BAKAL Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden yang akan mengangkat sumpah jawatan pada 20 Januari tahun depan bakal berdepan cabaran besar selepas mengambil alih tugas daripada Presiden AS, Donald Trump.
Biden pernah berjanji untuk menyatukan semula penduduk negara itu dan memulihkan semula moral institusi kepresidenan yang dikatakan telah dijatuhkan martabatnya oleh Trump.
Ketika mengumumkan untuk bertanding bagi jawatan Presiden bagi mewakili parti Demokrat pada awal tahun 2019, beliau telah berjanji untuk memulihkan rakyat Amerika yang sebelum ini dikatakan tidak bersatu di bawah kepimpinan Trump.
Namun, baru-baru ini bakal Presiden AS itu sekali lagi menekankan komitmennya itu kepada rakyat AS.
"Kini tiba masanya untuk membuka lembaran baharu, untuk bersatu, untuk menyembuhkan (masalah-masalah di AS)," katanya pada awal bulan ini seperti dilaporkan agensi berita AFP.
Pada pilihan raya Presiden AS lalu, Biden yang mewakili parti Demokrat berjaya memperoleh 306 undi elektoral iaitu jumlah yang sama dimenangi Trump pada tahun 2016 ketika menewaskan bekas Setiausaha Negara, Hillary Clinton.
Presiden AS itu yang gagal mengekalkan tempoh pemerintahannya bagi penggal kedua hanya memenangi undi sebanyak 232 undi elektoral.
Pada pilihan raya Presiden AS tahun 2016, Hillary memperoleh 227 undi kerana tujuh pengundi elektoral bertindak mengundi calon yang bukan daripada parti mereka.
Dalam pilihan raya Presiden kali ini, Biden mendapat lebih 81 juta undi popular manakala Trump meraih sebanyak lebih 74 juta undi.
Lebih 155 juta pengundi AS mengundi melalui undi pos atau datang sendiri di tempat pengundian yang ditetapkan.
Sebanyak 270 undi elektoral diperlukan untuk memenangi pilihan raya Presiden yang diadakan pada 3 November lalu tetapi sehingga kini Trump yang mewakili parti
Republikan masih enggan mengaku kalah kepada Biden.
Dalam pada itu, kadar pengangguran sejak permulaan pandemik koronavirus (Covid-19) yang dilaporkan sehingga pertengahan Julai lalu oleh portal berita forbes.com adalah kira-kira 51 juta orang.
Bilangan kematian akibat Covid-19 ketika di bawah pentadbiran Trump adalah yang tertinggi di dunia apabila sehingga Ahad lalu ia mencatatkan lebih 19 juta kes dan 333 ribu kematian.
Trump juga dikatakan cuba untuk mendapatkan pengitirafan bagi mencegah Covid-19 ekoran kejayaan firma-firma kesihatan AS mencipta vaksin Covid-19 yang kini sedang diberikan kepada rakyat negara tersebut mengikut fasa-fasa tertentu.
Sebelum ini, Presiden AS itu juga pernah dijangkiti Covid-19 tetapi pulih selepas dirawat di sebuah hospital tentera dekat Washington selama tiga hari pada Oktober lalu setelah pandemik tersebut mula dikesan di Wuhan, China lewat tahun lepas.
Ketika beliau memimpin AS, pasaran saham di negara itu meningkat naik sehingga mencipta sejarah, menjadi perantara sehingga empat buah anggota Liga Arab setuju menormalkan hubungan dengan Israel selain menganggap telah memperoleh kemenangan dalam perang perdagangan dengan China.
Tunjuk perasaan menuntut keadilan sosial terhadap penduduk kulit hitam juga berlaku semasa pemerintahan Presiden AS itu.
Pada Mei lalu, seorang lelaki kulit hitam, George Floyd mati di sebuah hospital selepas mengaku sukar bernafas ketika lutut seorang pegawai polis kulit putih menekan lehernya di bandar raya Minnepolis.
Kejadian itu menyebabkan tercetusnya tunjuk perasaan Black Lives Matter sehingga ke beberapa buah negara di dunia yang menuntut polis menghentikan kekejaman terhadap penduduk kulit hitam selepas insiden Floyd ditahan polis kerana membeli barangan dengan menggunakan wang palsu.
Biden juga bakal menghadapi isu nuklear di Iran yang meminta supaya AS menyertai semula perjanjian dengan negara tersebut, masalah di Iraq, Syria, isu Palestin, Asia Barat, Afghanistan, Libya dan hubungan dengan Rusia.
Penentuan sama ada Dewan Senat AS akan dikuasai parti Demokrat atau Repulikan akan diketahui Januari tahun depan.
Dua kerusi dewan itu di negeri Georgia akan ditentukan melalui pilihan raya Dewan Senat pada 5 Januari tahun depan setelah tiada calon yang memperoleh majoriti dalam pilihan raya 3 November lalu.
Ketika ini Repulikan mempunyai 50 kerusi manakala Demokrat hanya 48 kerusi di dewan tertinggi AS itu. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca