[LAPORAN KHAS] KEGIATAN scam atau penipuan dalam urusan dokumentasi poligami dikhuatiri boleh menjejaskan institusi kehakiman syariah negara jika dibiarkan terus berleluasa.
Menurut peguam syarie, Syamimi Ab Rahman, isu penipuan poligami harus dipandang serius oleh orang ramai dan juga pihak atasan.
"Prosedur untuk berpoligami di Malaysia telah tersusun cantik dan dalam peruntukan undang-undang itu sendiri ada seksyen berkenaan poligami,” ujar Syamimi kepada Sinar Harian pada Khamis.
Katanya lagi, selain penipuan yang dilakukan oleh pihak suami yang mahu beristeri lebih daripada satu, penipuan poligami juga berlaku kerana adanya orang dalam yang ‘membantu’ menjayakan kegiatan itu.
"Isu timbul apabila pihak-pihak yang terlibat dengan penipuan poligami ini menyalahgunakan kuasa dan menyalahgunakan prosedur permohonan yang telah ditetapkan di dalam peruntukan undang-undang dan juga di Mahkamah Syariah,” katanya.
Antara modus operandi yang dapat dikesan pada ketika ini adalah ketika suami mahu memfailkan kes permohonan poligami di Mahkamah Syariah, bahagian maklumat untuk alamat isteri pertama diletakkan alamat palsu atau alamat tidak wujud.
Apabila berlakunya penipuan alamat maka akan timbul masalah ketika pihak mahkamah atau peguam yang mewakili suami mahu membuat serahan dokumen kepada isteri pertama atau dalam erti kata lain ia tidak sampai ke tangan si isteri pertama.
Selanjutnya, jika alternatif serahan saman gantian seperti tampalan atau iklan di dalam surat khabar telah dibuat sekalipun, namun isteri pertama masih gagal juga untuk hadir ke mahkamah, maka mahkamah akan menganggap penyampaian itu dikira sempurna.
"Jika telah dikira sempurna maka kes itu boleh dijalankan secara sebelah pihak (suami sahaja) tanpa melibatkan pihak isteri pertama sedangkan sepatutnya isteri pertama patut dijadikan sebagai pihak lawan (defendan) di dalam kes permohonan poligami yang difailkan oleh suami tersebut,” katanya.
Modus operandi kedua, apabila si suami mengisi dengan betul semua maklumat berkaitan isteri pertama namun tidak membuat serahan dokumen kepada pihak isteri.
Sebaliknya suami menipu di mahkamah dengan mengatakan serahan dokumen telah dibuat dan pihak isteri telah menerimanya dan menurunkan tandatangan.
Ringkasnya, suami memalsukan serahan dokumen dan membuat afidavit penyampaian yang bermaksud akuan bersumpah yang menyatakan dokumen telah diserahkan atau disampaikan kepada isteri pertama sedangkan ia tidak berlaku sama sekali.
Apabila Hakim Syarie atau Mahkamah Syariah melihat adanya afidavit penyampaian maka dipercayai pihak isteri telah menerima dokumen terbabit walaupun pada hakikatnya isteri tidak pernah menerimanya.
Tambahnya lagi, untuk membuat permohonan kebenaran poligami suami harus mengikut alamat di mana dia bermastautin. Namun dalam isu penipuan poligami suami memalsukan alamat sendiri atau menggunakan alamat orang lain.
"Contohnya suami tinggal di Kedah tetapi memohon kebenaran poligami di negeri Johor bagi mengelakkan dari pengetahuan isteri pertama ataupun mana mana pihak yang mengenalinya,” katanya.
Tegas Syamimi, penularan scam poligami perlu dibendung dengan penguatkuasaan undang-undang yang sangat ketat demi menjaga martabat dan keharmonian Mahkamah Syariah itu sendiri dan mengelakkan kemudaratan bagi wanita yang bergelar isteri.
Untuk info, sebelum suami sama ada telah beristeri satu, dua atau tiga ingin berkahwin lain mereka perlu memohon kebenaran di Mahkamah Syariah terlebih dahulu.
Proses di Mahkamah Syariah akan dimulakan dengan pemfailan dokumen permohonan kebenaran poligami oleh plaintif (suami) diikuti penyerahan dokumen kepada pihak lawan atau defendan (isteri pertama) sebelum proses perbicaraan kes berlangsung.
Katanya, pihak suami akan memberi keterangan, kemudian pihak isteri diikuti keterangan bakal isteri baharu dan akhir sekali keterangan wali bakal isteri baharu.
"Semua proses terbabit harus berlaku di Mahkamah Syariah dengan pengetahuan semua pihak iaitu suami, isteri sedia ada, bakal isteri baharu dan wali bakal isteri.
"Apabila semua proses perbicaraan kebenaran poligami ini selesai maka Hakim di Mahkamah Syariah akan membuat keputusan sama ada permohonan si suami diluluskan atau tidak,” katanya.
Walaupun keizinan isteri pertama bukan menjadi satu kemestian dalam kes permohonan poligami, namun bukan bermakna isteri pertama patut dirahsiakan dan tidak perlu tahu berkenaan hasrat suami tersebut.
Syamimi berkata, beliau percaya dalam isu yang sedang tular sekarang berkenaan penipuan poligami itu, bukannya tidak menyokong dan membantah kepada poligami tetapi membantah dari segi cara ke arah pelaksanaan permohonan poligami itu.
Klik di sini untuk terus membaca