LIGA Bola Sepak Amatur (AFL) tidak akan mudah memberikan ‘lampu hijau’ kepada mana-mana kelab tempatan untuk bersaing pada kempen Liga M3 musim depan. Pengerusi AFL, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, setiap kelab yang berhasrat... Klik di sini untuk terus membaca

LIGA Bola Sepak Amatur (AFL) tidak akan mudah memberikan ‘lampu hijau’ kepada mana-mana kelab tempatan untuk bersaing pada kempen Liga M3 musim depan.

Pengerusi AFL, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, setiap kelab yang berhasrat menyertai Liga M3 perlu membuktikan mereka mempunyai sumber kewangan yang kukuh sebelum dibenarkan bersaing dalam liga amatur tersebut.

"Kami nak tengok serta menilai dulu kemampuan kelab-kelab terbabit dari segi kewangan mereka. Kami juga harus kenal pasti kelab-kelab yang mungkin terkesan dari segi kewangan akibat pandemik Covid-19 ketika ini.

"Secara keseluruhannya, kami mahu menilai semula kemampuan kewangan mereka untuk kembali menyertai Liga M3 musim depan atau pun kelab itu terpaksa digugurkan akibat faktor kewangan yang tidak kukuh,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Pada Rabu, Mohd Yusoff mengesahkan bahawa sebanyak 19 pasukan yang bertanding dalam Liga M3 musim ini telah menyatakan hasrat mereka untuk kekal bertanding pada 2021.

Imigresen FC adalah antara kelab yang bersaing dalam Liga M3 musim ini. - Foto FB AFL

Beliau turut memaklumkan, penganjuran Liga M3 dan Liga M4 akan distruktur semula yang akan melibatkan pindaan format dan sistem pertandingan secara menyeluruh di semua peringkat.

Berikutan itu, format baharu Liga M3 menyaksikan sebanyak 24 kelab bakal bertanding pada 2021 berbanding 20 pasukan bagi musim ini yang dibatalkan selepas dua perlawanan susulan pandemik Covid-19.

"Sepertimana yang dimaklumkan semalam, kami sudah terima 19 surat persetujuan daripada kelab-kelab untuk beraksi dalam Liga M3 musim depan. Tetapi daripada 19 permohonan berkenaan, kita akan tengok dulu, mungkin tidak semua kelab dibenarkan beraksi atas sebab masalah kewangan.

"Disebabkan itu, kami meletakkan maksimum 24 kelab yang bertanding. Jika hanya 17 kelab (yang telah membuat permohonan) berjaya, bermakna kami hanya perlukan tujuh (kelab) lagi bagi melengkapkan kuota,” ujarnya.

Pada masa sama, Mohd Yusoff berkata, AFL juga akan meletakkan harga siling bagi perbelanjaan kesemua kelab sebagaimana yang ditetapkan dalam Garis Panduan Kelayakan Pasukan Liga.

"Kami tidak mahu timbul lagi isu seperti tidak mampu bayar gaji. Sebab itulah kami nak tengok berapa banyak sesebuah kelab itu boleh belanja dalam tempoh semusim.

"Kita juga akan mengemas kini harga siling yang sesuai untuk pemain-pemain Liga M3 selain meletakkan kadar minimum untuk perbelanjaan sesebuah kelab dalam Liga M3,” jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca