NICARAGUA yang terletak di Amerika Tengah dan berjiran dengan Honduras dan Costa Rica mencipta sejarah apabila buat pertama kali melaksanakan undang-undang yang kontroversi melibatkan anggota-anggota pembangkang di negara itu.
Menurut AFP, undang-undang itu didakwa menyasarkan kepada ahli-ahli politik pembangkang Nicaragua. Ini kerana apa-apa tindakan ahli politik pembangkang yang mengancam kestabilan negara akan dirujuk sebagai pengkhianat sekali gus terdedah kepada tindakan undang-undang dan tidak boleh bertanding dalam pilihan raya negara tersebut pada tahun depan.
Nicaragua terletak di antara Lautan Pasifik dan Laut Carribbean meluluskan rang undang-undang tersebut di Kongres yang merupakan Parlimen negara tersebut pada Isnin lalu.
Rang undang-undang itu diluluskan dengan 70 undi menyokong, 15 lagi menentang dan empat berkecuali di dalam Parlimen yang didominasi oleh parti yang dianggotai Presiden Nicaragua, Daniel Ortega iaitu Pembela Pembebasan Kebangsaan Sandinista (FSLN).
Ortega yang sudah berusia 75 tahun dan menjadi Presiden negara itu sejak tahun 2007 dijangka bertanding untuk mendapatkan mandat daripada pengundi buat kali keempat bagi memerintah negara tersebut.
Beliau dikatakan mahu rang undang-undang tersebut dipertimbangkan untuk mendapatkan kelulusan Parlimen negara itu dengan segera dan diluluskan setelah melalui satu perbahasan serta dikuatkuasakan pada 22 Disember lalu.
Undang-undang itu melarang pengkhianat daripada mengendalikan atau memegang pejabat awam.
Berdasarkan undang-undang tersebut, seorang pengkhianat bermaksud seseorang yang mengetuai atau membiayai satu rampasan kuasa, meminda arahan perlembagaan, mempromosikan atau mengapi-apikan perbuatan keganasan, melakukan perbuatan sehingga menjejaskan kemerdekaan, kedaulatan dan pemerintahan sendiri.
Pengkhianat juga ditakrifkan sebagai menghasut kuasa asing supaya campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara, meminta campur tangan ketenteraan, mengatur dana asing untuk melakukan perbuatan keganasan selain menyebabkan ketidakstbilan negara, mencadangkan dan mengendalikan sekatan ekonomi, komersial termasuk kewangan ke atas Nicaragua serta institusinya.
Ia juga merujuk kepada sesiapa sahaja yang menuntut dan memuji sekatan dilakukan ke atas negara tersebut dan merosakkan kepentingan tertinggi negara itu seperti yang diiktiraf oleh sistem perundangan Nicaragua.
"Kongres Nicaragua telah meluluskan satu undang-undang yang mungkin digunakan bagi melabelkan para penentang Ortega sebagai pengkhianat dan menjadikan mereka tidak boleh bertanding dalam pilihan raya kebangsaan pada tahun 2021," kata Pengarah Human Right Watch (HRW), Jose Migel Vivanco seperti dilaporkan portal HRW pada Selasa lalu.
Berikutan undang-undang itu, beliau berkata, tiada harapan lagi bagi menyaksikan satu pilihan raya yang adil dan bebas dapat diadakan di negara tersebut.
Jika didapati bersalah, pengkhianat di negara berkenaan boleh dihukum penjara selama 15 tahun.
Pada tahun 2018, Polis Kebangsaan Nicaragua dan kumpulan-kumpulan prokerajaan telah cuba menyuraikan tunjuk perasaan antikerajaan sehingga mengakibatkan lebih 300 orang mati dan 2,000 lagi cedera.
Menurut HRW lagi, dakwaan yang dikenakan ke atas individu yang ditangkap dalam tunjuk perasaan itu dicemari dengan pencabulan serius hak asasi manusia dan kerajaan juga didapati bertindak terhadap wartawan-wartawan bebas, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan serta badan pemantau hak asasi manusia.
Malah, Amerika Syarikat (AS) turut mengenakan sekatan ke atas Ortega, anggota-anggota keluarganya dan pegawai-pegawat tingginya yang didakwa melakukan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Beberapa pegawai AS menyatakan sekatan itu dikenakan bertujuan untuk membolehkan satu pilihan raya yang adil dilakukan di Nicaragua.
Namun, Nicaragua mendakwa AS menjadi dalang merancang tunjuk perasaan antikerajaan tersebut.
Pelbagai tunjuk perasaan diadakan di negara miskin yang pernah menjadi jajahan Sepanyol itu antaranya menentang pembaharuan yang dilakukan terhadap sistem keselamatan sosial dan membantah cukai lima peratus dikenakan ke atas warga emas.
Bukan sahaja AS bahkan Kesatuan Eropah (EU) turut melaksanakan sekatan pada tahun lalu seperti melarang individu-individu Nicaragua yang didapati mencabul hak asasi manusia dan menjejaskan demokrasi daripada memasuki EU selain membekukan aset-aset mereka.
Sekatan itu yang akan berakhir pada Oktober tahun depan dikenakan selepas blok kesatuan tersebut berasa bimbang dengan kemerosotan politik dan sosial di Nicaragua dan mengutuk penindasan terhadap anggota pembangkang, penunjuk perasaan, media bebas dan masyarakat awam.
Ortega sebelum ini pernah ditangkap pada tahun 1967 kerana peranannya dalam satu rompakan bank dan dihukum penjara tujuh tahun selain pernah menjadi pemimpin gerila tetapi dipilih menjadi Penyelaras Pemulihan Semula Junta Kebangsaan pada tahun 1981.
Beliau juga berjaya menyatukan kumpulan-kumpulan dalam partinya dan ahli politik serta ahli perniagaan sebelum dipilih oleh rakyat menjadi Presiden pada tahun 1984.
Beliau rapat dengan bekas Presiden Venezuela, Hugo Chaves dan pemimpin Venezuela kini, Nicolas Maduro dan tidak disenangi AS setelah berjaya menyingkirkan bekas pemimpin yang mendapat sokongan AS iaitu Anastasio Somoza. Penyingkiran itu berlaku melalui revolusi Nicaragua sekali gus menamatkan pemerintahan Somoza yang didakwa korup selama 40 tahun pada tahun 1979. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca