SHAH ALAM - Budaya masyarakat timur dan agama menjadi antara faktor utama rakyat di Malaysia sangat prihatin serta bersikap dermawan ke atas orang yang dalam kesusahan.
Pakar sosial, Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, terdapat beberapa sebab masyarakat Malaysia menjadi sedemikian antaranya kerana budaya timur.
Beliau yang juga Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris berkata, budaya masyarakat timur sentiasa prihatin kepada persekitaran membolehkan mereka membantu orang yang dalam kesusahan.
"Sebagai contoh, kalau kita lihat Dasar Pandang Ke Timur. Orang Jepun selalu menolong dan membantu orang yang dalam kesusahan,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Khamis.
Antara individu yang sering bersifat dermawan atau membantu orang yang susah adalah Pendakwah Bebas Ebit Lew.
Antara sumbangan Ebit Lew yang cukup terkesan ialah bantuan yang dihulurkan kepada keluarga yang tersepit ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.
Selain itu, Ebit Lew menghulurkan bantuan dengan menyediakan dua lori tangki air di beberapa kawasan yang terjejas di Selangor akibat ketiadaan bekalan air.
Mohammad Shatar berkata, antara sebab lain masyarakat Malaysia bersikap dermawan dan membantu orang adalah kerana majoritinya penduduk di negara ini beragama Islam.
"Ajaran agama mengajar kita untuk memudahkan kehidupan orang lain dan apabila kita memudahkan kehidupan orang lain maka tuhan akan memudahkan hidup kita.
"Kombinasi agama dan budaya timur ini telah menjadikan kita prihatin dan agresif (bersikap dermawan),” katanya.
Selain itu, beliau berpendapat kempen Malaysia Prihatin dibuat oleh kerajaan yang diuar-uarkan menerusi media sosial dan arus perdana juga turut berkesan dan membantu membentuk mereka bersikap dermawan.
Bagaimanapun, katanya, di sebalik sikap dermawan dalam membantu orang yang berada dalam kesusahan mereka haruslah sentiasa berhati-hati.
"Sifat dermawan itu bagus tapi kita perlulah menyelidik sumber yang kita mahu dermakan itu.
"Kita tak mahu memberikan kesempatan dengan sikap kebaikan yang ada tapi ada orang lain yang buat buruk mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan tanpa mendatangkan apa-apa manfaat kepada individu atau kumpulan yang disasarkan.
"Memang tuhan memberi pahala atas niat kita tapi dalam masa yang sama adakah sumbangan diberikan itu memberi impak positif kepada orang yang kita bantu,” katanya.
Seorang pakar psikologi dari Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Mohd Awang Idris berpendapat, sikap dermawan dan membantu oleh rakyat Malaysia kerana ‘cross over effect’ atau berjangkit kepada orang lain.
"Bila kita lihat ramai orang menolong, secara automatiknya kita perlu menolong maka ia berjangkit daripada seseorang kepada orang lain.
"Sebagai contoh apabila ada banjir atau bencana lain manusia lebih lebih cenderung untuk menolong,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca