SHAH ALAM - Kos pelaksanaan ibadah haji yang dijangka meningkat tidak dapat dielakkan kerana mengambil kira beberapa aspek termasuk prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi berikutan Covid-19.
Pengerusi Andalusia Travel & Tour Sdn Bhd (Andalusia), Datuk Md Daud Che Ngah berkata, kenaikan kos sememangnya dijangka khususnya atas faktor kos penginapan dan kawalan pergerakan jemaah.
Menurutnya, berdasarkan pengalaman operasi agensi syarikat ketika ibadah umrah musim Covid-19, dua perkara itu adalah aspek paling ketara melibatkan penambahan kos.
"Ketika umrah, satu badan dinamakan ‘Umrah Kami’ yang mengatur segala pergerakan jemaah umrah untuk ziarah dan ke masjid akan mengawal jemaah yang dibawa. Khidmat tersebut perlu dibayar.
"Selain itu, setiap pergerakan jemaah juga akan dikawal oleh pihak kesihatan Arab Saudi sebagai respons pantas sekiranya terdapat jemaah yang tiba-tiba jatuh sakit ketika melaksanakan ibadah umrah. Ini juga memerlukan perbelanjaan.
"Satu perkara lagi paling utama ialah tidak ada lagi hotel tiga bintang yang memuatkan jemaah beramai-ramai, sebaliknya hanya hotel lima bintang yang turut mengendalikan urusan makanan untuk para jemaah,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Jelas beliau, dalam aspek penyediaan makanan kepada jemaah ketika musim haji biasanya boleh dilaksanakan dengan lebih ekonomik melibatkan katering dari Malaysia.
Ditanya jangkaan jumlah kenaikan kos terlibat, Md Daud bagaimanapun tidak dapat menyatakannya kerana terlalu subjektif bergantung kepada ketetapan yang sehingga kini masih belum dibuat kerajaan Arab Saudi.
Bagaimanapun, katanya, beliau melihat sekiranya kadar kos ibadah haji yang perlu ditanggung jemaah muassasah tidak jauh berbeza dengan kos pakej swasta, jemaah mungkin akan berkeinginan memilih khidmat agensi swasta yang dilesenkan oleh Lembaga Tabung Haji (TH).
"Apabila subsidi kurang dan kadar yang dikenakan (tidak jauh berbeza) dengan kadar dikenakan swasta, dengan hotel-hotel yang telah ditentukan jarak, dan dari sudut petugas yang membimbing (tidak jaga terlalu ramai jemaah), mereka mungkin akan ada keinginan untuk ikut pakej swasta,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca