Pendedahan eksklusif Sinar Harian melalui laporan khas pada 23 November lalu berkaitan kegiatan syarikat ejen fret (freight forwarder) yang menguruskan proses import daging sejuk beku halal menyeludup daging secara haram ke Malaysia membuka... Klik di sini untuk terus membaca

Pendedahan eksklusif Sinar Harian melalui laporan khas pada 23 November lalu berkaitan kegiatan syarikat ejen fret (freight forwarder) yang menguruskan proses import daging sejuk beku halal menyeludup daging secara haram ke Malaysia membuka mata banyak pihak.

Pembongkaran tersebut sekali gus membawa kepada tindakan pihak berkuasa menyerbu sebuah gudang membekal daging sejuk beku di Senai, Johor pada 1 Disember lalu.

Selepas mendapat maklumat mengenai satu operasi yang akan diadakan di Johor hasil risikan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis), team Meja Jenayah Sinar Harian yang diketuai Izwan Rozlin dan wartawan Muhammad Afham Ramli segera bertolak ke negeri di selatan Semenanjung itu pada pagi Isnin, 1 Disember lalu.

Kami diminta ke lokasi serbuan di kawasan Ulu Tiram sebaik tiba di Johor Bahru kira-kira jam 10 pagi.

Hasil pemeriksaan awal di premis pengedar daging sejuk beku di situ menemukan petunjuk ke satu lagi lokasi di Taman Perindustrian Senai, Johor Bahru. Sebaik menerima maklumat itu, Maqis dan beberapa agensi penguatkuasaan lain termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) segera menyerbu lokasi berkenaan.

Sinar Harian yang berkampung selama lima hari di gudang berkenaan turut melihat sendiri bagaimana keseluruhan gudang disita dan dikawal ketat selama 24 jam oleh anggota penguat kuasa dengan dibantu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Hasil pemeriksaan mendapati, gudang tersebut dijadikan tempat pengumpulan daging sejuk beku seludup yang diragui status halalnya.

Kisah kartel daging sejuk beku itu kemudian terbongkar satu demi satu apabila hasil pemeriksaan mendapati gudang yang sudah beroperasi sejak sekian lama itu bertindak ‘jahat’ membungkus semula daging-daging yang diseludup menggunakan cop dan label tanda halal yang dipalsukan.

Pembekal utama

Sinar Harian yang berkampung selama lima hari di gudang berkenaan turut melihat sendiri bagaimana keseluruhan gudang disita dan dikawal ketat selama 24 jam oleh anggota penguat kuasa dengan dibantu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Lebih mengejutkan, gudang yang dianggarkan menyimpan 1,500 tan daging sejuk beku bernilai RM30 juta itu adalah pembekal utama kepada pemborong daging sejuk beku seluruh Malaysia. Pengarah Maqis, Saiful Yazan Alwi mengesahkan daging sejuk beku berkenaan dimport dari Brazil, Ukraine, Argentina dan China.

Maqis mengesan kartel berkenaan turut menciplak tiga jenama popular daging dari Australia.

Tindakan licik itu dikesan hasil penemuan kotak-kotak yang ditempah kartel dari sebuah premis lain dengan meniru jenama terbabit seolah-olah ia tulen.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri pada satu sidang akhbar berkata, pemantauan ketat perlu dilakukan bagi mengelak pihak tertentu mengambil kesempatan menyalahguna cop halal.

Pengarah KPDNHEP Putrajaya, Datuk Iskandar Halim Sulaiman pula mengesahkan, siasatan mendapati sebanyak 30 pusat pengedaran mempunyai kaitan dengan gudang yang diserbu dan tindakan diambil mengikut Seksyen 5 Akta Perihal Dagangan 2011.

Dalam pada itu, Menteri KPDNHEP, Alexander Nanta Linggi dalam satu kenyataan mengarahkan kesemua cawangan KPDNHEP di seluruh negara untuk melakukan pemeriksaan bersepadu dengan Jabatan Agama Islam terhadap produk daging sejuk beku.

Beliau berkata, surat arahan berhubung perkara berkenaan sudah pun dikeluarkan kepada penguat kuasa KPDNHEP di setiap negeri.

Ketua Meja Jenayah/Mahkamah Sinar Harian, Izwan Rozlin (tiga dari kiri) dan wartawan Muhammad Afham Ramli (kiri belakang) bersama pasukan pihak berkuasa pelbagai agensi yang terlibat dalam serbuan di sebuah gudang kartel daging sejuk beku di Taman Perindustrian Senai, Johor pada 1 Disember lalu.

Malah, PDRM memaklumkan mengenal pasti beberapa negeri yang dijadikan lokasi penyeludupan masuk daging sejuk beku.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Rahim Jaafar pula berkata, antara negeri yang dikesan menjadi akses utama daging sejuk beku haram dibawa masuk ialah melalui Kelantan, Johor dan Sarawak.Bagi kes di Johor, daging sejuk beku dikesan diseludup melalui Pelabuhan Pasir Gudang dan Tanjung Pelepas.

Untuk isu ini, kastam telah menyemak Borang Kastam 1 (BK1) dan didapati dua pengimportan daging sejuk beku dari syarikat yang diragui melalui Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pelabuhan Klang, Selangor.

Setelah dirujuk dengan Maqis, sejumlah 90 peratus daging sejuk beku berkenaan sebenarnya tidak dibenarkan masuk ke Malaysia kerana ia larangan mutlak susulan datang dari negara ‘larangan’.Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya menerima tiga laporan kes daging sejuk beku haram oleh pihak KPDNHEP dan sedia bekerjasama melancarkan proses sitaan dan keselamatan.

Pembongkaran Sinar Harian di Johor menemui satu lagi kejutan apabila siasatan Jabatan Agama Islam Johor (JAINJ) menemukan resit penghantaran bagi membawa keluar organ dalaman iaitu perut babi dari premis berkenaan bertarikh 5 November lalu.

Dokumen itu ditemui ketika pemeriksaan rapi dilakukan ke atas beberapa dokumen penting syarikat itu. Tulisan berkenaan ditulis dalam bahasa Mandarin serta tertera perkataan dalam bahasa Melayu bertulis ‘perut babi’ berjumlah 50 kotak dengan anggaran keseluruhannya seberat satu tan.

Selain itu, siasatan menemui daging itik dan kaki angsa yang dibawa masuk dari Perancis, manakala terdapat daging sejuk beku lain dibawa masuk dari United Kingdom, Itali, Belgium dan Sepanyol berdasarkan tag dan label pada kotak.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi yang hadir meninjau ke gudang berkenaan menyifatkan isu berkenaan serius dan pihaknya menerusi JAINJ sedang merangka aplikasi direktori halal untuk memudahkan pengguna Islam dan bukan Islam mendapatkan maklumat lanjut berkenaan produk yang hendak dibeli.

Rentetan itu, pada 4 Disember lalu, pengurus gudang daging sejuk beku itu ditahan oleh penguatkuasa kastam bagi membantu siasatan.

ARTIKEL BERKAITAN Kartel tukar daging haram jadi halal

Kartel daging haram: MCW serah memorandum

Daging import haram dijual secara online

Klik di sini untuk terus membaca