SHAH ALAM - Kemunculan tokoh dan pemimpin baharu yang boleh diangkat sebagai perdana menteri banyak bergantung kepada parti politik dalam membuat perubahan kepimpinan. Penganalisis Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kemunculan tokoh dan pemimpin baharu yang boleh diangkat sebagai perdana menteri banyak bergantung kepada parti politik dalam membuat perubahan kepimpinan.

Penganalisis Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Sivamurugan Pandian berkata, ini disebabkan sistem dan struktur institusi politik negara ini masih lagi bergantung kepada kepimpinan politik kepartian.

"Kebelakangan ini, kita melihat kemunculan ramai pemimpin dengan ketokohan mereka yang bukan sahaja membawa kepada perubahan landskap politik tanah air malah boleh diangkat sebagai perdana menteri,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Rabu.

Terdahulu, Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, telah tiba masanya untuk negara melihat tokoh baharu sebagai pemimpin negara pada masa hadapan.

Beliau berkata, ramai lagi tokoh yang berpotensi untuk mengubah polemik politik di negara ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Negara perlu muka baharu: Muhkriz

Dalam pada itu, Sivamurugan menamakan tiga tokoh pada pandangannya yang boleh diangkat pemimpin negara pada masa hadapan, antaranya Mukhriz, Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

"Saya rasakan mereka ada ketokohan yang tidak diberi peluang untuk menyerlah sesuai dengan persekitaran politik semasa,” katanya.

Mengulas mengenai Nurul Izzah, Sivamurugan turut menyatakan banyak negara Islam lain telah melakukan perubahan dengan mencalonkan wanita sebagai pemimpin.

"Antaranya, Indonesia (ada) Megawati Soekarnoputri, Pakistan (ada) Benazir Bhutto. Di peringkat global juga wanita menjadi Presiden dan Perdana Menteri. Ia boleh dilakukan jika ada kompromi atau pengorbanan,” katanya.

Seorang lagi penganalisis politik, Dr Jeniri Amir turut bersetuju dengan Sivamurugan dengan mencalonkan Nurul Izzah dan bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

Menurutnya, tidak ada masalah untuk menampilkan wanita sebagai pemimpin kerana negara Islam lain pernah berbuat sedemikian.

"Apa masalahnya? Kalau betul-betul berwibawa. Kita masih lagi berprasangka dan kita terperangkap dalam prasangka itu sehingga kita tidak berani untuk menampilkan golongan ini.

"Itu sebabnya wujud jurang lebar antara pemimpin sekarang dan pemimpin golongan muda. Kita masih tidak yakin bahawa golongan muda ini berupaya untuk menerajui negara dan golongan veteran pula merasakan mereka paling layak walhal mereka sudah tidak lagi sesuai dengan cabaran dan tuntutan zaman,” tegasnya.

Klik di sini untuk terus membaca