah Gul yang juga adalah sekutu Erdogan daripada Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP).
Hubungan dengan negara Yahudi itu kemudiannya pulih pada tahun 2016 selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu meminta maaf dan bersetuju membayar pampasan kepada mangsa yang terlibat dalam kejadian tersebut.
Tetapi ia kembali terjejas pada tahun 2018 disebakan isu kenyataan Trump bahawa negaranya mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Istael.
Namun, selepas mengkritik tindakan UAE dan Bahrain menjalin hubungan diplomatik dengan Israel, Ankara dilihat tidak pula memutuskan perhubungan dengan negara Yahudi itu.
Seorang Pengarah Eksekutif Pusat Asia Timur Untuk Laporan dan Analisis, Seth J. Frantzman memberitahu portal berita Arab News bahawa tindakan Turki itu menunjukkan ia mempunyai pendirian yang hipokrasi apabila membidas UAE kerana menjalin hubungan dengan Israel sedangkan Ankara mengekalkan perhubungan dengan rejim Zionis.
Berita pelantikan duta baharu tersebut disebarkan oleh portal berita Al-Monitor berdasarkan satu sumber yang menyatakan beliau sebagai seorang yang pro-Palestin.
Setakat ini masih belum diketahui sama ada Israel juga akan menghantar dutanya ke Ankara sejak kemelut hubungan antara kedua-dua negara berlaku pada Mei 2018.
Bagaimanapun, pelantikan duta itu yang sebelum ini hanya bertaraf Kuasa Usaha sahaja jika benar berlaku adalah kerana Netanyahu pernah berkata pada tahun 2013 bahawa beliau dan rakan sejawatnya dari Turki telah bersetuju saling menghantar duta sebagai usaha memulihkan hubungan yang terjejas akibat serangan ke atas kapal kemanusiaan tersebut. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca