SHAH ALAM - Pemilik sebuah restoran di Shah Alam terpaksa menghentikan sementara operasi perniagaannya bagi menunggu keputusan pengesahan status halal daging daripada pembekal.
Pemilik restoran Sup Utara Power 18, Muhammad Zharfan berkata, pihak pengurusan restoran mengambil keputusan menghentikan jualan pada Sabtu lalu susulan pembongkaran sindiket kartel daging sejuk beku di Malaysia.
Bagaimanapun katanya, premis perniagaan yang terletak di Seksyen 18 di sini kembali beroperasi pada Ahad apabila pembekal mengesahkan status halal jenama daging yang dijual di restorannya.
"Saya menjalankan perniagaan kira-kira 16 tahun dan banyak menggunakan daging dalam masakan.
"Isu ini sensitif kerana saya menyediakan hidangan kepada beratus pelanggan setiap hari.
"Saya rasa perlu ambil tindakan proaktif terhadap perkara itu,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Sementara itu, beberapa pengusaha restoran di Selangor memilih untuk menggunakan daging import berbanding daging tempatan sekali gus isu status halal daging sejuk beku import menambah kegusaran mereka.
Pengusaha Restoran Don Kari Kepala Ikan di Seksyen 16, Bahadun Shamsudin, 48, berkata, kebanyakan peniaga memilih membeli daging import memandangkan harganya lebih murah.
"Harga daging tempatan lebih mahal iaitu sekitar RM33 hingga RM35 sekilo, manakala daging import biasa pula sekitar RM15 ke atas.
"Disebabkan itu, ramai peniaga memilih daging import,” katanya.
Bahadun berkata, pasaran daging tempatan tidak begitu banyak berbanding daging import.
"Sebenarnya, daging import atau tempatan ini sama sahaja, namun cara pemprosesan dan pembungkusan itu yang perlu diberikan perhatian oleh pihak berwajib agar ia tidak mengelirukan pengguna,” katanya.
Pemilik Restoran Hakim, Datuk Hakimsa Abdul Karim berkata, restorannya tidak menggunakan daging import dalam masakan mereka walaupun harganya lebih murah.
Hakimsa berkata, beliau mempunyai pembekal daging sendiri dan turut mendapatkan bahan berkenaan dari pasar pada setiap hari bagi menjamin kualiti perniagaannya.
"Kebiasaannya, kebanyakan restoran guna daging beku import dan kami lebih memilih untuk membeli di pasar atau pembekal yang diyakini,” katanya.
Di KUALA TERENGGANU, pengusaha restoran dan kedai makan mengakui terpaksa mendapatkan daging import berbanding daging segar tempatan kerana perbezaan harga sehingga 50 peratus.
Seorang peniaga, Rohayuni Ismail, 33, berkata, daging import yang dibelinya berharga RM16 sekilogram bergantung kepada jenama, manakala harga daging segar pula jauh lebih mahal iaitu RM30 sekilogram.
"Bila harga daging mentah pun sudah tinggi sudah tentu harga daging segar siap dimasak meningkat. Berapa harga kita mahu caj pelanggan yang ambil lauk daging dan ini akan bebankan pelanggan.
"Kebiasaannya, pelanggan tahu ia bukan daging segar dan mereka sendiri akan putuskan sama ada mahu ambil atau tidak,” katanya.
Di KOTA BHARU, isu kartel daging halal palsu yang dibongkarkan akhbar ini sedikit sebanyak menggusarkan pengguna.
Namun orang ramai boleh menarik nafas lega apabila kebanyakan peniaga memilih menggunakan daging tempatan dalam masakan.
Bagaimanapun, ada juga yang menggunakan daging import yang diyakini sumbernya halal.
Seorang peniaga masakan panas, Mohd Nazri Che Onn berkata, sejak lebih 12 tahun berniaga, beliau menggunakan daging tempatan dan tidak pernah membeli daging sejuk beku.
"Memanglah guna daging import lebih murah tetapi dalam berniaga ini semua kena ambil kira rezeki yang berkat walaupun mereka tidak tahu daging kami guna halal atau tidak,” katanya yang mengusahakan Cafe Nara terletak di Pengkalan Chepa.
Di ALOR SETAR, seorang pengusaha daging pekasam terpaksa menanggung rugi hampir RM1,000 selepas melupuskan stok pekasam kerana bimbang status halalnya.
Wanita yang mahu dikenali Juliana, 35, berkata, tindakan melupuskan stok daging pekasam juga diambil selepas permintaan jatuh dengan mendadak selain tidak mahu terjerumus dalam perkara yang syubhah.
"Sejak isu itu timbul, pelanggan saya mulai berkurangan.
"Saya akui daging yang digunakan untuk membuat pekasam ini menggunakan daging import kerana kosnya lebih murah.
"Jika perlu membuat pekasam daripada daging tempatan, harganya boleh mencecah RM18 sehingga RM20 satu peket seberat 150 gram hingga 200 gram berbanding pekasam daging import berharga RM10 sahaja,” katanya.
Di KUANTAN, pengusaha restoran di sini menggesa kerajaan menyiasat dan menghukum pihak yang bersubahat dengan kartel daging sejuk beku itu.
Pengusaha Restoran D’Pondok, Abdul Majid Abdul Wahid berkata, meskipun ia bukan kesalahan peniaga sekiranya terbeli daging-daging tersebut, namun beliau terkilan ia melibatkan penduduk di Malaysia.
Sinar Harian melaporkan mengenai syarikat ejen fret (freight forwarder) yang menguruskan proses pengimportan daging sejuk beku halal mengimport daging dari negara yang tidak diluluskan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Kegiatan yang berlaku sejak beberapa tahun lalu itu didakwa dibantu ‘orang dalam’ di pintu masuk negara.
ARTIKEL BERKAITAN: Penguat kuasa korup guna kod rahsia 'daging karpet merah’
Daging import haram dijual secara online
Kartel tukar daging haram jadi halal
Klik di sini untuk terus membaca