SHAH ALAM - Pastinya 2020 bukan tahun terbaik buat dunia kerana pelbagai krisis terutama pandemik Covid-19 yang memberi kesan nyata kepada keselamatan, kesihatan, ekonomi dan sosial manusia. Hampir keseluruhan negara terkesan dengan virus... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pastinya 2020 bukan tahun terbaik buat dunia kerana pelbagai krisis terutama pandemik Covid-19 yang memberi kesan nyata kepada keselamatan, kesihatan, ekonomi dan sosial manusia.

Hampir keseluruhan negara terkesan dengan virus tersebut termasuk Malaysia.

Bagi Malaysia, soal kestabilan politik dan Covid-19 merupakan kisah yang kerap menjadi bahan berita di dada akhbar dan portal berita.

Pastinya besar harapan rakyat mahu melihat kes jangkitan virus yang menular ke seluruh dunia berakhir, ekonomi kembali pulih, peluang pekerjaan bertambah dan politik negara dapat dikendalikan sebaik mungkin dalam mendepani tahun 2021.

Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika Universiti Malaya, Profesor Dr Sazaly Abu Bakar berharap pada tahun 2021, Malaysia belajar dan bersedia dengan sebarang kemungkinan penyakit berjangkit.

Sazaly

"Saya harap kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil langkah betul dan bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan. Penyakit berjangkit seperti Covid-19 ini boleh berlaku lagi pada masa depan tetapi kita tidak tahu bila masanya. Kita sebenarnya ada peluang sebelum ini untuk membuat persediaan tetapi kita terlalu optimis,” katanya.

Beliau turut berharap vaksin Covid-19 yang bakal tiba di Malaysia selamat digunakan dan berkesan kepada rakyat.

"Buat masa sekarang langkah pencegahan penularan adalah yang terbaik untuk diamalkan.

"Saya juga berharap rakyat bersedia untuk mengambil vaksin ini. Kerajaan telah berbelanja besar dan memberikan keyakinan kepada rakyat mengenai vaksin,” katanya.

Ditanya mengenai kewujudan varian baharu, Sazaly berkata, proses mutasi baharu virus merupakan perkara biasa dan berharap rakyat Malaysia tidak panik.

Suasana di sekitar kawasan Bukit Bintang kelihatan sesak ketika tinjauan sempena ambang tahun baru 2021, malam tadi. - Foto Bernama

"Memang ia dilaporkan mudah menjangkiti tetapi kesan terhadap mereka yang dijangkiti itu diharap tidak kuat.

"Kita harap mutasi Covid-19 ini menjadi seperti Influenza A (H1N1) yang pada permulaannya beri kesan teruk kepada mereka yang dijangkiti tetapi selepas bermutasi kesannya tidak teruk,” katanya.

Pulih

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohamad Faisol Ibrahim berkata, rakyat Malaysia bukan sahaja menyambut tahun baharu 2021 tetapi normal baharu dalam sosioekonomi mereka.

Mohamad Faisol

"Mahu tidak mahu mereka perlu membuka minda dan berfikiran lebih kreatif dan dinamik bagi mengharungi tahun 2021 yang lebih mencabar.

"Cabaran yang bakal dihadapi oleh rakyat ialah bagaimana mereka khususnya peniaga-peniaga mempraktikkan norma baharu dalam perniagaan. Peniaga yang pantas mengadaptasi akan mampu menjana keuntungan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata, pada tahun 2021 juga dijangkakan prospek ekonomi beransur pulih dengan pelaksanaan dasar ekonomi yang telah diputuskan dalam Belanjawan 2021 selain peningkatan kesejahteraan kesihatan rakyat dengan kemasukan vaksin Covid-19.

"Unjuran ekonomi pada tahun ini disasarkan berkembang sekitar 6.7 peratus dan tidak mustahil jika semua pihak memainkan peranan masing-masing,” katanya.

Selain itu, Mohamad Faisol berkata, langkah pengawalan Covid-19 yang dilaksanakan oleh kerajaan melalui KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) memberi keyakinan kepada pelabur untuk kembali ke negara ini.

"Sebagai contoh, pembukaan kembali tempat-tempat pelancongan negara dan promosi oleh hotel di Malaysia antara petunjuk awal ekonomi mula bergerak ke arah positif,” katanya.

Katanya lagi, selain Covid-19, antara faktor lain yang mempengaruhi ekonomi Malaysia ialah kestabilan politik.

Tahun 2021 diharap dapat memberi sinar baharu kepada Malaysia dalam mendepani cabaran ekonomi dan pandemik Covid-19. - Foto Bernama

"Ia menjadi faktor utama yang membantu mempercepatkan proses pemulihan. Pada hari ini kita lihat ringgit semakin kukuh berbanding sebelum ini,” katanya.Positif

Pakar Psikologi, Dr Fauziah Hanim Abdul Hamid berkata, pandemik Covid-19 memberi kesan kepada psikologi rakyat di negara ini kerana ada yang kehilangan pekerjaan, kehilangan punca pendapatan dan pelbagai lagi masalah.

"Perkara ini memberi tekanan kepada rakyat. Jadi untuk 2021, saya menasihati rakyat supaya kekal positif walau sehebat mana tekanan yang dihadapi.

"Kekuatan tenaga positif ini akan memacu kita dalam mendepani cabaran dan melangkah lebih baik berbanding tahun 2020,” katanya.

Menurut beliau, 2021 merupakan masa sesuai untuk merancang dan merangka pelan bagi membaiki status ekonomi, sosial dan kesihatan.

"Jangan hanya duduk meratap atau mengenangkan apa yang telah menimpa tetapi bangkit untuk memperbaiki. Pasti ada jalannya,” katanya.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid pula berharap Malaysia kekal memainkan peranan yang baik di peringkat antarabangsa terutama dalam membela nasib rakan seagama di Palestin, Syria dan Yemen.

"Walaupun kita bukan negara besar dunia tetapi suara kita tetap didengari. Imej kita perlu dikekalkan dalam keadaan baik sekali gus menjadi model kepada dunia sebagai sebuah negara majmuk pelbagai bangsa dan agama yang aman.

"Kita tidak nafikan ada masalah tetapi kita membuktikan bahawa kita mampu menguruskannya dengan baik,” katanya.

Tambahnya, banyak perkara perlu diperbaiki terutama dalam soal perpaduan dan kesatuan di negara ini.

"Sebagai negara majmuk, semua rakyat perlu mempunyai azam untuk hidup secara harmoni,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca