Sehari dua ini kecoh dengan di media sosial apabila Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Langat pada Ahad meminta maaf kepada Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Ini selepas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu terlibat dalam satu kemalangan apabila basikal ditunggangnya terlanggar ‘jerangkap samar’ ketika dia melakukan aktiviti itu di Banting, Selangor.
Walaupun berniat murni tapi tindakan JKR Kuala Langat itu mendapat kecaman warganet. Malah ada juga yang yang berpendapat tindakan itu makan diri sendiri.
Ada yang berkata, menteri kayuh basikal langgar lubang, JKR terus mohon maaf dan tampal jalan. Banyak jalan berlubang dan rakyat kemalangan kerana lubang tiada pula JKR minta maaf. Ada pula yang mendoakan agar ada menteri jatuh lagi, agar jalan di kawasan mereka dapat diperbaiki.
Ramai juga yang meluahkan rasa tidak puas hati terhadap JKR di Facebook dengan mendakwa jabatan itu mengamalkan sikap pilih kasih terutama apabila terdapat isu melibatkan menteri.
"Seni jilat yang tak menjadi,” kata rakan saya, Shahril A Kadir dengan sinis di laman Facebook beliau yang mempunyai 120,527 pengikut.
Pada hemat saya, tidak wajar sekiranya permohonan maaf hanya dibuat ketika kemalangan melibatkan menteri sahaja kerana ramai pengguna jalan raya yang kemalangan akibat terlanggar lubang.
Di Shah Alam sahaja, banyak jalan yang rosak dan berlubang terutama selepas musim hujan ini. Tidak hairan ada yang berdoa supaya ada menteri yang lalu di jawasan itu supaya jalan tersebut segera diperbaiki.
Saya teringat dengan sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Brotherhood yang aktif dengan kerja sukarela menampal jalan berlubang demi keselamatan pengguna jalan raya khususnya penunggang motosikal.
NGO yang diketuai oleh Azlan Sani Nawawi atau Lando itu bertindak menurap jalan dan menyelesaikan masalah rakyat dengan titik peluh dan mengeluarkan belanja mereka sendiri sejak hampir sedekad lalu.
Brotherhood juga pernah bertindak memacak batu nisan di dalam lubang jalan yang besar di Klang sebagai sindiran setelah pihak bertanggungjawab mengambil masa terlalu lama untuk membaiki jalan tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabak, Ahmad Mustain Othman pernah bertindak menampal jalan berlubang di kawasannya kerana kecewa dengan sikap lepas tangan dan tuding jari pihak bertanggungjawab yang sepatutnya membaiki kerosakan jalan.
Ahmad Mustain berkata, beliau tidak hirau kecaman sesetengah pihak yang tidak senang dengan tindakan beliau menampal jalan berlubang.
"Biar apa orang (hendak) kata, ada aku kisah? (Apa) yang penting rakyat sejahtera,” katanya.
Sebelum ini, bekas Ahli Parlimen Tangga Batu, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah mempunyai cara kreatif dengan ‘berdoa’ di depan jalan berlubang di kawasannya. Tidak sampai 12 jam gambar berkenaan dimuatnaik, jalan berke-naan ditampal oleh pihak yang berkaitan.
Hari ini, aksi bekas Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu diikuti oleh orang ramai yang bergambar dalam lumpur lopak jalan berlubang di kawasan mereka dan ditularkan di media sosial. Tidak kurang juga, ada yang memuat naik gambar kecederaan yang dialami masing-masing gara-gara kemalangan yang berpunca daripada jalan rosak.
Diharapkan isu ‘jerangkap samar’ ini diberi perhatian utama oleh pihak berkaitan. Saya setuju dengan saranan Khairy Jamaluddin agar diwujudkan sebuah portal aduan khas secara dalam talian bagi menangani isu ‘lubang maut’ pada jalan di seluruh negara.
Jalan berlubang bukan soal kecil. Ia melibatkan nyawa pengguna jalan raya. Bayangkan jika keadaan gelap atau hujan lebat menyebabkan lubang tersebut ditutupi air. Ini baru menteri yang jatuh, sudah menggelabah minta maaf.
Berapa ramai pula rakyat marhaen yang jatuh, cedera malah ada yang meninggal akibat ‘jerangkap samar’ itu. Janganlah apabila menteri yang terlibat baru hendak bertindak segera seolah-olah nyawa rakyat tiada harga.
Klik di sini untuk terus membaca