SUKAR untuk meramalkan sama ada arena sukan akan kembali pulih pada tahun ini di sebalik situasi pandemik Covid-19 yang masih belum berakhir.
Mantan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong berkata, arena sukan akan terus berada pada tahap sukar dengan tumpuan lebih terarah memastikan pandemik Covid-19 berakhir terlebih dahulu.
"Sukar untuk meramalkan situasi sekarang. Seperti yang saya selalu katakan, apa yang lebih penting adalah masa depan rakyat. Dalam keadaan sekarang, sukan ini dah jadi kategori tak begitu penting.
"Kalau Covid-19 boleh tamat lebih awal lebih bagus. Sukan Olimpik yang dijangka tahun ini juga masih belum tentu dengan ada kemungkinan ia dibatalkan jika Covid-19 tidak berakhir.
"Perkara ini dah macam norma baharu kepada kita dengan tiada kejohanan besar sudah hampir setahun. Antara kejohanan yang ada sekarang pun mungkin bola sepak, malah sekarang beberapa aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) ditangguhkan kerana Covid-19.
"Apabila dah berakhir pandemik ini, baru kita boleh bercakap tentang sukan. Sudah tentu kita mahu sukan ini kembali meriah seperti dahulu, atlet pun boleh bertanding dan peminat sukan boleh berikan sokongan seperti biasa,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Pandemik Covid-19 yang mula membadai negara pada awal tahun lalu ternyata memberikan kesan besar kepada semua industri tidak terkecuali sukan dengan ketiadaan beberapa kejohanan besar dan kesukaran atlet untuk berlatih.
Bagaimanapun, sinar baharu mungkin mula menjengah industri sukan tahun ini dengan penemuan vaksin Covid-19 yang dijangka memulihkan serangan pandemik itu di seluruh dunia.
Namun, Zolkples berkata, kewujudan vaksin tersebut bukanlah jaminan sama ada pandemik itu boleh berakhir, apatah lagi vaksin Covid-19 belum boleh didapati secara meluas di seluruh dunia.
"Walaupun vaksin dah ada tetapi kita tak tahu bila akan boleh didapati dan sejauh mana keberkesanannya. Apa yang penting, kita nak yang terbaik dan doakan semoga semua ini akan berakhir.
"Saya juga mengharapkan semua atlet dan sesiapa yang terlibat dalam industri sukan untuk terus bertabah. Kita sebagai peminat sukan hanya mampu memberikan sokongan. Tetapi individu seperti atlet, jurulatih dan sebagainya sudah tentu akan lebih terkesan dengan keadaan ini,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca