PADA Khamis minggu lalu, Dewan Negara meluluskan Belanjawan 2021 selepas bacaan kali ketiga tanpa sebarang ‘drama’ politik.
Jauh berbeza dengan hiruk-pikuk di Dewan Rakyat.
Suatu justifikasi serta bukti kematangan ahli-ahli Senator dalam menolak idealogi kepartian sempit dengan meletakkan kepentingan rakyat dan negara sebagai keutamaan.
Meskipun barangkali tiadanya ‘drama’ tersebut mengundang rasa kurang senang orkestra politik tertentu, tetapi sebenarnya itulah peranan Parlimen yang bersifat bicameral legislature.
Dewan Negara menjadi pengimbang matang kepada keputusan Dewan Rakyat, menurunkan suhu politik kepartian dan membahaskan secara lebih neutral berpaksikan budi baik.
Namun, sesuai dengan perjalanan masa, Parlimen amnya dan Dewan Negara khususnya, pasti ada ruang tertentu untuk direformasikan bagi mengangkat darjat dan kewibawaan Dewan ini serta memastikan ia benar-benar berfungsi sebagai badan legislatif tertinggi perundangan negara.
Dewan Negara sebenarnya mempunyai potensi amat besar untuk berada segagasan dengan House of Lords di England kerana ahli-ahli Senator sebenarnya mempunyai kewibawaan, pengaruh, keberanian serta nilai intelektual yang tinggi dalam menyatakan pandangan masing-masing, terutamanya berhubung kait dengan soal kesejahteraan rakyat, tetapi untuk berada pada pengaruh seperti House of Lords, semua persepsi liar, tersasar serta negatif ke atas Dewan ini perlu dikikis dan dibersihkan.
Padahal, dalam sejarah Parlimen Malaysia, Dewan Negara dua kali bertindak menolak Rang Undang-Undang (RUU) yang diluluskan di Dewan Rakyat, iaitu RUU Racun Makhluk Perosak 2004 serta RUU Anti Berita Tidak Benar 2018 setelah ahli-ahli Senator berpandangan akta tersebut perlu ditambah baik (RUU Racun Makhluk Perosak) dan tiada keperluan (RUU Anti Berita Tidak Benar).
Pendirian itu menjadi bukti bahawa Dewan Negara bukanlah ‘pak turut’.
Keputusan tersebut memperlihatkan kebijaksanaan para Senator dalam menilai sesuatu perkara yang harus menjadi keutamaan setelah melalui semua sesi perbahasan.
Namun, pastinya sejarah penolakan dua RUU itu sahaja tidak cukup untuk menjadikan Dewan Negara benar-benar berpengaruh.
Tentunya masih banyak pengisian yang perlu dilakukan dan ia memerlukan kerjasama serta penglibatan semua ahli-ahli Dewan Negara dengan dipandu Senator Tan Sri Dr Rais Yatim selaku Yang di-Pertua.
Sedar akan hal ini, pada 15 Disember lalu Dewan Negara telah menubuhkan sebuah kaukus bernama Kaukus Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara yang bertujuan menilai, meneliti, menimbang, mencadang dan mengesyorkan hal-hal berkaitan kesejahteraan rakyat.
Kaukus ini juga melalui Jawatankuasa Pemilih yang telah diberikan kuasa oleh Majlis Dewan Negara, melalui Usul Pelantikan Ahli Jawatankuasa Pemilih di bawah Peraturan Mesyuarat 70 pada 21 September 2020 lalu, berkuasa untuk memanggil mana-mana pihak termasuk menteri, sama sebagaimana kuasa Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
Pembentukan kaukus ini, dilihat mampu menjadi langkah pertama kepada usaha mereformasikan Dewan Negara untuk menjadikan ia institusi yang benar-benar berpengaruh.
Keanggotaannya pula memperlihatkan sepenuhnya kebebasan Dewan Negara dengan melangkaui batasan kepartian dan mengoptimumkan sepenuhnya kepakaran serta profesion setiap Senator berasaskan Perkara 45 Perlembagaan Persekutuan.
Sesuai dengan namanya yang mengetengahkan soal kesejahteraan rakyat, kaukus jawatankuasa ini akan secara aktif mengadakan sesi perbincangan dan memanggil pihak tertentu untuk memberi penjelasan mengenai kedudukan terkini tentang sesuatu isu dengan hal-hal berkaitan Felda pula mengambil tempat.
Bagaimanapun, dalam menjayakan sesuatu reformasi ke atas Dewan Negara, aspek budi harus menjadi akar tunjangnya.
Tanpa budi, semua pembaharuan yang dibuat akan kelihatan ‘tawar’ kerana tiada gunanya reformasi jika contoh serta tauladannya tidak boleh diikuti rakyat.
* Mohd Asron Mustapha ialah pemerhati politik
Klik di sini untuk terus membaca