[LAPORAN KHAS] SHAH ALAM - Pengurus Pertubuhan Kebajikan Darul Wardah Selangor, Nur Khairul Nisha Roslan berkata, kebanyakan pelatih yang dihantar di rumah pemulihan itu merupakan golongan gadis remaja.
"Ada yang berusia seawal 15 tahun dah jadi ibu dan dalam usia muda ini, mereka yang sepatutnya meneruskan persekolahan ditempatkan di sini dan menjalani pemulihan.
"Dalam kes yang kita biasa hadapi, kebanyakannya remaja yang dihantar ke sini adalah mereka yang terlanjur dengan teman lelaki dan kenalan yang dikenali melalui media sosial.
"Jadi kita di sini menekankan tentang adab pengurusan diri dan ilmu agama kepada pelatih supaya tidak lalai dan sentiasa patuh kepada syariah Islam dengan penekanan bab solat.
"Kita di sini menerima pelatih dengan persetujuan waris atau keluarga mereka dan pelatih ini akan diletakkan di bawah jagaan kami antara setahun hingga dua tahun bergantung kepada keadaan pelatih dan bagaimana perkembangan mereka,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Beliau berkata, apa yang penting dan pesanan beliau kepada pelatih yang telah keluar dari rumah pemulihan itu adalah supaya mereka terus kekal dalam keadaan istiqomah dan menggunakan aplikasi media sosial ke arah kebaikan dan bukan hanya sebagai hiburan.
"Mereka ini sebenarnya kurang kasih sayang, jadi perhatian sebenarnya yang mereka inginkan, maka kasih sayang keluarga adalah yang paling utama dalam membentuk golongan ini di samping ilmu agama yang perlu ditekankan.
"Kami juga selalu menasihatkan pelatih yang sudah pulih supaya jangan tinggal solat lima waktu kerana ia merupakan benteng untu mencegah kemungkaran dan diharap usaha dakwah kami ini dapat memberi perubahan kepada mereka untuk terus kekal istiqomah,” katanya Nur Khairul Nisa mengakhiri perbualan.
"Modul yang kami tekankan di rumah pemulihan ini, adalah mereka pada kebiasaanya akan diajar ilmu spritual iaitu keagamaan dan kerohanian, iaitu bangun malam dengan menjalankan ibadah Qiyamulail, mengaji al-quran dan juga diajar ilmu-ilmu kemahiran termasuk memasak, menjahit, berkebun dan pelbagai lagi.
"Kita juga turut menyampaikan khidmat kaunseling kepada mereka supaya jiwa mereka tidak kosong dan terisi dengan pelbagai pengisian yang berfaedah,” katanya.
Menurut Nur Khairul Nisa lagi, sejak penubuhan rumah pemulihan itu pada 2008 lalu, hampir 80 peratus berubah ke jalan yang lebih baik.
"Harapan kami di sini supaya dengan usaha kami untuk melihat pelatih berubah, maka perubahan itu perlulah datang dari diri pelatih itu sendiri dan tidak lagi mengulangi perbuatan lampau,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca